lightning-solid
Berita :
Trend ‘Blind Box’ Jadi ‘Perangkap Halus’ Kewangan Keluarga
Trend ‘Blind Box’ Jadi ‘Perangkap Halus’ Kewangan Keluarga
Mastura Jamal Din
4 jam yang lepas
12

KUALA TERENGGANU, 7 November– Trend mengumpul barangan misteri atau blind box kini menjadi kegilaan terbaharu dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, namun di sebalik keterujaan itu, ramai ibu bapa mengeluh apabila terpaksa berhabis ratusan ringgit sebulan demi memenuhi keinginan anak-anak.

Blind box atau kotak misteri merujuk kepada permainan atau figura yang dijual tanpa pendedahan awal terhadap watak atau rekaan di dalamnya, menyebabkan pembeli perlu membeli berulang kali bagi melengkapkan koleksi.

Naib Presiden Kebangsaan (Timur) Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Mohd. Faiz Zulkifli berkata, konsep jualan misteri itu boleh menimbulkan ketagihan terutama kepada kanak-kanak yang belum matang dalam membuat pertimbangan kewangan.

“Elemen kejutan dalam blind box memberi rasa keterujaan sementara seperti mekanisme perjudian ringan. Kanak-kanak akan terdorong untuk membeli lagi bagi mendapatkan watak yang diingini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

IMG-20251108-WA0001.jpg 48.77 KB


Menurut beliau, fenomena tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada kanak-kanak, malah turut menambah tekanan kepada ibu bapa yang terpaksa berbelanja lebih bagi memenuhi permintaan anak-anak.

“Ada ibu bapa yang sanggup berhabis ratusan ringgit setiap bulan semata-mata tidak mahu anak mereka merajuk. Jika tidak dikawal, ia boleh menjejaskan kestabilan ekonomi keluarga,” ujarnya.

Tambah Mohd. Faiz, trend itu turut mencetuskan isu yang lebih besar seperti ketidakpastian dalam urus niaga, pembaziran wang serta kesan sosial terhadap pengguna muda.

“Pada pandangan awal ia kelihatan seperti satu bentuk hiburan kecil, namun apabila diteliti, ia memberi kesan psikologi dan kewangan yang besar. Lebih membimbangkan, kedai menjual blind box kini tumbuh ibarat cendawan selepas hujan dan menyasarkan kanak-kanak melalui iklan berwarna-warni,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa trend tersebut memberi kesan lebih berat kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) apabila anak-anak mudah terpengaruh dengan video ‘unboxing’ di media sosial.

“Ia boleh dianggap sebagai satu bentuk perjudian kecil yang dibungkus dalam gaya permainan. Pengguna wajar dilindungi daripada amalan pasaran yang mengelirukan,” katanya.

Tinjauan  mendapati harga satu blind box di pasaran mencecah antara RM25 hingga RM80 bergantung kepada jenama dan edisi, malah ada yang dijual dalam versi terhad hingga mencecah ratusan ringgit.

Seorang ibu, Roslina Alias, 36, berkata anak perempuannya yang berusia sembilan tahun turut terpengaruh selepas menonton video di media sosial.

“Anak saya sanggup tidak berbelanja di kantin sekolah semata-mata mahu mengumpul duit untuk membeli blind box. Pernah juga saya belikan satu berharga RM50 kerana tidak mahu dia merajuk,” katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan