Berita :
Tingkat Kesedaran Pelajar Terhadap Keselamatan Jalan Raya
Tingkat Kesedaran Pelajar Terhadap Keselamatan Jalan Raya
Noraini Jusoh
5 jam yang lepas
47

KUALA TERENGGANU, 15 Mac –  Isu keselamatan jalan raya perlu diberikan perhatian serius terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah dan usaha mendidik budaya berkenaan perlu dilakukan sejak awal.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, Terengganu mampu menjadi negeri yang lebih selamat untuk semua pengguna jalan raya jika generasi muda hari ini mempunyai kesedaran dan disiplin yang tinggi.


“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama bukan hanya tugas polis atau kerajaan, tetapi tanggungjawab semua pengguna jalan raya.

“Pendidikan keselamatan jalan raya perlu bermula dari bangku sekolah kerana sekolah memainkan peranan besar membentuk budaya keselamatan sejak kecil,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Aidilfitri Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Agama Al Falah, Kemaman, baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, pelajar boleh menjadi agen perubahan dengan menasihati keluarga dan rakan.

“Jalan raya bukan tempat berlumba, banyak kemalangan berlaku kerana memandu laju dan sikap ingin menunjuk kehebatan.

“Dan golongan remajalah merupakan antara kumpulan yang paling ramai terlibat dalam kemalangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Sekolah Menengah Agama Al Falah, Kemaman yang terpilih sebagai sekolah pertama bagi penganjuran Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Aidilfitri 2026.

Katanya, pemilihan tersebut bertepatan dalam usaha menyemai kesedaran tentang kepentingan keselamatan jalan raya khususnya dalam kalangan warga sekolah.

“Juga pengguna jalan raya yang lain, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan yang menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.

“Semoga program ini dapat memberi manfaat serta memupuk sikap lebih berhemah dan bertanggungjawab ketika berada di jalan raya demi keselamatan semua. 

“Terima kasih kepada pihak sekolah dan barisan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Terengganu atas komitmen dalam menjayakan kempen ini,” ujarnya.




Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan