Berita :
Tiada Rumah Terbuka Aidilfitri MB Tahun Ini, Kerajaan Negeri Salur BKK RM500
Tiada Rumah Terbuka Aidilfitri MB Tahun Ini, Kerajaan Negeri Salur BKK RM500
Ahmad Zaeem Zainudin
8 jam yang lepas
624

KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan tiada majlis rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini, yang lazimnya diadakan di kediaman Menteri Besar pada satu Syawal. 

Menurutnya, keputusan ini adalah selaras dengan pandangan disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di mana kerajaan negeri menyambut baik pandangan tersebut walaupun ia tidak mengikat pentadbiran negeri.

Beliau menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri adalah larangan penganjuran majlis menggunakan dana awam.

"Apa yang saya fahamnya ialah maksud yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri itu ialah yang menggunakan dana awam.

"Jadi kalau sekiranya jabatan-jabatan itu ataupun agensi ataupun GLC ingin mengadakan program Hari Raya secara 'pot luck' mereka sendiri, saya rasa itu tidak menjadi halangan dan boleh dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa bagi pihak Menteri Besar, tiada majlis rumah terbuka akan diadakan sebagaimana dilaksanakan pada tahun-tahun sebelum ini.

"Tapi saya nak maklum bahawa bagi menteri besar, untuk tahun ini juga tidak ada rumah terbuka sebagaimana sebelum ini," jelasnya kepada pemberita.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi & Iftar Perdana Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Kebangsaan 2026 di Duyong Marina Resort, semalam.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri turut menyalurkan Bantuan Kewangan Khas (BKK) sebanyak RM500 kepada semua kakitangan kerajaan negeri bagi membantu persiapan menjelang Aidilfitri.

Beliau berkata, bantuan tersebut telah diputuskan sebelum ini dan telahpun disalurkan semalam.

"Saya nak maklumkan bahawa mengambil kira kita nak berhadapan dengan Hari Raya ini, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan sebelum ini dan kita dah salurkan pada hari ini, pada hari Khamis (semalam), sejumlah RM500 sebagai bantuan kewangan Hari Raya kepada semua kakitangan kerajaan.

"Tidak mengira peringkat, semuanya tetap iaitu RM500," ujarnya.

Menteri Besar dalam hasratnya berharap bantuan itu dapat membantu meringankan perbelanjaan kakitangan kerajaan negeri dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri telah membuat pengumuman penting pada 11 Mac berkaitan tiada penganjuran majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri oleh kerajaan persekutuan pada tahun ini.

Menurut laporan media, keputusan tersebut dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet rentetan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik Asia Barat terhadap ekonomi dunia.

Keputusan itu juga dikatakan bertujuan untuk menerapkan amalan perbelanjaan berhemah serta menunjukkan disiplin fiskal kerajaan.


Ketupat

Artikel Berkaitan