Berita :
Tiada Keperluan Isytihar Darurat Pilihan Raya Buat Masa Ini
Tiada Keperluan Isytihar Darurat Pilihan Raya Buat Masa Ini
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
75

KUALA TERENGGANU, 16 April – Cadangan untuk mengisytiharkan darurat seperti yang dibangkitkan oleh DAP disifatkan tidak perlu pada masa ini.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, situasi semasa negara tidak berada dalam keadaan terdesak seperti ketika pandemik COVID-19 yang memerlukan sekatan ketat dan larangan aktiviti berkumpulan.

Menurut beliau, keadaan ketika ini jauh berbeza berbanding tempoh pandemik apabila pergerakan orang ramai dan aktiviti sosial masih boleh dilaksanakan seperti biasa tanpa tekanan yang ketara.

“Cadangan untuk pengisytiharan darurat itu saya kurang pasti sebab kita berdepan dengan suasana yang berbeza daripada zaman COVID-19. Ketika itu, pergerakan dan aktiviti berkumpulan tidak dapat dijalankan.

“Pada waktu ini, kita tidak berada dalam suasana yang begitu tertekan. Jadi pada saya tidak ada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bagi tujuan menangguhkan pilihan raya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada program Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat PAS Terengganu, di Dataran Shah Bandar, hari ini.

Walau Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan situasi semasa boleh berubah dalam tempoh beberapa bulan akan datang yang mungkin memerlukan pertimbangan semula.

“Wallahua'lam, mungkin sebulan dua akan datang suasana berbeza, kita tidak tahu. Tetapi buat masa ini, saya berpandangan tidak ada keperluan untuk darurat,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan