Berita :
Terengganu Tampil Lapan Wakil, MTHQK 2026 Himpunkan 108 Peserta
Terengganu Tampil Lapan Wakil, MTHQK 2026 Himpunkan 108 Peserta
Ahmad Zaeem Zainudin
14 jam yang lepas
217

KUALA NERUS, 14 April - Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026 (MTHQK) yang berlangsung di Terengganu menghimpunkan seramai 108 peserta dari 14 kontinjen seluruh negara, dengan tuan rumah menampilkan lapan wakil merangkumi kedua-dua kategori utama.

Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 28 peserta mengambil bahagian dalam kategori tilawah manakala 80 lagi bertanding dalam kategori hafazan, mencerminkan penyertaan menggalakkan dalam kalangan qari, qariah serta huffaz dari seluruh Malaysia.

Sebanyak 14 kontinjen menyertai edisi kali ini melibatkan 13 negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak, selain satu kontinjen Wilayah Persekutuan.

Sebagai tuan rumah, Terengganu tidak ketinggalan menampilkan penyertaan apabila menghantar dua wakil dalam kategori tilawah dan enam peserta dalam hafazan.

Bagi kategori hafazan, penyertaan Terengganu meliputi semua tahap yang dipertandingkan iaitu kategori 1–10, 1–20 dan 1–30 juzuk, dengan setiap kategori diwakili oleh dua peserta.

Bagi kategori 1–10 juzuk, Terengganu diwakili oleh Qistina Balqis Mohamad Hafas dan Hassan Basri Azmi.

Kategori 1–20 juzuk pula menampilkan Amir Fuhairah Ahmad Syukri serta Nur Afni Idayu Anuar.

Sementara itu, kategori 1–30 juzuk diwakili oleh Auni Solehah Tazudin dan Hamdan Syakirin Rosely.

Dalam kategori tilawah, dua wakil negeri iaitu Abdul Hadi Che Halim dan Nor Jannah Abd Rahman turut bersaing bersama peserta lain dari setiap negeri.

Program bertemakan 'Kalam Ilahi' itu dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula 13 April di Dewan Arena Gong Badak, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus.


Ketupat

Artikel Berkaitan