lightning-solid
Berita :
Terengganu–SPNB Perkukuh Kerjasama, 320 Rumah Mampu Milik Disasar Tahun Ini
Terengganu–SPNB Perkukuh Kerjasama, 320 Rumah Mampu Milik Disasar Tahun Ini
Mastura Jamal Din
8 jam yang lepas
106

KUALA NERUS, 3 Mac - Kerajaan Negeri meneruskan kerjasama strategik dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dalam usaha memperkasa pembangunan perumahan mampu milik di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara kerjasama yang sedang berjalan ialah penyambungan semula perjanjian membabitkan projek Rumah Mesra Rakyat  (RMR).

“Kita memang mempunyai usahasama dengan pihak SPNB dalam pembinaan rumah, antaranya projek RMR Rahman yang kini dalam proses untuk menyambung kembali perjanjian bersama SPNB,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2026 bagi Negeri Terengganu. Majlis yang berlangsung di Dewan Ehsan, Pejabat FELDA Wilayah Terengganu di sini hari ini.

Tambah Wan Sukairi, terdapat beberapa projek atau program lain yang sedang dirancang untuk dilaksanakan secara kolaborasi dengan SPNB menerusi pendekatan berbeza berbanding amalan sedia ada.

“Kita akan meneliti kesesuaian pendekatan baharu itu sebelum dimuktamadkan,” katanya.

Dalam pada itu,beliau berkata kerajaan negeri turut komited meneruskan pelaksanaan projek perumahan mampu milik melalui kaedah penswastaan selain meneruskan projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, pihaknya juga sedang merangka satu atau dua insentif baharu khususnya bagi membantu rakyat yang tidak mempunyai tanah sendiri.

“Insentif ini sedang diperhalusi dan akan dimaklumkan apabila sampai waktunya.

“Kerajaan negeri menyasarkan pembinaan sekurang-kurangnya 320 unit rumah di Terengganu sebagai sasaran awal bagi memenuhi keperluan rakyat,”katanya.

Tambah Wan Sukairi, ia menjadi  hasrat besar kerajaan negeri untuk membantu rakyat memiliki rumah terutama golongan kurang kemampuan maka insentif yang disediakan oleh syarikat seperti SPNB adalah yang terbaik.

Dalam masa sama beliau menasihatkan kepada penerima RMR supaya membuat pembayaran sempurna setiap bulan kerana ia akan membantu mereka yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan kediaman yang seterusnya.


Tag :

Artikel Berkaitan