MARANG, 28 Oktober – Kerajaan Terengganu terus memperkukuh program pemulihan penagih dadah di Perkampungan Darul Barakah dengan memberi penekanan terhadap pembangunan sahsiah, pengisian kerohanian dan kemahiran diri bagi membantu pelatih membina kehidupan baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pendekatan pemulihan secara menyeluruh itu penting bagi memastikan pelatih bukan sahaja bebas daripada ketagihan, malah bersedia untuk kembali menjalani kehidupan bersama keluarga dan masyarakat.
Menurutnya, proses pemulihan tidak seharusnya tertumpu kepada usaha mengatasi ketagihan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembentukan disiplin, kestabilan emosi, kesihatan fizikal serta pengukuhan hubungan kekeluargaan.
“Pendekatan sukan, motivasi dan kaunseling boleh membantu para pelatih. Sukan melatih disiplin dan kerjasama, motivasi menghidupkan harapan serta tujuan, manakala kaunseling membuka ruang untuk seseorang memahami dirinya dan belajar mengurus cabaran dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemulihan Insan, Sukan, Motivasi dan Kaunseling di Perkampungan Darul Barakah, di sini pada Selasa.
Muhammad Khalil berkata, pembentukan amalan positif dalam kehidupan seharian seperti menepati waktu, menjaga solat, mengikuti bimbingan dan melaksanakan tanggungjawab merupakan antara aspek penting yang perlu diterapkan sepanjang tempoh pemulihan.
Katanya, disiplin yang dibina secara konsisten mampu menjadi asas kepada pelatih untuk menjalani kehidupan lebih teratur, selain meningkatkan keyakinan diri dalam menghadapi cabaran selepas menamatkan program berkenaan.
“Gunakan masa ini sebaik-baiknya. Dekati para pembimbing, ikuti setiap pengisian dengan bersungguh-sungguh dan jika menghadapi kesulitan, berkongsilah dengan petugas supaya bantuan yang sesuai dapat diusahakan.
“Ambillah peluang untuk memperbaiki bacaan al-Quran, memahami agama, menjaga kesihatan, mempelajari kemahiran dan membiasakan diri dengan tanggungjawab,” ujarnya.

Menurutnya, proses pemulihan menuntut kesungguhan dan kesabaran, termasuk kesediaan menerima teguran, mendapatkan bimbingan serta saling membantu antara satu sama lain.
“Sejarah hidup saudara sudah mempunyai bab yang sukar. Hari ini, saudara sedang diberi ruang untuk menulis bab yang lebih baik.
“Isilah ruang itu dengan usaha yang boleh saudara banggakan suatu hari nanti,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Khalil berkata, Perkampungan Darul Barakah yang diwujudkan melalui Yayasan Islam Terengganu merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dalam membantu individu yang terkesan dengan masalah ketagihan dadah melalui pendekatan bimbingan agama, pembentukan disiplin dan penerapan nilai tanggungjawab.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk terus menambah baik program pemulihan di pusat berkenaan mengikut keperluan dan kemampuan semasa, khususnya dalam aspek pembangunan sahsiah, kemahiran diri serta persediaan pelatih untuk kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.
“Kerajaan negeri akan terus berusaha memantapkan program di pusat berkenaan mengikut keperluan dan kemampuan semasa, dengan memberi perhatian kepada pengisian pemulihan, pembangunan sahsiah, kemahiran diri serta persediaan pelatih untuk kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat,” katanya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan, pembimbing dan seluruh warga kerja Darul Barakah atas komitmen mereka dalam membimbing serta menyokong pelatih sepanjang proses pemulihan.
Tambahnya, kerjasama berterusan antara kerajaan, pihak pengurusan, keluarga, masyarakat dan penyumbang amat penting bagi memastikan usaha membantu individu yang berdepan masalah ketagihan dadah dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.