Jalur Gemilang
Berita :
Influenza: Lapan kluster Direkodkan, Kadar Jangkitan Menurun Di Terengganu
Influenza: Lapan kluster Direkodkan, Kadar Jangkitan Menurun Di Terengganu
Mastura Jamal Din
12 jam yang lepas
197

KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Sebanyak lapan kluster influenza direkodkan di Terengganu sejak awal tahun ini hingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-41, dengan tujuh daripadanya melibatkan sekolah, manakala satu lagi membabitkan institusi atau kolej.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, situasi jangkitan influenza di negeri ini terus dipantau menerusi sistem survelan kes penyakit seakan-akan influenza (Influenza-Like Illness, ILI), jangkitan pernafasan akut teruk (Severe Acute Respiratory Infections, SARI) serta pelaporan kluster oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Menurut beliau, kadar konsultasi influenza menunjukkan penurunan kepada 1.82 peratus pada ME ke-41, iaitu dari 11 hingga 17 Oktober lalu, berbanding 2.05 peratus pada minggu sebelumnya.

“Kadar tersebut juga lebih rendah berbanding paras kemuncak yang direkodkan pada 2025, iaitu 3.62 peratus.

“Bagaimanapun, penurunan itu tidak bermakna langkah pencegahan boleh diabaikan, khususnya apabila sebahagian besar kluster yang dilaporkan melibatkan institusi Pendidikan,”ujarnya ketika dihubungi.

Tambah beliau, berdasarkan rekod kumulatif sejak ME pertama hingga ME ke-41 tahun ini, tujuh daripada lapan kluster atau 87.5 peratus berlaku di sekolah, manakala sebuah lagi kluster atau 12.5 peratus melibatkan institusi atau kolej.

“Sehubungan itu, ibu bapa dan pihak sekolah disaran memperkukuh langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan jangkitan, termasuk memastikan pelajar yang mengalami gejala seperti demam, selesema dan batuk tidak hadir ke sekolah.

“Ibu bapa juga dinasihatkan mendapatkan rawatan untuk anak yang bergejala serta memantau keadaan mereka. Rawatan susulan perlu diperoleh segera sekiranya gejala bertambah teruk bagi mengurangkan risiko komplikasi,”katanya.

Jelasnya lagi, langkah penutupan sekolah atau premis turut boleh dipertimbangkan oleh pihak pentadbiran melalui perbincangan bersama PKD berdasarkan penilaian risiko, manakala tindakan kawalan boleh difokuskan kepada kumpulan yang terjejas sekiranya penularan hanya melibatkan kelompok tertentu.

Dalam pada itu, menurut Wan Sukairi, JKNT turut bersedia menghadapi kemungkinan lonjakan kes menerusi pelan kesiapsiagaan sedia ada, termasuk memastikan kapasiti klinik kesihatan, hospital dan makmal berada pada tahap optimum.

“Persediaan lain merangkumi penyediaan pusat rawatan demam, pengasingan laluan pesakit berjangkit dan tidak berjangkit di jabatan kecemasan hospital, serta memastikan bekalan oksigen, ubat-ubatan dan keperluan perubatan mencukupi.

“JKNT juga akan menguruskan pemindahan stok ubat antiviral oseltamivir antara fasiliti sekiranya berlaku masalah bekalan, selain memastikan keperluan vaksin influenza bagi petugas kesihatan barisan hadapan, warga emas dan pesakit kronik berisiko tinggi diberi perhatian,”ujar beliau.

Influenza merupakan jangkitan saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza. Walaupun kebanyakan pesakit pulih dalam tempoh kira-kira seminggu, jangkitan boleh menjadi serius, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik.

Justeru, pemantauan berterusan serta kerjasama ibu bapa, institusi pendidikan dan masyarakat penting bagi membendung penularan influenza di Terengganu.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan