Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Sasar Lebih 15 Juta Pengunjung Pada 2027
Terengganu Sasar Lebih 15 Juta Pengunjung Pada 2027
Rohayati Ripin
18 jam yang lepas
269

KUALA TERENGGANU, 22 September – Kerajaan Terengganu menyasarkan lebih 15 juta pelancong dan pengunjung ke negeri itu pada 2027, didorong penganjuran Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2027 serta Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-73.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Razali Idris berkata, kedua-dua agenda itu dijangka memberi limpahan kepada sektor pelancongan, kebudayaan serta ekonomi tempatan.

Menurutnya, penganjuran muktamar yang menghimpunkan peserta dari seluruh negara turut dilihat sebagai peluang menarik lebih ramai pengunjung untuk meneroka destinasi pelancongan Terengganu.

“Kita mahu mereka yang hadir bukan sahaja mengikuti program muktamar, tetapi turut mengambil kesempatan meneroka destinasi pelancongan, menikmati produk kebudayaan dan kulinari serta berbelanja di Terengganu,” katanya ketika dihubungi.

Razali berkata, persiapan TMT 2027 kini sedang dipergiat, termasuk penyediaan Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2027 yang dijangka dilancarkan dalam masa terdekat.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada promosi dan pemasaran, kesiapsiagaan destinasi, pengisian acara serta penglibatan pemain industri dan komuniti tempatan.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan peningkatan jumlah pengunjung memberi kesan langsung kepada aktiviti ekonomi dan pendapatan masyarakat setempat.

Jelas beliau, kerajaan negeri juga akan mempergiat usaha kebersihan dan keceriaan di seluruh Terengganu sebagai persediaan menerima peningkatan jumlah pengunjung sepanjang 2027.

Razali berkata, tumpuan akan diberikan kepada laluan utama, kawasan tumpuan pengunjung, kemudahan awam serta destinasi pelancongan.

“Antara yang akan dipergiat ialah pembersihan berkala, pengindahan kawasan, penyelenggaraan kemudahan awam serta penambahbaikan papan tanda dan imej kawasan,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan kebersihan dan pengurusan sisa turut akan diperkukuh melalui kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan dan komuniti setempat.

Selain itu, penyelarasan aspek keselamatan, trafik serta pengurusan orang ramai akan dilakukan bersama agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran sepanjang penganjuran acara berskala besar.

Razali menegaskan usaha berkenaan bukan hanya bagi menghadapi Muktamar Tahunan PAS, sebaliknya sebahagian daripada persediaan menyeluruh TMT 2027 dan usaha jangka panjang meningkatkan imej Terengganu sebagai destinasi pelancongan.

Katanya, pendekatan itu selari dengan semangat ‘Truly Terengganu’ yang mahu menawarkan pengalaman pelancongan bukan sahaja melalui tarikan destinasi, tetapi juga dari segi kebersihan, keselamatan, keselesaan dan layanan kepada pengunjung.

“Kita mahu setiap pengunjung yang datang membawa pulang pengalaman positif dan kenangan yang baik tentang Terengganu,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan