Jalur Gemilang
Berita :
TDM Santuni 200 Asnaf, Hulur Bantuan Tunai dan Barangan Keperluan
TDM Santuni 200 Asnaf, Hulur Bantuan Tunai dan Barangan Keperluan
Mastura Jamal Din
3 jam yang lepas
121

KUALA TERENGGANU, 10 November – Seramai 200 golongan asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian menerusi Program TDM Bersama Masyarakat Bukit Payong, hari ini.

Menerusi program anjuran TDM Berhad dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Bukit Payong itu, setiap penerima menerima wang tunai RM150 serta barangan keperluan harian bernilai RM50.

Inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan sektor korporat terhadap kebajikan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM,  Najman Kamaruddin berkata, pihaknya komited meneruskan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.

Menurutnya, kerjasama antara komuniti dan pihak berkepentingan menjadi asas penting dalam membentuk masyarakat yang lebih sejahtera.

"Kami percaya manfaat pembangunan perlu dapat dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan yang memerlukan sokongan.

"Melalui pelaksanaan inisiatif CSR secara berterusan, TDM berharap dapat membantu meringankan beban masyarakat selain memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat," katanya.

Majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Dewan Sivik Bukit Payong itu disempurnakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Dato' Mohd Nor Hamzah.

Hadir sama, Ketua Sumber Manusia dan Pentadbiran TDM, Ahmad Shukri Mohd Ali serta Pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Zon Tengah, Ustaz Ahmad Imran Muhamad.

Sementara ITU, Mohd Nor  berkata, penglibatan sektor korporat dalam membantu golongan memerlukan amat penting bagi memastikan kebajikan masyarakat terus terbela.

"Kerjasama erat antara sektor korporat, agensi berkaitan dan masyarakat amat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berterusan kepada golongan yang memerlukan.

"Usaha seumpama ini bukan sahaja membantu meringankan beban penerima, malah memberikan impak bermakna kepada kehidupan mereka," katanya.






Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan