Jalur Gemilang
Berita :
 RM19, 300 Ditemui di Kawasan Kemalangan Dipulangkan, Kejujuran Hamid Tarik Perhatian
RM19, 300 Ditemui di Kawasan Kemalangan Dipulangkan, Kejujuran Hamid Tarik Perhatian
Ariss Alias
19 jam yang lepas
1164

SETIU, 28 Oktober - Kejujuran seorang penduduk, Hamid bin Samat, yang menyerahkan wang tunai berjumlah RM19,300 yang ditemuinya berhampiran sebuah kenderaan terlibat dalam kemalangan di Sungai Tong, baru-baru ini menarik perhatian sekaligus wajar dijadikan teladan kepada masyarakat.

Sebagai tanda penghargaan atas tindakan terpuji itu, satu kunjungan ke kediaman Hamid di Jalan Felda Belara telah diadakan semalam oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof bersama Ketua Polis Daerah Setiu, Supt. Zahril Asri  Mohd Zain, bagi menyampaikan sumbangan kepada beliau. 

Wang tunai berkenaan ditemukan di dalam sebuah beg plastik berwarna hijau berhampiran kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Sungai Tong baru-baru ini. 

Hamid kemudian mengambil tindakan bertanggungjawab dengan menyerahkan wang tersebut kepada Pegawai Bertugas (OCS) Balai Polis Sungai Tong untuk tindakan lanjut. 

Hasil tindakan itu, wang berkenaan berjaya diserahkan semula kepada waris yang berhak.

Azmi berkata tindakan Hamid mencerminkan nilai kejujuran, amanah dan integriti yang perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat. 

"Sikap bertanggungjawab seperti itu bukan sahaja mencerminkan keperibadian mulia seseorang, malah membantu membina masyarakat yang harmoni dan saling mempercayai,"katanya ketika ditemui, di sini, semalam. 

Menurutnya, penghargaan yang diberikan diharap dapat menjadi dorongan kepada masyarakat untuk terus mengamalkan nilai murni serta melakukan perkara yang betul tanpa mengharapkan balasan. 

Kisah Hamid membuktikan bahawa integriti bukan sekadar nilai yang diungkapkan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan yang ikhlas dan bertanggungjawab.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan