lightning-solid
Berita :
Terengganu, Narathiwat Buka Era Baharu Kerjasama Pelancongan
Terengganu, Narathiwat Buka Era Baharu Kerjasama Pelancongan
Hafiz Rosli
16 Jul 25
1093

NARATHIWAT, 16 Julai - Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Jabatan Pelancongan Negeri telah memulakan satu lembaran baharu dalam hubungan serantau apabila menjayakan Program Jelajah Silang Budaya Beautiful Terengganu 2025 SG4 di Narathiwat, Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata kunjungan rasmi ini disambut meriah oleh pimpinan dan komuniti Narathiwat yang diketuai oleh Timbalan Gabenor Narathiwat, Mr Kritsananan Kamrai, Datuk Bandar Narathiwat,  Mr Ruslan Arong, serta beberapa pimpinan lain.

Katanya, ia sekali gus membuka ruang kerjasama yang lebih menyeluruh dalam bidang pelancongan dan kebudayaan.

“Jelajah ini menjadi medan terbaik untuk memperkukuhkan hubungan dua hala, bukan sahaja dalam konteks promosi destinasi, tetapi juga dalam membangunkan pelancongan berasaskan komuniti dan warisan budaya serumpun.

“Terengganu dan Narathiwat berkongsi banyak persamaan dari aspek warisan, bahasa, makanan dan budaya. Ini asas kukuh untuk kita bangunkan pelancongan secara bersama,” katanya kepada pemberita selepas majlis di Restoran Akhoor By Nasir di Narathiwat baru-baru ini.

Razali berkata, pelancongan pada masa kini perlu memberi tumpuan kepada pengalaman budaya, interaksi komuniti, dan pertukaran nilai lokal, dan bukan hanya kepada destinasi semata-mata.

“Sebelum ini, delegasi Narathiwat telah turut serta dalam Pelancaran Musim Mencandat Sotong Terengganu 2025 dan kini kami menjemput mereka Karnival Pantai Terengganu yang dijadual berlangsung Ogos nanti.

“Sebagai balasan, Kerajaan Negeri Terengganu akan menyertai acara pelancongan dan kebudayaan di Narathiwat sepanjang tahun ini sebagai tanda sokongan dan komitmen terhadap diplomasi pelancongan serantau.

“Insya-Allah, era baharu ini akan menyaksikan lebih banyak peluang untuk usahawan tempatan, penggiat seni dan masyarakat kedua-dua wilayah meraih manfaat langsung daripada pembangunan sektor ini,” ujarnya.

Untuk rekod, Program Jelajah Silang Budaya Beautiful Terengganu SG4 2025 sebelum ini telah berlangsung di Kelantan, Perlis dan Kedah, dan kini melakar sejarah apabila melebarkan sayap ke luar negara bermula dengan Narathiwat, Thailand.

 


Tag :

Artikel Berkaitan