Jalur Gemilang
Berita :
‘Raja Penyu’ Kembali, Sulong Chalil Jadi Tetamu Istimewa di Terengganu
‘Raja Penyu’ Kembali, Sulong Chalil Jadi Tetamu Istimewa di Terengganu
Mastura Jamal Din
57 minit yang lepas
18

KUALA TERENGGANU, 3 September – Selepas hampir sembilan tahun ‘menghilang’, ‘Raja Penyu’ kembali menjejakkan siripnya di pantai Terengganu, manakala gajah liar, Sulong Chalil pula menemui ‘rumah’ baharu yang lebih selamat di Taman Negara Terengganu.

Kehadiran dua spesies ikonik itu mencuri perhatian apabila seekor penyu belimbing dipercayai mendarat dan bertelur di Pantai Gong Balai, Marang pada 1 September lalu serta kesemua 44 telurnya dipindahkan dengan selamat ke pusat penetasan di Rantau Abang.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kemunculan semula penyu belimbing selepas hampir sembilan tahun tidak direkodkan mendarat di Terengganu merupakan perkembangan yang amat bermakna.

Dalam hantaran di Facebook rasminya, beliau berkata, pada masa sama Terengganu turut menerima ‘tetamu’ istimewa apabila Sulong Chalil, gajah liar jantan yang sebelum ini berkeliaran di sekitar Jalan Raya Timur-Barat, dipindahkan ke Taman Negara Terengganu melalui pintu masuk Tasik Kenyir.

Menurut beliau, pemindahan berkenaan bertujuan memastikan gajah berkenaan mendapat habitat yang lebih selamat dan sesuai.

“Dua cerita ini mengingatkan kita bahawa Terengganu bukan hanya kaya dengan keindahan alamnya, tetapi turut menjadi tempat penting untuk hidupan liar terus hidup dan dilindungi,” katanya.

Ahmad Samsuri turut berharap ‘Raja Penyu’ akan terus kembali ke pantai Terengganu, manakala Sulong Chalil dapat menikmati kehidupan lebih aman di habitat baharunya.

Katanya, kelestarian alam sekitar merupakan amanah yang perlu dipelihara supaya khazanah berkenaan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

“Alam ini bukan milik kita seorang. Ia amanah untuk kita pelihara supaya generasi akan datang masih dapat melihat sendiri khazanah yang sama.

“Selamat datang dan selamat pulang ke Terengganu,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan