lightning-solid
Berita :
Terengganu Lulus Lesen Sampan Tertinggi, Kebajikan Lebih 1,000 Nelayan Kini Terbela
Terengganu Lulus Lesen Sampan Tertinggi, Kebajikan Lebih 1,000 Nelayan Kini Terbela
Ahmad Zaeem Zainudin
15 jam yang lepas
261

DUNGUN, 3 Mac - Terengganu merekodkan kelulusan lesen sampan nelayan tertinggi dalam negara apabila lebih 1,000 lesen diluluskan menerusi dua siri pelaksanaan permohonan sejak 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, bagi tahun 2026 sahaja sebanyak 436 lesen sampan nelayan berjaya diluluskan selepas permohonan dibuka pada Oktober 2025.

"Alhamdulillah, kita dapat agihkan pada tahun ini sebanyak 436 lesen. Jadi ini adalah siri kedua 'Task Force' selepas siri pertama, yang kita adakan pada tahun 2019. Di mana pada tahun tersebut kita mendapat kelulusan sebanyak 680 lesen.

"Sekarang ni 436 lesen. Jadi daripada dua Task Force tu kita telah mendapat kelulusan 1,000 lebih. 

"Dan ini jumlah yang tertinggi dalam negara yang menyelesaikan di antara isu lapuk yang dihadapi oleh nelayan kita sejak daripada berpuluh tahun yang lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Agihan Lesen Sampan Nelayan 2026 siri ketiga di Seberang Pintasan, Dungun, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi serta ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli. 

Menurutnya lagi, daerah Dungun merupakan daerah penerima tertinggi dengan bilangan seramai 90 penerima dari 436 penerima lesen di seluruh negeri..

Jelas Azman, kelulusan tersebut membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu lama membabitkan nelayan pantai yang berdepan kekangan mendapatkan lesen sah sebelum ini.

"Bila nelayan ini dapat lesen, mereka perlu turun ke laut, melaporkan hasil tangkapan di pusat pengisytiharan hasil LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia).

"Dan dalam tempoh setahun akan dinilai. Apabila mencukupi syarat, maka mereka layak untuk mendapat elaun sara hidup nelayan dan juga minyak bersubsidi.

"Jadi bermakna perjuangan kita untuk menyelesaikan isu lesen sampan nelayan untuk nelayan pantai kita telah berjaya sebahagian besar," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihati penerima lesen supaya mematuhi syarat yang ditetapkan serta memperbaharui lesen setiap tahun bagi memastikan status mereka kekal sah sebagai nelayan berdaftar di bawah Akta Perikanan 1985.


Artikel Berkaitan