KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) melangkah ke era baharu transformasi digital apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan CelcomDigi Berhad bagi memperkukuh pelaksanaan projek Kecerdasan Buatan (AI) di negeri ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, kerjasama itu menjadi pemangkin utama kepada agenda digitalisasi Terengganu yang dijangka meningkatkan kecekapan operasi serta menambah hasil negeri dalam jangka panjang.
"MoU ini sangat penting kerana kami melihat bidang AI ini mesti diterokai dan diterapkan dalam setiap program yang dijalankan.
"CelcomDigi menjadi rakan strategik kami untuk mengenal pasti jurang dan keperluan dalam melaksanakan projek-projek AI termasuk aspek keselamatan siber, 'Internet of things' (IoT) serta isu sambungan.
Kita akan melaksanakannya langkah demi langkah sehingga keseluruhan pelan berjaya disempurnakan," katanya ketika sidang media sempena Corporate Directors' Programme (CDP 2025) di Pusat Konvesyen Taman Tamadun Islam, di sini semalam.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat; Ketua Pegawai Perusahaan Perniagaan CelcomDigi, Ts. Afizulazha Abdullah.

"Jika dilaksanakan dengan baik, projek ini akan meningkatkan pendapatan dan yang paling penting ia akan menurunkan kos operasi, sekaligus membawa keuntungan lebih besar pada masa depan," jelasnya.
Dato’ Burhanuddin turut berkongsi potensi penerapan AI dalam pelbagai sektor, antaranya perladangan, pertanian dan pengurusan hasil.
"Sebagai contoh, dalam sektor perladangan, AI boleh membantu meningkatkan hasil tuaian dengan memantau kematangan buah menggunakan dron.
"Kita juga boleh menggunakan AI untuk mengesan gangguan gajah di ladang atau menentukan masa sesuai untuk penuaian supaya kadar perahan minyak sawit dapat dimaksimumkan," tambah beliau.
Beliau berkata, Terengganu Inc akan bekerjasama dengan CelcomDigi bagi menilai kawasan yang sesuai untuk pelaksanaan projek AI secara sistematik dalam tempoh enam bulan hingga setahun akan datang.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan keperluan sumber manusia berkemahiran tinggi bagi menyokong pelaksanaan inisiatif itu.
"Dengan kewujudan AI dan pendigitalan ini, kita memerlukan individu berkemahiran dan berpengetahuan tinggi dalam bidang berkenaan.
"Oleh itu, Terengganu Inc akan melabur dalam latihan serta pembangunan tenaga kerja bagi mengisi kekosongan jawatan strategik berkaitan teknologi maklumat dan kecerdasan buatan," ujarnya.
"Daripada sesi itu, kami mengenal pasti 150 titik kesulitan yang dihadapi oleh Terengganu Inc dan membangunkan satu kerangka kerja lengkap bagi pelaksanaan teknologi AI.
"Pendekatan kami jelas, bermula dengan membina sambungan digital, kemudian mengautomasikan proses, dan akhirnya mencapai tahap kecerdasan. Ia penting untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, kecekapan operasi dan membuka peluang baharu," jelasnya.
Menurut Ts. Afizulazha, data yang dikongsi antara kedua-dua pihak adalah sulit dan akan dilindungi sepenuhnya di bawah perjanjian tersebut.