SENAI, 1 Ogos - Kerajaan Terengganu memperkukuhkan kerjasama dengan syarikat pengeluar peralatan elektrik rumah, FOZ One dengan mengadakan lawatan industri ke syarikat terbabit semalam.
FOZ One, yang dahulunya dikenali sebagai MyBrush telah menyediakan pekerjaan kepada 400 anak Terengganu melalui program padanan kerja yang diadakan pada tahun 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata lawatan itu adalah bagi melihat sendiri keadaan kilang tersebut sekali gus menyantuni kesemua pekerja.
"Alhamdulillah, melalui program 'outreach' yang kita lakukan dahulu mereka telah memberi peluang pekerjaan yang sangat baik kepada anak Terengganu.
"Jadi apa yang penting pada hari ini (semalam) adalah untuk kita melihat sendiri dari segi perjalanan operasi kilang ini serta kita hendak jumpa sendiri dengan anak Terengganu.
"Dalam lawatan ini kita telah berpeluang melihat bagaimana kilang ini beroperasi dalam menghasilkan peralatan pembersihan berkualiti tinggi," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan lawatan ke kilang tersebut bersama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC).

Turut hadir, Pegawai Eksekutif THRDC, Aminuddin Omar, Pengasas FOZ One, Datuk Lee Fook Yuen.
Lawatan itu turut melibatkan Institusi Pengajian Tinggi dari Terengganu antaranya Universiti Malaysia Terengganu, Latihan Perindustrian (ILP) Terengganu, TESDEC, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, TATI UC, ADTEC Kemaman, Universiti Sultan Zaninal Abidin (UniSZA).
Dalam pada itu, Ariffin berkata pihaknya juga turut berhasrat menyediakan lagi 300 orang anak Terengganu yang akan bekerja di syarikat terbabit melalui peluang yang disediakan.
Sementara itu, anak Terengganu, Ridhwan Zulkifli, 28, dari Dungun yang bekerja di syarikat itu sangat bersyukur kerana ditempatkan untuk bekerja di syarikat itu setelah menghadiri program padanan kerja yang dilakukan oleh Terengganu pada tiga tahun yang lalu.
"Alhamdulillah, saya diberikan gaji yang sangat baik serta kemudahan yang sangat lengkap dengan apa yang saya perolehi sekarang ini dapat membela nasib diri serta keluarga," ujarnya.
Nor Fashilin Azhara, 31 dari Kuala Nerus pula berkat, a usaha Terengganu untuk menghantar lagi anak Terengganu berkerja di syarikat itu sangat-sangat dialu-alukan.
"Mereka sangat menjaga kebajikan pekerja serta menyediakan ruang pekerjaan yang cukup selesa.
"Hubungan baik antara kerajaan negeri dan syarikat FOZ One ini pula menjadi nilai tambah yang sangat bermakna buat kami anak Terengganu yang bekerja di sini," ujarnya.
