Berita :
Tangani Impak Harga Minyak Naik, Negeri Disaran Perkukuh Intervensi
Tangani Impak Harga Minyak Naik, Negeri Disaran Perkukuh Intervensi
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
50

KUALA TERENGGANU, 21 April – Kerajaan negeri disaran memperkukuh langkah intervensi bagi menangani kesan kenaikan harga minyak yang semakin dirasai rakyat, termasuk melalui sokongan lebih tersusun kepada sektor-sektor yang terjejas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed, berkata kerajaan negeri tidak boleh terus terikat dan bergantung sepenuhnya kepada pendekatan di peringkat pusat yang dilihat masih belum memadai, sebaliknya perlu bertindak lebih proaktif bagi melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurut beliau, kenaikan harga petrol dan diesel bukan sahaja memberi kesan langsung kepada rakyat, malah turut menekan sektor ekonomi melalui peningkatan kos logistik, pengangkutan dan harga barangan asas.

Katanya, keadaan itu menunjukkan isu berkenaan bukan lagi bersifat teknikal semata-mata, sebaliknya telah menjadi beban langsung yang dirasai rakyat di pelbagai peringkat.

“Realiti di lapangan menunjukkan rakyat kini berdepan tekanan yang semakin menghimpit, berikutan kenaikan kos dalam rantaian ekonomi yang memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Shah berkata terdapat keperluan untuk memperjelas hala tuju dasar di peringkat pusat yang menurutnya masih dilihat tidak menyeluruh serta kurang meyakinkan rakyat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri melaksanakan intervensi bersasar, termasuk memperkukuh sokongan kepada sektor pengangkutan dan logistik tempatan, mempertingkat kawalan rantaian bekalan, serta mengukuhkan jaringan keselamatan sosial kepada golongan yang terkesan.

Justeru, katanya, kerajaan negeri perlu memainkan peranan lebih aktif sebagai pelindung rakyat dalam berdepan cabaran ekonomi semasa.

“Dengan kepimpinan yang jelas serta tindakan yang pantas, negeri berupaya kekal stabil dan berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan