Jalur Gemilang
Berita :
Masjid At-Taqwa Bakal Dibina Semula Selepas Terbakar
Masjid At-Taqwa Bakal Dibina Semula Selepas Terbakar
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
64

SETIU, 17 November – Masjid At-Taqwa di Kampung Beris Tok Ku yang musnah hampir keseluruhannya dalam kebakaran pada 6 November lalu dicadang dibina semula dengan kapasiti sehingga 750 jemaah berbanding kira-kira 300 orang sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang meneliti cadangan reka bentuk masjid baharu yang lebih besar dan bersesuaian dengan keperluan semasa serta pertambahan penduduk pada masa hadapan.

Menurutnya, permohonan pembinaan baharu masjid berkenaan sebenarnya telah diluluskan sebelum kejadian kebakaran menerusi Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Kali Ke-4 pada 24 September 2023.

“Antara syarat utama kelulusan tersebut adalah bangunan masjid baharu hendaklah dibina di atas tapak asal masjid.

“Penyediaan tempat solat sementara perlu dilaksanakan bagi memastikan aktiviti ibadah masyarakat setempat dapat diteruskan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini masjid berkenaan semalam

Beliau berkata, tanah tapak masjid baharu, iaitu PT 10354 seluas 1.277 hektar, juga perlu diwakafkan kepada MAIDAM sebagaimana syarat kelulusan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi pada 6 November lalu, hampir keseluruhan struktur bangunan masjid yang sebahagian besarnya diperbuat daripada kayu musnah terbakar.

Masjid yang dibina hasil sumbangan orang ramai itu pada asalnya merupakan sebuah surau sebelum dinaik taraf menjadi masjid pada 2007.

Sementara itu, Muhammad Khalil berkata, Dewan Futsal Kampung Beris Tok Ku dipersetujui sebagai lokasi sementara bagi pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah, hasil perbincangan Pejabat Agama Daerah Setiu bersama jawatankuasa masjid.

Menurutnya, dewan yang terletak kira-kira 200 meter dari tapak asal masjid itu dianggarkan mampu menampung sehingga 400 jemaah pada satu-satu masa.

Bagaimanapun, katanya, dewan yang telah lama tidak digunakan itu memerlukan kerja penyelenggaraan, baik pulih dan pengubahsuaian sebelum boleh dijadikan tempat ibadah.

“Antara keperluan yang dikenal pasti termasuklah penyediaan ruang solat, tempat mengambil wuduk, tandas, sistem pencahayaan, kipas, pembesar suara serta kemudahan asas lain bagi memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah,” katanya.

Beliau berkata, semakan skop kerja baik pulih dewan sedang dilakukan Pejabat Daerah Setiu, JKR Setiu dan Majlis Daerah Setiu.

Pada masa sama, jawatankuasa masjid telah menubuhkan tabung bencana sejak hari kejadian, dengan penggunaan wang tabung dipantau Pejabat Agama Daerah Setiu bersama Pejabat Daerah Setiu.

Muhammad Khalil berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan kebajikan dan keperluan ibadah penduduk terus diberi perhatian, khususnya melalui penyediaan tempat solat sementara.

Katanya, usaha merealisasikan pembinaan semula masjid akan diteruskan melalui penyelarasan antara agensi kerajaan, pihak berkuasa agama dan pihak berkaitan, tertakluk kepada kelulusan serta prosedur ditetapkan.

Berhubung punca kebakaran, beliau berkata, siasatan pihak berkuasa masih menjadi rujukan bagi menentukan punca sebenar kejadian.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan