Berita :
Tajaan TVET RM7.5 Juta Manfaat 547 Pelajar Terengganu
Tajaan TVET RM7.5 Juta Manfaat 547 Pelajar Terengganu
Mastura Jamal Din
9 jam yang lepas
105

KUALA TERENGGANU, 23 April – Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Terengganu terus komited memperkukuh pembangunan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai antara teras utama dalam melahirkan tenaga kerja mahir, berkemahiran tinggi serta memenuhi keperluan industri semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat, berkata bagi tahun 2026, Yayasan Terengganu akan menaja seramai 547 pelajar dalam program kemahiran dan TVET dengan jumlah peruntukan sebanyak RM7.5 juta.

Beliau berkata, program itu melibatkan pelbagai bidang teknikal dan industri seperti automotif, kimpalan, teknologi elektrik, aeroangkasa, maritim, hospitaliti serta teknologi industri.

“Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan pinjaman pendidikan serta tajaan latihan kemahiran melalui lebih 15 institusi dan pusat latihan kemahiran antaranya TESDEC (automotif, welding, kesihatan industri), TATI University College (TATIUC), Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu, TTITC (industri kayu dan pembuatan), ADTEC dan pusat latihan elektrikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Yusop Majid pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Menurut Satiful, pihaknya turut menawarkan program kemahiran yang merangkumi bidang perkhidmatan dan industri kreatif seperti hospitaliti, kulinari, kecantikan serta kemahiran teknikal lain yang relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan.

Katanya, kerajaan negeri juga memperkukuh hubungan antara institusi TVET dan pihak industri melalui kerjasama strategik yang memberi nilai tambah kepada kebolehpasaran graduan.

Antara kerjasama itu jelas beliau, termasuk dengan Batik Air dan Malaysia Airlines (MAS), selain kerjasama dengan industri berat dan teknikal serta sektor maritim.

Kerajaan negeri, katanya, turut merancang untuk terus memperkukuh TVET bagi memastikan kesinambungan serta keberkesanan program di bawahnya, termasuk memperluas kerjasama industri khususnya dalam sektor aeroangkasa, teknologi tinggi dan digital, selain menambah program kemahiran baharu berimpak tinggi.

“Kita juga berhasrat meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan melalui latihan berasaskan industri dan memperkukuh laluan pendidikan fleksibel antara TVET dan akademik bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelajar, sebagaimana inisiatif yang dilaksanakan oleh UCTATI yang menyediakan laluan bersepadu daripada peringkat sijil, diploma hingga ke peringkat ijazah dalam bidang teknikal dan teknologi,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri melihat TVET di Terengganu sebagai laluan alternatif kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik, medium untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selain membantu mengurangkan kadar pengangguran belia.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan