Berita :
Semangat THT Dipuji, Harfizi Mahu Perkukuh Pertahanan Hadapi Aksi Seterusnya
Semangat THT Dipuji, Harfizi Mahu Perkukuh Pertahanan Hadapi Aksi Seterusnya
Ahmad Zaeem Zainudin
21 jam yang lepas
52

KUALA TERENGGANU, 11 April - Walaupun terlepas Piala Sumbangsih, ketua jurulatih Terengganu Hockey Team (THT), Mohd Harfizi Baharom tetap menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang dipamerkan anak buahnya ketika berdepan pasukan yang lebih berpengalaman.

Jurang pengalaman yang besar itu telah mematahkan hasrat THT untuk memulakan musim dengan Piala Sumbangsih selepas tewas 5-4 kepada TNB Thunderstars, petang tadi.

Menurut Harfizi, perlawanan itu membuktikan pemain THT memiliki mentaliti kuat apabila mampu memberi tentangan sengit meskipun berdepan TNB yang dibarisi 16 pemain kebangsaan berbanding hanya empat dalam skuadnya.

"Hari ini saya amat berpuas hati dengan pasukan. Walaupun mereka tahu berdepan dengan pasukan TNB yang cukup lengkap dan berkualiti, pemain-pemain tetap dapat mengawal perlawanan sehingga kedudukan 4-4 sebelum kita tewas 45 saat terakhir.

"Kita pun kalau ikutkan di atas kertas, kita memang tak memiliki kelebihan. Tapi pemain-pemain bila dia masuk ke dalam padang, dia terjemahkan satu perkara yang positif untuk pasukan.

"Maknanya walaupun berdepan dengan mana-mana pasukan pun, bila kita punya mentaliti dah siap untuk bermain game tu, bermati-matian kita akan teruskan perjuangan itu," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat beberapa aspek yang perlu diberi penambahbaikan segera, khususnya dari sudut pertahanan ketika menghadapi pukulan sudut penalti.

"Saya rasa kita kena melihat semula pertahanan kita, terutama dalam situasi pukulan sudut penalti. Itu antara perkara utama yang perlu kita perbaiki untuk perlawanan seterusnya," jelasnya.

Mengulas prestasi pemain import baharu, Keenan Craig Horne, Harfizi menyifatkan pemain itu menunjukkan impak positif dalam penampilan sulungnya bersama pasukan.

"Ini perlawanan pertama dia dan bagi saya tiada masalah dengan prestasi Keenan. Pergerakan dia menghasilkan dua gol pertama kita dan dia juga memberi ‘assist’ kepada jaringan pertama. ‘Work rate’ dia juga sangat baik," katanya.

Pada masa sama, Harfizi turut menegaskan fokus pasukan kini terarah kepada baki dua lagi trofi musim ini dan bertekad untuk bangkit.

"InshaAllah, kita akan ‘fight’ balik untuk dua lagi piala. Kita tak nak lepaskan kedua-duanya dan akan cuba perbaiki apa yang perlu bagi memastikan pasukan kembali bersaing," ujarnya penuh hasrat.

Beliau turut memaklumkan bahawa pemain Dilraj Singh dijangka menyertai pasukan dalam masa terdekat, sekali gus menambah kekuatan skuad menjelang aksi seterusnya.

THT dijadualkan bertemu Maybank dalam perlawanan seterusnya pada 17 April di Kuala Lumpur.


Ketupat

Artikel Berkaitan