lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Sukarelawan Syariah Kuala Nerus Tumpu Kawasan Panas
Sukarelawan Syariah Kuala Nerus Tumpu Kawasan Panas
KUALA NERUS, 9 September - Kawasan pesisir pantai di daerah ini yang kerap menjadi sasaran segelintir individu untuk melakukan perbuatan tidak bermoral akan diberi tumpuan oleh skuad sukarelawan syariah Kuala Nerus dalam usaha membanteras perbuatan maksiat di negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal Dr Alias Razak berkata, antara yang menjadi lokasi panas adalah kawasan Pantai Hulu Takir, yang terletak di sepanjang laluan menghala ke jambatan angkat (drawbridge).  Katanya, seramai 120 anggota sukarelawan dilantik sentiasa bersedia membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melaporkan sebarang kesalahan di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah yang berlaku di daerah ini. “Sukarelawan syariah adalah orang awam yang dilantik oleh kerajaan negeri diletakkan dibawah pemantauan JHEAT, tidak diberi kuasa menangkap dan menyiasat oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). “Bagaimanapun mereka ini sedia tampil memberi maklumat dan bersedia untuk bekerjasama dan menjadi saksi dalam sesuatu kes terutamanya melibatkan kes jenayah syariah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah Daerah Kuala Nerus anjuran Bahagian Penguatkuasaan JHEAT di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) JHEAT, Zulkefli Othman, Penolong Kanan Pesuruhjaya (Pencegahan) JHEAT, Kamal Bin Mamat dan Ketua Sukarelawan Syariah Kuala Nerus, Harun Salleh. Katanya, inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri itu telah membuka peluang kepada mana-mana rakyat Terengganu atau NGO untuk turut serta membantu JHEAT mendidik dan memberi kefahaman kepada orang ramai akan kesalahan syariah yang berkuatkuasa di negeri ini. “Dengan kekuatan anggota penguatkuasa JHEAT yang kurang daripada 10 orang di setiap daerah sudah pasti tidak mampu untuk menjaga penduduk negeri ini, justeru dengan adanya sukarelawan syariah di setiap daerah ini sedikit sebanyak dapat meluaskan pemantauan,” ujarnya. Dr Alias berkata, tujuan pencegahan dilakukan bukan semata-mata untuk menangkap mereka yang melakukan kesalahan syariah tetapi lebih kepada mendidik dan memupuk kesedaran masyarakat agar sama-sama bertanggungjawab mencegahnya.  
09 Sep 20
596
Satu Kampung Satu Padang Bola
Satu Kampung Satu Padang Bola
Oleh : Amiirullah Mansor DUNGUN, 8 September- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat berhasrat untuk mewujudkan satu padang bola di setiap kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan. Katanya, padang bola yang akan diwujudkan itu akan mengikut kesesuaian kawasan masing-masing selain menambahbaik padang bola yang sedia ada sebagai pusat komuniti orang muda. “Kita sudah perhatikan beberapa kawasan yang tiada padang bola dan sesuai untuk dibangunkan kemudahan terbabit.  “Terdapat juga beberapa buah padang bola yang sedang dibaikpulih seperti di Felda Kerteh 1, Tebing Tembah, Kampung Nyior, dan beberapa kampung lagi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Liga 5 Sebelah Penalti di Padang Kampung Santong, baru-baru ini. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri berkata, pihaknya juga akan mewujudkan perlawanan bola sepak secara liga setelah isu padang ini selesai.  “Dengan wujud kemudahan padang ini, kita boleh mengajurkan perlawanan bola sepak antara kampung di peringkat DUN, Parlimen seterusnya ke peringkat negeri," ujarnya.
09 Sep 20
741
Dua Isteri Arwah Khairul Terima Faedah PERKESO
Dua Isteri Arwah Khairul Terima Faedah PERKESO
DUNGUN, 8 September- Nasib kedua-dua isteri arwah Khairul Aswad Ismail, 42, yang meninggal dunia 4 September lalu kerana keracunan darah terbela apabila menerima Faedah Pengurusan Jenazah dan Faedah Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) Terengganu.  Pengurus PERKESO Dungun, Nor Afizah Aziz berkata, Suraya Mamat , 43, dan Rosliza Abdullah, 43, layak menerima Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM 2,000 dan Faedah Pencen Penakat kerana suami mereka adalah pencarum aktif. "Hasil daripada semakan PERKESO mendapati arwah Khairul Aswad merupakan pekerja di Syarikat Kilang Papan PESAKA Terengganu Berhad (PTB) dan mencarum selama 180 bulan tanpa gagal. "Faedah Pencen Penakat yang layak diterima kedua-dua orang balu berkenaan adalah sepanjang hayat mereka dan bagi enam anak bersama arwah sehingga berumur 21 tahun." ujarnya. Beliau berkata demikian selepas  menyerahkan faedah berkenaan kepada keduanya dalam satu pertemuan ringkas di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, semalam. Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan Pengurus Besar PTB, Hilmi Awang. Nor Alfizah berkata, maklumat mengenai kematian Khairul telah disampaikan oleh Ghazali dan tindakan segera telah diambil PERKESO bagi menyantuni keluarga arwah. "Semoga mereka redha dengan pemergian arwah dan sentiasa tabah untuk meneruskan kehidupan mendatang. "PERKESO Dungun juga mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Penyelaras DUN Bukit Besi serta pihak pengurusan PTB atas kerjasama diberikan,"  ujarnya Sementara itu Ghazali berkata, pihaknya sangat berterima kasih atas tindakan segera yang dilaksankan pertubuhan berkenaan. "Alhamdulillah di dalam membantu masyarakat, terutamanya bagi membela nasib-nasib mereka terutama yang kehilangan ketua keluarga sangat kita titikberatkan. "Kerana itu seringkali kita menghantar maklumat kepada PERKESO sehingga telah membawa kepada terjalinnya hubungan sebagai rakan strategi untuk Program 'Social Synergy PERKESO' . Semoga kedua-dua balu diberi kekuatan oleh Allah untuk meneruskan kehidupan dengan baik," ujarnya.
08 Sep 20
1414
Hadiah Untuk Nelayan, 16 Tukun Akan Dilabuhkan Hujung Bulan Ini
Hadiah Untuk Nelayan, 16 Tukun Akan Dilabuhkan Hujung Bulan Ini
KUALA TERENGGANU , 7 September – Kerajaan Terengganu akan melabuhkan 16 tukun lagi pada hujung bulan ini bagi membantu memperkayakan sumber hasil laut di negeri terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tukun konkrit seberat kira-kira 16 tan bagi setiap unit itu sudah siap dibina di Pulau Kambing di sini. "Insya-Allah program labuh tukun akan dilaksanakan pada akhir September ini di Perairan Benting Lintang, Besut dan Perairan Kuala Ibai, Kuala Terengganu. "Untuk tahun ini, sebanyak RM500 ribu diperuntukan bagi program tukun melibatkan RM300 ribu peruntukan kerajaan negeri manakala bakinya daripada Kerajaan Persekutuan.  "Kerajaan Negeri terus komited menyalurkan peruntukan bagi memperkayakan lagi sumber hasil laut kita. Di samping berfungsi sebagai rumah ikan, tukun seberat 16 tan ini juga akan menjadi penampan bagi kegiatan pukat tunda,’’ ujarnya. Beliau berkata demikian selepas melakukan Lawatan ke Tapak Bina Tukun di Pulau Kambing dan Program Pemantauan Unjam di Kuala Ibai, di sini, hari ini.    Sementara itu, beliau turut turun melihat dan memantau keberkesanan unjam yang telah dilabukan di Kuala Ibai bersama Jabatan Perikanan sebelum ini. "Setelah dua minggu berlalu tempoh masa unjam dilabuhkan di Perairan Chendering, kita buat pemantauan dan ujian untuk mengenalpasti kewujudan spesis ikan yang mula menghuni unjam tersebut. "Pemantauan ini penting bagi melihat sejauh mana keberkesanan program labuh unjam dalam meningkatkan hasil tangkapan nelayan," katanya lagi.
07 Sep 20
3359
Perketatkan Penguatkuasaan Syariah Di Daerah Hulu Terengganu
Perketatkan Penguatkuasaan Syariah Di Daerah Hulu Terengganu
  HULU TERENGGANU, 7 September - Kerajaan negeri melalui pejabat agama daerah akan melaksanakan penguatkuasaan syariah secara menyeluruh dan lebih kerap pada masa akan datang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, ia menjadi harapan pihaknya kerana penekanan nilai Islam juga mestilah diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat. "Penguatkuasaan syariah di daerah ini mestilah diperketatkan pada masa akan datang kerana ini merupakan tanggungjawab yang kita akan jawab di hadapan Allah nanti. "Salah satu langkah yang telah diambil dalam masa terdekat ialah pelancaran Penguatkuasa Sukarelawan Syariah di daerah ini yang telah dirasmikan oleh Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abd Rashid pada Ogos lalu dan ia merupakan salah satu langkah kerajaan negeri bagi mencegah kemungkaran yang berlaku di daerah ini,"ujarnya. Beliau yang turut memegang salah satu portfolio EXCO Kerajaan Negeri Terengganu berkata demikian ketika kunjung hormat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) ke Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, pagi semalam. Menurut beliau, kunjung hormat ke pejabat agama daerah bertujuan mendapatkan perkembangan dan maklumat secara terus mengenai kerja-kerja dan permasalahan yang berkaitan dengan pejabat agama daerah. "Saya mengadakan kunjung hormat pada hari ini (semalam) bertujuan untuk mengetahui perkembangan dan penambahbaikan dari sudut syariah selepas kerajaan negeri memerintah selama setengah penggal ini. "Saya juga ada bertanya mengenai perkembangan masjid di seluruh daerah Hulu Terengganu dan juga ingin mengetahui jika ada apa-apa yang pihak kami boleh bantu. Alhamdulillah, pihak pejabat agama daerah menyambut baik dan rasanya tidak ada masalah untuk kita bekerjasama pada masa akan datang," jelasnya. Turut hadir, Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu, YM Engku Omar Amiruddin Engku Ali, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Penguatkuasaan), Mohd Shafie Endut, Ketua Penyelia IMITS Dun Kuala Berang, Mohamed Abdullah, dan Pegawai Khas ADUN Kuala Berang, Mohd Ariff Azlan.
07 Sep 20
636
Krisis Air Isu Bersama, Usah Perlekehkan Sesiapa – Dr Azman
Krisis Air Isu Bersama, Usah Perlekehkan Sesiapa – Dr Azman
SETIU, 6 September – Krisis air yang sedang melanda salah sebuah negeri di Malaysia ketika ini merupakan isu bersama yang tidak patut perlekehkan mana-mana pihak.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata isu besar ini merupakan masalah sejagat di Malaysia dan tiada negeri bebas sepenuhnya daripada kemelut itu. "Sama ada masalah terputus terus bekalan air, tekanan air rendah, kualiti air yang rendah atau kawasan penempatan penduduk yang belum dapat bekalan air bersih. "Jadi, seeloknya jangan ada siapa yang memperlekehkan sesiapa. Ini adalah isu kita bersama. Bezanya ada negeri yang agak ringan masalah dan ada negeri yang sangat kronik.’’ beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.    Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, pihaknya terus komited untuk meminimakan sedaya mungkin jumlah penduduk yang belum mendapat bekalan air bersih.  "Kerja-kerja pemasangan paip air di Jabi memang agak intensif kita buat sama ada daripada peruntukan ADUN, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan ada ketikanya sumber dalam poket sendiri. Yang penting isu air ini perlu ditangani secara berperingkat. "Terdapat berbelas buah rumah di Kampung Kuala Kubang masih menggunakan air daripada sumber Air Terjun Lata Belatan, Jabi. Air yang berpunca dari Gunung Tebu ini sangat sejuk, bersih dan segar. ''Dah berpuluh tahun saliran paip sepanjang lebih tiga kilometer dari kaki gunung ke rumah penduduk tak diselenggara dan dah banyak yang rosak dan bocor. Kita keluarkan sedikit belanja bagi kerja-kerja penggantian paip dan beberapa peralatan lain. Dalam hal ini pemimpin setempat perlu proaktif. Kenal pasti masalah di kawasan masing-masing dan angkat permohonan bajet ke atas," ujarnya lagi.
06 Sep 20
1305
Batalkan Hasrat Wahai Pelaku Maksiat - Skuad Cegah Dun Sura
Batalkan Hasrat Wahai Pelaku Maksiat - Skuad Cegah Dun Sura
DUNGUN, 5 September - Skuad Nahi Munkar (Skuad Cegah) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura memberi amaran keras kepada mana mana-mana individu yang berniat melakukan maksiat agar membatalkan hasrat tersebut.  Ketuanya, Mahdi Hassan berkata, pihaknya sentiasa mengadakan rondaan bagi membanteras aktiviti yang tidak bermoral daripada terus berleluasa. "Kita mendapat kerjasama baik dari Pejabat Agama Dungun untuk bergerak dan ronda disekitar kawasan bandar.  "Hampir setiap malam anggota kita akan buat rondaan di beberapa kawasan panas," katanya kepada pemberita. Menurutnya lagi, beberapa tempat yang sering menjadi tumpuan anak muda akan terus diawasi di samping akan diperluaskan lagi ke tempat lain.  "Kita dapat maklum balas yang positif daripada masyarakat. Ada yang hantar kepada  kita lokasi ‘hotspot’ supaya kita pergi pantau.  "Dalam perancangan kami juga untuk memperluaskan kawasan rondaan agar berjaya mencapai tujuan penubuhan," ujarnya.  Mahdi Hassan turut memaklumkan bahawa pihaknya ingin melihat daerah Dungun bebas daripada anasir-anasir anasir tidak sihat.  “Kami ingin menasihati kepada mereka yang datang ke Dungun agar tidak membuat sebarang masalah terutama aktiviti yang tidak bermoral kerana kami sedang mengawasi anda.  "Keluarga yang ingin bersantai juga tidak perlu bimbang lagi akan permandangan yang menggelikan kerana kita sedang berusaha ke arah zon bebas maksiat," tegasnya. 
05 Sep 20
3191
Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Tidak Dipinggirkan
Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Tidak Dipinggirkan
SETIU, 5 September - Projek pembangunan infrastruktur tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja tetapi turut dilaksanakan di sekitar luar bandar demi kesejahteraan rakyat pedalaman.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pembangunan di kawasan kampung sedang giat dijalankan termasuk usaha untuk meminimakan masalah yang ditanggung penduduk terutama pada musim tengkujuh. "Kita agihkan sedikit sebanyak biar sama rasa, semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Untuk kali ini, jalan dan longkang U di Kampung Bukit Tanah. Insya-Allah, musim banjir akan datang, masalah air bertakung kita cuba minimakan sedaya yang boleh," katanya ketika ditemui pemberita semalam. Menurutnya, sebarang pembangunan boleh dibina daripada pelbagai sumber sama ada Peruntukan Projek Kecil ADUN, Majlis Daerah, Pejabat Daerah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) malah ada ketikanya peruntukan poket  sendiri boleh dikeluarkan.  "Fungsi kami ialah merancang, mengatur dan membuat urusan bersama agensi atau jabatan terlibat agar peruntukan yang ada dapat disalurkan serta dibelanjakan sebaiknya bagi manfaat rakyat.  "Saya ibarat seorang ayah yang ada anak ramai. Tak boleh tunggu dan lihat sekadar apa yang mari sahaja. Perlu cergas bergerak ke sana ke mari, cari belanja dan peruntukan untuk keperluan anak-anak. "Naik lif, turun tangga, masuk pejabat keluar pejabat. Jumpa Menteri, KSU dan pegawai-pegawai kanan kementerian. Akhirnya biarlah ada hasil yang boleh dibawa balik kepada rakyat. "Jangan salah faham, duit pun bukan diberi kepada kita. Tapi dalam bentuk projek pembangunan melalui tatacara kewangan yang ketat," tambah beliau.
05 Sep 20
1062
Kampung Budaya Tarikan Baharu Pelancongan Terengganu
Kampung Budaya Tarikan Baharu Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 September - Kampung Budaya Terengganu yang dilancarkan di Muzium Negeri hari ini bakal menjadi produk pelancongan terbaharu sekali gus menarik lebih ramai kunjungan pelancong ke negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkampungan berkonsepkan muzium hidup yang menggabungkan pelbagai kebudayaan dan warisan dalam satu kawasan itu menawarkan pelbagai keunikan serta keistimewaan seni budaya sebagai salah satu daripada kluster pelancongan negeri. Katanya, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mewujudkan Kampung Budaya Terengganu yang dijadikan ‘one stop centre’ dalam menghimpunkan pelbagai seni budaya warisan dari seluruh daerah Negeri Terengganu. “Ia memberikan pengalaman percutian bersejarah buat pengunjung kerana dipersembahkan dengan latar belakang serta suasana kehidupan sebenar masyarakat Melayu lama.  “Rumah-rumah asal tradisional negeri menempatkan pameran, demonstrasi dan pelbagai aktiviti kesenian dan warisan negeri yang seterusnya menjadi landasan bagi persembahan kesenian dan kebudayaan negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kampung Budaya Terengganu, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab. Rasid Jusoh. Tambah Ahmad Samsuri, ia turut melambangkan identiti negeri melalui keunikan seni warisan yang terdapat di setiap daerah. Menurut beliau, sebagai sebuah produk pelancongan baharu pengoperasian Kampung Budaya ini kelak bukan sahaja menjulang kembali kegemilangan warisan seni budaya masyarakat Melayu dahulu kala, tetapi juga mengingatkan generasi akan datang akan pentingnya mengetahui asal-usul sejarah peradaban Melayu.
03 Sep 20
4065
Harimau Menangis Ditawan Beliawanis
Harimau Menangis Ditawan Beliawanis
Foto oleh : Wan Abdul Hadi KUALA TERENGGANU, 2 September - Beliawanis dari pelbagai daerah dalam negeri Terengganu telah berjaya menawan puncak Bukit Harimau Menangis, Kemasik dalam satu program pendakian sempena Hari Kemerdekaan ke-63. Menurut Pengarah Urus Setia Belia Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT), Nasir Abdul Razak program tersebut merupakan suatu inisiatif yang baik bagi mengumpulkan anak muda dan golongan belia termasuklah beliawanis. Kata beliau lagi, umum mengetahui bahawa program ‘outdoor’ sangat sinonim dengan anak muda yang suka kepada cabaran dan kebebasan. “Penganjuran program ‘Hiking’ Merdeka yang pertama kali dianjurkan ini sekaligus menepati minat mereka yang cenderung kepada aktiviti sukan dan lasak. “Di samping bertujuan untuk mengumpulkan anak muda khususnya wanita yang berminat dengan aktiviti mendaki, program ini secara tidak langsung juga memperkenalkan cara hidup yang sihat dan bermanfaat. “Selain itu, ia juga dapat mengeratkan silaturrahim antara para beliawanis bukan sahaja di Kemasik ini tetapi juga dari seluruh Terengganu,”ujarnya. Nasir berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Program Hiking Beliawanis Merdeka 2020 ini telah disertai oleh 250 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beliawanis, pejabat daerah, pejabat pendidikan daerah dan sekolah-sekolah berdekatan. Program tersebut turut melibatkan wakil pusat khidmat masyarakat (PKM), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Majlis Pewakilan Komuniti Kampung (MPKK), Krew Bukit Harimau Menagis serta rakyat tempatan. “Persatuan Kebajikan Sedia Setia Hawa Terengganu (SETIA) menjadi pendokong kuat kepada penganjuran program ini di samping agensi-agensi lain. “Dan tanpa kita sedar sebenarnya, program seumpama ini dapat mempromosikan tempat rekreasi dan sukan yang menarik di Terengganu,”tambahnya.  
02 Sep 20
614