Artikel "Pelancongan" Terkini
25 Pemancing Houseboat Tasik Kenyir Disahkan Negatif COVID-19
MARANG, 14 Mac - Keputusan ujian calitan atau 'swab test' kali pertama COVID-19 ke atas 25 pemancing yang menggunakan perkhidmatan rumah bot (houseboat) di Tasik Kenyir adalah negatif.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, individu terlibat sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk kuarantin kendiri. ntuk meneruskan kuarantin selama 11 hari.
"Kesemua mereka akan menjalani ujian calitan kali kedua pada hari kelapan untuk memastikan benar-benar bebas daripada wabak pandemik COVID-19 itu.Oleh itu, tiada lagi perkara yang timbul berkaitan COVID-19 di Tasik Kenyir
"Bagaimanapun kerja-kerja sanitasi telah dilakukan di rumah bot berkenaan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pasca banjir oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) di Kampung Pak Madah di sini hari ini.
Turut hadir Presiden MTC, Uzaidi Udanis; Setiausaha Kehormat MTC, Datuk Noor Zaleha Baharuddin dan Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.
Jumaat lepas, tular di media sosial mengenai 24 pemancing dikuarantin di rumah bot susulan seorang daripada rakan mereka dikesan sebagai kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
Bagaimanapun, pemancing yang dikatakan positif itu hanyalah kontak rapat kepada pesakit COVID-19.
Kesemua mereka difahamkan menginap di rumah bot berkenaan sejak Khamis lalu, kira-kira pukul 9 pagi.
Dalam masa yang sama, Ariffin berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke Tasik Kenyir mahu pun pulau-pulau peranginan kerana destinasi ini lebih selamat berbanding di daratan.
"Rumah bot di Tasik Kenyir adalah selamat untuk dijadikan lokasi percutian kerana disertai sekelompok individu dalam jumlah yang tidak ramai.
"Ini lebih selamat berbanding di daratan, malah dengan pematuhan SOP yang ditetapkan sekarang, kita yakin penularan COVID-19 dapat dicegah sebaik mungkin ketika dalam tempoh percutian," jelasnya.
14 Mar 21
939
Terramalai, Bakal Jadi Produk Pelancongan Terbaharu Di Terengganu
The Land of Malaya Architecture (Terramalai)yang berkonsepkan senibina Rumah Tradisional Melayu bakal menjadi tarikan terbaharu kepada pelancong apabila dibuka kepada orang ramai Jun ini.
14 Mar 21
378
Kuarantin Di 'Houseboat', Jangan Sebar Berita 'Separuh Masak'
Ehsan Foto: Utusan Malaysia
HULU TERENGGANU, 13 Mac - "Tindakan orang ramai yang menyebarkan maklumat tidak pasti berkaitan penularan COVID-19 khususnya di daerah ini bukan sahaja menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat, malah mengeruhkan lagi keadaan," kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dato' Razali Idris.
Beliau mengulas tentang tular di media sosial mengenai sekumpulan 24 pemancing yang bercuti ke Tasik Kenyir pada Khamis lepas terpaksa menjalani kuarantin sementara di sebuah rumah bot berikutan seorang daripada mereka disyaki positif COVID-19 dalam satu hantaran netizen di Facebook.
Katanya, orang ramai perlu merujuk kepada pihak berkuasa sama ada pihak polis ataupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu bagi kesahihan maklumat
berkenaan.
"Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Zalani Endut bahawa lelaki itu dikehendaki datang menjalani saringan kesihatan di Hospital Hulu Terengganu selepas isterinya yang berada di rumah disahkan positif COVID-19 semalam.
"Akur dengan arahan itu, pihak persatuan telah mengesan lokasi rumah bot yang dinaiki lelaki tersebut dengan kerjasama Polis Gerakan Marin dan beliau telah pun menjalani ujian calitan di Hospital Hulu Terengganu pada 5 petang semalam," katanya.
Sementara itu, kesemua 24 penumpang rumah bot yang berasal dari Manir, telah pun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan dipakaikan gelang kuarantin berwarna putih.
"Kesemuanya telah dibenarkan pulang pada tengah hari tadi dan akan menjalani kuarantin selama 11 hari sehingga keputusan ujian saringan lelaki tersebut diketahui tidak lama lagi.
"Begitu juga dengan pemandu dan empat kru di rumah bot itu yang akan menjalani kuarantin selama 11 hari di dalam rumah bot tersebut.
Menurut Razali, ini merupakan kes terpencil sahaja dan beliau yakin pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ini demi kebaikan semua pihak.
Justeru itu katanya, Tasik Kenyir masih selamat untuk dikunjungi ketika ini dan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai khabar angin yang tersebar itu.
13 Mar 21
2597
Promosi Destinasi Pelancongan Menarik Di DUN Telemong
HULU TERENGGANU, 10 Mac-Destinasi pelancongan menarik di sekitar kawasan Telemong akan dipromosikan dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan domestik.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu Telemong menyambut baik hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan pendaratan tuntung di Kampung Temir sebagai salah satu pusat pelancongan berteraskan komuniti dan menjemput pelancong untuk menerokai lokasi menarik yang ada di kawasan berkenaan.
"Telemong kaya dengan destinasi pelancongan menarik seperti Tasik Kenyir dan air terjun Sekayu yang sudah tidak asing lagi di kalangan pelancong.
"Disamping itu terdapat banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati diantaranya makam Sheikh Syarif Al-baghdadi, makam Pahlawan Tok Gajah, makam pejuang Padang Kachung, makam Tun Indera dan sebagainya yang menjadi tarikan kepada pencinta sejarah,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika lawatan Pengerusi Jawatankuasa pelancongan Kebudayaan dan Teknologi negeri, Ariffin Deraman ke Produk Pelancongan 'Community Based Tourism' di Kampung Temir, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, kehadiran pelancong ke kawasan ini juga dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat melalui hasil pertanian, kraftangan dan produk makanan.
"Di sini terkenal dengan masakan tradisional ikan baung tempoyak, kebanyakan pengusaha restoran menjadikan menu ini sebagai tarikan para pelancong untuk bertandang ke sini," tambahnya.
10 Mar 21
1281
Resort, Hotel Di Terengganu Dibuka Kembali
KUALA NERUS, 10 Mac - Hampir 80 peratus Resort dan Hotel di Terengganu mula dibuka kepada pelancong tempatan susulan bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata sektor pelancongan antara yang teruk terkesan sepanjang PKP ini, jadi pembukaan semula aktiviti pelancongan itu dapat memulihkan kembali industri terbabit.
"Alhamdulillah rentas daerah sudah dibenarkan, kebanyakan pengusaha menarik nafas lega dengan pengumuman ini dan mula membuka sektor pelancongan termasuk resort dan hotel di negeri ini.
"Selepas ini kita harap agar kerajaan akan membenarkan rentas negeri pula dalam tempoh terdekat bagi memastikan industri pelancongan negara termasuk di pulau-pulau peranginan yang kini tenat kembali bernafas.
“Pihak kami akan memastikan semua peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dipatuhi asalkan sektor pelancongan dapat dibuka semula seperti biasa,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan Lawatan Ke Produk Pelancongan 'Community Based Tourism' di sekitar Kuala Nerus petang semalam.
Sementara itu, Ariffin berkata pulau-pulau peranginan di Terengganu juga dibuka kembali kepada pelancong bermula pada awal bulan ini dengan sasaran 30 peratus kedatangan pelancong tempatan selepas ditutup berikutan musim tengkujuh dan pelaksanaan PKP 2.0.
Tambahnya, namun masih ada sebahagian pengusaha resort di pulau peranginan masih belum membuka pintu kepada pengunjung di negeri ini kerana masih dihimpit kebimbangan perniagaan mereka akan terus merudum.
“Mereka menangguhkan dahulu hajat untuk menerima pelanggan hingga ke bulan depan bagi mengelak menanggung kerugian lebih besar berikutan kedatangan pengunjung yang suram,”katanya lagi.
Menurut rekod, Terengganu berada pada kedudukan keempat sebagai negeri popular pilihan pelancong untuk bercuti mengikut data kadar purata penginapan pelancong pada tahun lalu.
Data yang dikeluarkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bermula Januari hingga November 2020 itu menunjukkan Terengganu naik tujuh anak tangga berbanding kedudukan ke-11 pada tahun 2019.
10 Mar 21
751
Melancong Antara Negeri PKPP Dibenar Bersyarat
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan aktiviti pelancongan antara negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasaran, mulai esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti tersebut tertakluk dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“la juga perlu menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC seperti bas pelancongan manakala dengan kenderaan persendirian masih tidak dibenarkan.
“Pergerakan kenderaan dengan agensi pelancongan itu juga perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis.
“Kenderaan pelancongan juga dilarang singgah ke negeri di bawah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi pergerakan yang perlu melintas negeri tersebut," katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), petang tadi.
Tambah Ismail Sabri, kelulusan MOTAC juga mesti diperoleh sektor penginapan dan premis pelancongan serta tiada pergerakan percutian dari negeri PKPB ke negeri PKPB yang lain.
Sehingga kini, tujuh negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 Mac sehingga 15 Mac ini.
Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat teknikal Majlis Keselamatan Negeri (MKN) semalam turut bersetuju untuk menukar status Pulau Langkawi daripada PKPB kepada PKPP bermula esok.
“Langkah ini setelah hasil cadangan kerajaan negeri Kedah memandangkan daerah pulau ini sudah jadi zon hijau dengan dua kes terakhir direkodkan pada 20 Februari lalu.
“Kelonggaran ini berdasarkan model gelembung pelancongan, tetapi Kedah masih lagi berstatus PKPB seperti tujuh negeri lain dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” jelasnya.
Maklumat lanjut mengenai segala SOP yang terperinci boleh dirujuk menerusi laman sesawang rasmi pihak kementerian berkenaan dan MKN.
09 Mar 21
703
Terramalai, Bakal Jadi Produk Pelancongan Terbaharu Di Terengganu
KUALA NERUS, 9 Mac - The Land of Malaya Architecture (Terramalai)yang berkonsepkan senibina Rumah Tradisional Melayu bakal menjadi tarikan terbaharu kepada pelancong apabila dibuka kepada orang ramai Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kesenian rumah-rumah tradisional yang dipamerkan adalah sangat unik kerana ia mewakili setiap negeri di Malaysia.
Katanya, walaupun Terramalai milik persendirian tetapi kerajaan negeri sentiasa memberi galakan kepada sesiapa sahaja pemain industri untuk melaksanakannya asalkan ia boleh majukan Terengganu.
"Saya difahamkan pemilik Terramalai sedang berusaha mendapatkan semua rumah tradisional seluruh negara untuk dibawa ke sini, dan membangunkan semula lima buah istana lama.
"Kalau tempat ini siap, ia akan menjadi tarikan baharu atau lebih tepat sebagai kampung budaya kedua," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan Lawatan Ke Produk Pelancongan Community Based Tourism Ke Lokasi-Lokasi Sekitar Kuala Nerus di sini hari ini.
Sementara itu, pemiliknya , Alex Lee berkata idea untuk membina Terramalai lahir selepas kejayaan Terrapuri Heritage Village di Kampung Mangkuk, Setiu.
Beliau berkata jika di Terrapuri mempamerkan keindahan istana zaman silam jadi mengapa dia tidak mewujudkan satu warisan untuk rumah tradisional secara setempat di tanah seluas 1.012 hektar di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit.
"Untuk permulaan, tiga buah Rumah Tradisional Purba Melayu sedang dibina iaitu rumah berserambi satu dan bertanjung (rumah negeri Sembilan), rumah berserambi berpelah (Kelantan) dan rumah potong Belanda (Terengganu).
"Selain itu juga terdapat lima buah istana lama Terengganu yang digabungkan dengan menggunakan konsep berangkai Istana Tengku Mariam Kembang Puteri (Istana Terengganu) sebagai muzium," ujarnya lagi.
Menurut Alex, sehingga kini kos pembinaan tiga rumah tersebut melibatkan RM1.5 juta termasuk kelengkapan perabot antik yang didatangkan mengikut negeri masing-masing.
09 Mar 21
6495
Kawasan Pendaratan Tuntung Jadi Pusat Pelancongan Komuniti
Kerajaan Terengganu berhasrat untuk menjadikan kawasan pendaratan tuntung di Kampung Temir sebagai pusat pelancongan berteraskan komuniti.
09 Mar 21
105
KUTT Bangunkan Koridor Utiliti Terengganu
Syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) bakal menjadi pemain utama dalam membangunkan Koridor Utiliti Terengganu.
07 Mar 21
1628
Pura Tanjung Sabtu Bangkit Kembali Sebagai Produk Pelancongan Komuniti
KUALA NERUS, 1 Mac - Kerajaan negeri sedang dalam kerja membangun kembali potensi Pura Tanjung Sabtu dan lain-lain lokasi pelancongan di Buluh Gading sebagai tarikan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) yang mampu menjana ekonomi bagi penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri bersama sokongan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah mengambil inisiatif melalui peruntukan pembangunan infrastruktur dan kebersihan serta sedang giat melestarikan lokasi seperti di Pura Tanjung Sabtu.
"Alhamdullilah, pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu turut bekerjasama dalam bergotong-royong di sini yang juga kelihatan seperti rumah tradisional antik dan pernah tular di media sosial.
"Konsep CBT ini mesti melalui usaha bersama JPKK, kerana mereka juga pemegang taruh dalam sektor pelancongan dalam komuniti mereka sendiri.
“Dengan harapan supaya masyarakat di sini terlibat sekali dan mendapat manfaat daripada peningkatan pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke lokasi CBT di Buluh Gading, baru-baru ini.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa mencari potensi baharu bagi menambahkan lagi lokasi menarik sebagai lubuk pelancongan, dan kertas kerja telah dimaklumkan dan akan dibincang di peringkat negeri dari semasa ke semasa.
Turut hadir, ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin.
Sementara itu, Ariffin turut menceritakan lokasi lain seperti tokong Sampohkong Keramat Cheng Ho yang merupakan tempat persinggahan Laksamana Cheng Ho dan Kampung Tanjung Bunut.
“Seperti difahamkan Laksamana Cheng Ho merupakan seorang tokoh pelaut tersohor yang dipercayai juga seorang muslim pada abad ke-15, lokasi ini dengan nilai sejarah tersebut mampu menjadi tarikan kepada pelancong terutamanya warga Cina.
“Produk pelancongn lain seperti ‘river trail’ atau bot menyusuri dua sungai iaitu ke Kuala Berang ke Kuala Terengganu dan Sungai Nerus juga akan diperkembangkan supaya ia menyusuri lokasi-lokasi sedemikian dalam satu pakej,” tambahnya.
Menurut ADUN kawasan tersebut, Ridzuan Hashim, beliau memaklumkan antara kerjasama terlibat bersama tiga JPKK iaitu JPKK Tanjung Sabtu, JPKK Tanjung Bunut dan JPKK Teluk Pasu.
“Secara tidak langsung, masyarakat setempat juga boleh meraih peluang ekonomi ini dalam menjana pendapatan di dengan komuniti sendiri,” katanya.
01 Mar 21
4553