Artikel "Komuniti" Terkini
Usaha Anak Muda Inovasi Produk Tradisi Harus Dicontohi
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Penglibatan anak muda dalam bidang keusahawanan merupakan suatu perkembangan positif yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, usaha anak muda tempatan yang berjaya mengekalkan makanan tradisi Terengganu dengan sentuhan baharu dari sudut pembungkusan, pemasaran dan penjenamaan wajar dicontohi.
“Keropok lekor adalah salah satu identiti Terengganu. Apabila ada anak muda yang mampu bawa warisan ini dengan pendekatan moden, ia bukan sahaja mengekalkan tradisi tetapi juga memberi nilai tambah kepada ekonomi masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau perniagaan tempatan, Mister Leccor yang terkenal dengan produk keropok lekor di Chendering, baru-baru ini.
Lawatan tersebut memberi ruang kepada beliau untuk meninjau usaha anak muda tempatan yang berjaya menginovasikan makanan tradisi Terengganu.
Sementara itu, Pengusaha Mister Leccor, Mohd Zaman Muda turut menzahirkan penghargaan atas kesudian Dr Khalil meluangkan masa melawat serta memberi semangat untuk mereka terus mengembangkan perniagaan.
Lawatan tersebut turut disertai sesi ramah mesra bersama pekerja dan pengusaha, selain meninjau produk serta operasi pengeluaran keropok lekor yang dijalankan.
01 Oct 25
60
Erat Hubungan Melalui Program YB Cakna Komuniti
KUALA TERENGGANU, 30 Sept – Program YB Cakna Komuniti bersama penduduk UDM Gong Gemia berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian yang berjaya menarik penyertaan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, malah menjadi medium untuk mengukuhkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.
Katanya, program berkenaan akan diadakan pada setiap bulan cuma berbeza tempat dan kampung.
"InsyaAllah kita akan adakan program sebegini setiap bulan pada kampung yang lain pula" katanya.
Acara dimulakan dengan aktiviti 'briskwalk', diikuti sarapan pagi di warung bersama orang kampung yang mencerminkan keakraban dan semangat kebersamaan.
Program turut diserikan dengan pertandingan memancing, bacaan yassin, ziarah komuniti serta diakhiri dengan jamuan rakyat.
30 Sep 25
44
Sarapan di Warung Peluang Terbaik Dekati Rakyat
MARANG, 29 September – Aktiviti bersarapan di warung merupakan masa paling efektif untuk mendekati masyarakat serta memahami permasalahan yang dihadapi mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, pendekatan santai ini bukan sahaja memberi ruang untuk beramah mesra dengan penduduk setempat, malah membolehkan beliau mendengar sendiri aduan dan pandangan masyarakat secara terbuka.
“Pada pendapat saya, waktu paling ramai orang berada di warung adalah awal pagi, sebelum mereka ke tempat kerja atau selepas menghantar anak ke sekolah.
Jika datang lewat, sekitar jam 9 hingga 12 tengah hari, kebanyakan sudah masuk kerja. Jadi, waktu sarapan inilah masa paling sesuai untuk bertemu masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program YB Cakna Komuniti Sejahtera peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jambu Bongkok, yang diadakan di Kedai Makan Bonda, pagi tadi.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, turut menyatakan komitmennya untuk terus turun padang secara berkala sebagai usaha memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Tambah beliau, inisiatif seumpama ini membolehkan pemimpin memahami kehendak serta keperluan komuniti secara lebih mendalam, seterusnya membantu menyelesaikan isu-isu setempat dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
29 Sep 25
77
Skuad Trio Tenpin Boling Marang Puas Hati Raih Perak
KUALA TERENGGANU, 25 September – Pasukan tenpin boling lelaki Marang menepati sasaran apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara trio sempena Temasya Sukan Terengganu Kali-3 (SUTERA-III) 2025 yang berlangsung di Coral Crown Bowl, Paya Bunga Sentral di sini, hari ini.
Barisan trio lelaki Marang terdiri daripada Mohd Alif Syafie Halim, Syed Irham Fakhri Syed Ahmad dan Muhammad Shafiq Suhaimi.
Ketua Jurulatih Tenpin Boling Marang, Mohammad Zulkhairie Mad Radzi, melahirkan rasa puas hati dengan pencapaian tersebut memandangkan pemainnya berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh barisan kejurulatihan.
“Kita memang letakkan sasaran perak untuk acara trio. Kami tidak sasarkan emas kerana Kuala Terengganu dilihat lebih kuat.
"Tapi ada kejutan pula apabila Kemaman yang muncul juara,” katanya kepada pemberita selepas pertandingan tersebut.
Menurut beliau, barisan pemain yang membawa cabaran Marang kali ini terdiri daripada individu yang berpengalaman tinggi dalam arena tenpin boling.
“Tiga pemain yang kami bawa merupakan bekas jurulatih SUKMA Sarawak 2024, bekas pemain SUKMA 2022 dan pemain SUKMA 2024,” ujarnya.
Zulkhairie turut menyatakan keyakinan terhadap peluang pasukan dalam acara seterusnya.
“Bagaimanapun, kami kini memberi tumpuan kepada acara berpasukan lima lelaki esok kerana itu adalah acara sandaran emas kami,” jelasnya.
25 Sep 25
110
10 Pelajar Tajaan Yayasan Terengganu Berangkat Ke Tunisia
SEPANG, 25 September – Seramai 10 pelajar cemerlang tajaan Yayasan Terengganu telah berangkat ke Tunisa awal pagi tadi bagi menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Pada majlis ringkas yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menyaksikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Ahmad Shah Mohamed menyampaikan amanat, kata-kata semangat serta doa restu kepada para pelajar Skim Pelajar Cemerlang (SPC) sebelum berlepas ke negara Afrika Utara berkenaan.
"Semoga para pelajar dapat memanfaatkan peluang dan insentif yang diberikan kerajaan dengan menuntut ilmu bersungguh-sungguh, demi melahirkan generasi berwibawa, berilmu tinggi dan mampu bersaing di pentas antarabangsa.
"Kami di tanah air ini sentiasa mengiringi dengan doa dan sokongan penuh, agar segala urusan pengajian dipermudahkan dan kejayaan sentiasa bersama mereka," ujarnya.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab yang sama-sama memberikan sokongan moral kepada para pelajar.
Penghantaran pelajar ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Terengganu dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing serta berperanan di peringkat antarabangsa.
25 Sep 25
691
Tepoh Lokasi Pembuka Tirai Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di Kuala Nerus
Oleh : Syahida Mohd
Foto : Muhammad Fazlee Aziz
KUALA NERUS, 24 September - Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menjadi lokasi pembuka tirai penganjuran Karnival Indahnya Hidup Bersyariat bagi daerah Kuala Nerus.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, penganjuran karnival yang diadakan di Kampung Gemuroh itu telah berlangsung meriah pada 18 hingga 20 September lepas.
"Tepoh merupakan DUN pertama mengadakan karnival ini dan akan disusuli dengan DUN lain di Parlimen kita.
"Penduduk Kampung Gemuruh bertuah kerana kampung ini telah terpilih untuk dijadikan lokasi penganjuran karnival kali ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Peringkat DUN Tepoh 2025 yang diadakan di perkarangan Masjid Al-Mustaqim Kampung Gemuruh, baru-baru ini.
Tambah beliau, kerajaan negeri sudah memutuskan untuk mengadakan karnival ini di seluruh 32 DUN dalam Negeri Terengganu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menyatakan keterujaan beliau melihat jumlah penyertaan yang ramai dari seluruh masyarakat dalam karnival yang diadakan.
“Saya berbesar hati menyaksikan program yang dianjurkan sejak hari khamis lalu mendapat sambutan yang cukup baik dari semua lapisan penduduk untuk semua acara yang diadakan," ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Terengganu turut menekankan tujuan utama program ini adalah untuk membawa mesej keindahan hidup apabila masyarakat mula kembali kepada hidup bersyariat.
Pelbagai acara yang diadakan sepanjang karnival itu berlangsung antaranya acara sukan rakyat, malam solidariti Palestin, tukar minyak hitam percuma, bicara wanita, malam kesenian dan pelbagai lagi aktiviti yang disediakan untuk semua pengunjung yang hadir.
24 Sep 25
85
235 Pelajar Pengkalan Berangan Terima Sumbangan Awal IPT
MARANG, 23 September – Seramai 232 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan menerima sumbangan awal sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, inisiatif tersebut merupakan tanda ingatan dan penghargaan daripada Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) kepada para pelajar yang bakal menyambung pengajian.
“Walaupun inisiatif ini tidaklah besar, namun ia merupakan tanda ingatan dan sokongan daripada kami kepada anak-anak yang akan melangkah ke alam pengajian tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan STPM/STAM dan Sumbangan Awal IPT 2025 DUN Pengkalan Berangan di Dewan Auditorium, Akademi Bomba Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini, semalam.
Dalam ucapannya, Sulaiman turut menitipkan pesanan agar para pelajar sentiasa menjaga solat dan tidak melupakan asal-usul mereka.
“Jangan malu untuk mengaku dari kampung mana. Apabila ditanya, ramai hanya menjawab dari Terengganu atau Marang sahaja, sedangkan kampung kita itulah yang membentuk siapa kita hari ini,” ujarnya.
Sebelum itu pada 11 September lalu, seramai 14 pelajar telah menerima sumbangan lebih awal kerana perlu mendaftar ke universiti masing-masing terlebih dahulu.
Daripada jumlah itu, 11 orang melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK), manakala tiga pelajar lagi ke Universiti Al-Azhar, Mesir.
23 Sep 25
118
Semangat Permainan Tradisional Mampu Jalin Perpaduan
Usaha menghidupkan kembali permainan-permainan tradisional dalam komuniti dilihat mampu menjana perpaduan lebih erat di kalangan ahli masyarakat.
10 Sep 25
55
'Satu Rumah, Satu Laman Tani'
HULU BESUT, 10 Sept – Pusat Khidmat Masyarakat (ADUN) Hulu Besut hari ini melancarkan projek perintis Laman Tani, tanaman timun batang, sebagai usaha memperkenalkan konsep “Satu Rumah, Satu Laman Tani.”
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin yang turut memaklumkan bahawa inisiatif ini adalah bagi menyahut saranan Pengarah USWa Negeri Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, yang menggalakkan aktiviti bercucuk tanam dilaksanakan di setiap rumah.
Menurut Mohd Husaimi, projek perintis di PKM ini akan diperluas ke seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Hulu Besut, sebagai langkah memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pertanian kecil-kecilan di halaman rumah.
“Pendekatan ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos sara hidup, bahkan memberi manfaat kepada kesihatan, kelestarian alam sekitar serta mengeratkan ukhuwah dalam komuniti,” katanya.
Dalam pada itu,beliau turut menyeru penduduk yang sudah mempunyai laman tani supaya meneruskannya, manakala yang belum bermula disaran mengambil contoh daripada projek ini.
10 Sep 25
1172
PKM ADUN Bukit Tunggal Johan Kategori Pasukan Khas
KUALA TERENGGANU, 6 September – Pusat Khidmat Masyrakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal muncul johan bagi kategori Pasukan Khas dalam Perarakan dan Perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat Negeri Terengganu, baru-baru ini.
Perarakan yang bermula pukul 7.30 pagi dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu disertai 3,972 peserta melibatkan 122 kontinjen termasuk 76 pasukan bertanding dan 32 pasukan tidak bertanding.
Pelepasan kontinjen disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.
Selain perbarisan kontinjen, turut menyerikan sambutan ialah perarakan kenderaan membabitkan 14 penyertaan daripada jabatan kerajaan dan pihak swasta.
Sebanyak lapan kategori dipertandingkan tahun ini termasuk Jabatan Kerajaan Tidak Beruniform, Badan Berkanun Tidak Beruniform, Pasukan Sekolah Menengah Tidak Beruniform, Institut Pengajian Tinggi (IPT)/anak syarikat kerajaan (GLC)/Persatuan/NGO Tidak Beruniform, Pasukan Beruniform Jabatan Kerajaan/IPT/Swasta/Badan Berkanun, Pasukan Sekolah Menengah Beruniform, Pasukan Khas Dewan Undangan Negeri, serta Pancaragam Sekolah.
Kemenangan PKM ADUN Bukit Tunggal dalam kategori Pasukan Khas membuktikan semangat kerjasama serta disiplin tinggi yang ditonjolkan oleh kontinjen tersebut sepanjang perarakan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, LSr. Zaharudin Zahid merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh pasukan atas kejayaan tersebut.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada kontinjen PKM DUN Bukit Tunggal yang telah mengharumkan nama kawasan dengan semangat juang, disiplin dan kerjasama erat yang dipamerkan.
"Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama dan saya yakin ia akan menjadi inspirasi untuk terus berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya.
04 Sep 25
93