Artikel "Komuniti" Terkini
Pelajar Cemerlang STPM Terima Sumbangan ADUN Sura
Oleh: Syahida Nur Izzah Ariffin
DUNGUN, 10 September– Seramai lapan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di DUN Sura telah menerima sumbangan penghargaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin.
Pelajar-pelajar tersebut merupakan mereka yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 3.5 ke atas, dan sumbangan tersebut telah diagihkan melalui kunjungan ke rumah masing-masing.
Menurut Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin, sumbangan terbabit sebagai tanda penghargaan terhadap usaha gigih para pelajar yang telah berjaya mengharumkan nama kawasan DUN Sura dengan pencapaian akademik yang cemerlang.
Beliau turut menyatakan hasrat agar sumbangan tersebut dapat dijadikan motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha dalam bidang pendidikan di peringkat yang lebih tinggi.
"Saya berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus gigih berusaha mencapai kecemerlangan. Pendidikan adalah kunci untuk masa depan yang cerah, dan saya ingin melihat lebih ramai pelajar dari DUN Sura berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan.
Menurut beliau, pihaknya akan sentiasa komited dalam memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar tempatan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pendidikan.
"Saya ingin melihat anak-anak muda di kawasan ini menjadi pemimpin masa depan yang berilmu dan berakhlak. Kita akan terus menyokong apa jua keperluan mereka bagi memastikan pendidikan mereka tidak terjejas," ujarnya.
10 Sep 24
128
23 Kontinjen Sertai Perarakan Maulidur Rasul dan Hari Malaysia DUN Rantau Abang
Oleh: Che Wan Muhammad Abdul Hanis
DUNGUN, 10 September- Seramai 352 peserta daripada 23 kontinjen menyertai acara perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Malaysia peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang di perkarangan Masjid Balai Besar.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rantau Abang itu turut mendapat kerjasama pihak pengurusan Masjid Balai Besar.
Perarakan bermula di pekarangan dan mengelilingi kawasan taman berdekatan sebelum berakhir semula di masjid tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, dua sambutan tersebut merupakan simbol perpaduan dan kesuburan kita sebagai umat Islam dan sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air.
“Maulidur rasul bukan sekadar hari memperingati kelahiran Nabi Muhammad S.A.W tetapi juga masa untuk kita merenung dan menghayati ajaran baginda yang menjadi rahmat seluruh alam.
“Sambutan Hari Malaysia 2024 pula adalah saat yang sangat bermakna dimana kita mengenang kembali perjuangan dan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air yang telah berusaha dengan gigih untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang merdeka, aman dan makmur,” ujarnya ketika berucap di majlis berkenaan, kelmarin.
Katanya, diharapkan program tersebut terus menjadi acara tahunan di DUN berkenaan yang memupuk perpaduan serta memperkukuhkan jati diri masyarakat, terutamanya dalam mencontohi akhlak mulia Rasulullah S.A.W.
10 Sep 24
247
ANMS Beri Impak Baik Buat Rakyat Terengganu
Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dilihat memberi impak positif kepada rakyat negeri ini dalam membudayakan kehidupan sihat dan sejahtera.
09 Sep 24
101
Mengurus Generasi Muda Jadi Cabaran Bangunkan Negara
KEMAMAN, 7 September - Mengurus generasi muda hari ini menjadi cabaran bagi memastikan negara terus meniti kemajuan di masa hadapan.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memberi tumpuan serta perhatian kepada golongan terbabit agar terpandu ke arah yang baik, memahami erti kemerdekaan sebenar dan tidak dipengaruhi anasir serta fahaman buruk.
Ujarnya, masalah serta dilema yang dihadapi dalam menguruskan generasi muda hari ini tidak hanya berlaku dalam negara bahkan ia juga terjadi kepada negara maju yang lain seperti Eropah, Korea dan Jepun.
"Saya pernah bercakap dengan para pimpinan masyarakat dari Korea, Jepun dan Eropah mereka bertanya bagaimana kita di Malaysia ini mengurus kalangan generasi baharu yang ada dalam negara kita.
"Saya tanya kepada mereka kenapa persoalan mengenai 'young generation' yang dikemukakan?Mereka kata bahawa generasi muda hari ini tidak sama seperti dahulu dari sudut ketahanan jiwa, mental serta tafsiran kebebasan minda yang berbeza di mana generasi hari ini mahukan sebebas-bebasnya.
"Sehingga mereka tidak mengerti tentang sejarah negara dan tidak ambil tahu tentang tatasusila," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penjawat Awam Daerah Kemaman, di Arena Square Chukai, di sini hari ini sempena Kembara Terengganu Sejahtera Kempen Kibar Jalur Gemilang, di sini, kelmarin.
Mengulas lebih lanjut, Dr Ahmad Samsuri turut melontarkan persoalan untuk difikir serta direnungi bersama bagaimana nasib anak bangsa dengan cabaran yang akan bertambah hebat pada masa akan datang.
"Sesuatu yang saya minta kita sama-sama fikir ialah kita kena sedar dengan apa yang sedang kita hadapi depan mata kita pada ketika ini memerlukan suatu cara dan kaedah untuk kita menanganinya.
"Supaya generasi yang kita tinggalkan nanti mampu berhadapan dengan cabaran untuk mengangkat negeri dan negara jauh lebih baik dari apa yang ada sekarang dan menjadi unggul di mata dunia," ujarnya.
07 Sep 24
122
Rezeki Berganda Menanti Nelayan Darat
Oleh: Syahida Nur Izzah Ariffin
DUNGUN, 3 September- Jabatan Perikanan Negeri Terengganu melepaskan sebanyak 28,000 benih ikan ke Sungai Paka, Kampung Durian Mentangau di sini bagi memulihara dan meningkatkan sumber perikanan darat.
Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, selain memastikan keterjaminan makanan, ia juga bertujuan menggalakkan aktiviti perikanan rekreasi dan eko-pelancongan di kawasan tersebut.
“Pelepasan benih ikan yang dilakukan pada hari ini melibatkan tiga jenis spesies utama iaitu benih udang galah sebanyak 15,000 ekor, benih ikan lampam sungai sebanyak 10,000 ekor, dan benih ikan baung sebanyak 3,000 ekor.
“Keseluruhan kos untuk program ini adalah sebanyak RM12,350. Pelepasan ini diharapkan dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada nelayan darat yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan, penduduk setempat, serta pengusaha eko-pelancongan,” ujarnya.
Beliau yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program tersebut, semalam.
Sempena program berkenaan, seramai 46 orang nelayan darat di daerah Dungun yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan turut menerima bantuan berupa dua unit pukat tangsi daripada kerajaan negeri.
Mengulas lanjut katanya, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu amat memandang serius terhadap isu pembanjiran ikan asing di perairan Malaysia.
“Ikan asing ini dilihat sebagai ancaman yang mengganggu ekosistem semula jadi dan perlu ditangani dengan segera,” ujarnya.
Justeru katanya, inisiatif tersebut diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh nelayan darat dan masyarakat setempat.
03 Sep 24
488
Himpunan Pahlawan Melayu Platform Promosi Seni Silat
Oleh: Che Wan Muhammad Abdul Hanis
DUNGUN, 2 September- Himpunan Pahlawan Melayu yang berjaya mengumpulkan 60 persatuan perguruan silat dari seluruh daerah di negeri ini berupaya menjadi platform mempromosikan seni bela diri itu terutama kepada generasi muda.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, himpunan tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk pesilat menunjukkan kemahiran mereka, tetapi juga sebagai usaha menggalakkan generasi muda memahami dan menghargai seni warisan bangsa.
"Semoga generasi muda terus menghayati dan meneruskan legasi yang penuh dengan nilai-nilai murni, keberanian, dan jati diri ini.
"Bersama kita martabatkan silat, warisan agung bangsa kita," ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut yang diadakan sempena Karnival Smart Sura di Dewan Arena Merdeka di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, selain menjadi platform untuk mempamerkan keunikan dan kehebatan seni silat dari pelbagai perguruan, himpunan tersebut sebagai medium untuk memperkukuhkan ikatan persaudaraan di kalangan pesilat.
Pengajuran Himpunan Pahlawan Melayu oleh Pusat khidmat masyarakat DUN Sura itu dimeriahkan dengan pelbagai pertunjukan silat yang dipersembahkan oleh semua perguruan yang hadir, menampilkan variasi teknik dan gaya yang mencerminkan kekayaan seni mempertahankan diri Melayu.
Antara yang hadir sebagai jemputan khas ialah Ruzaidi Abd Rahman, lebih dikenali sebagai Wak Didi yang terkenal dalam dunia persilatan.
Wak Didi juga berkesempatan mempersembahkan kebolehannya dalam silat, memukau penonton dengan kecekapan dan kemahiran beliau.
02 Sep 24
365
Projek Tebatan Banjir, Pemuliharaan Sungai Bernilai RM141.27 Juta Siap
Kerajaan Negeri Terengganu pada hari ini menerima tiga projek siap membabitkan dua tebatan banjir serta satu pemuliharaan muara sungai bernilai RM141.27 juta.
20 Aug 24
289
Projek Tebatan Banjir, Pemuliharaan Sungai Bernilai RM141.27 Juta Siap
DUNGUN, 19 Ogos - Kerajaan Negeri Terengganu pada hari ini menerima tiga projek siap membabitkan dua tebatan banjir serta satu pemuliharaan muara sungai bernilai RM141.27 juta
Pelaksanaan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu merangkumi projek Tebatan Banjir Gong Kiat, Kuala Terengganu bernilai RM5.8 juta yang siap pada Januari 2022, manakala projek Tebatan Banjir Guntung Luar, Setiu bernilai RM3.22 juta pula siap Mei 2022.
Sementara itu Projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka, Dungun yang menelan kos RM132.5 juta siap pada Mac lalu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Mohd Zawawi Ismail berkata, mewakili kerajaan negeri beliau berterima kasih kepada kementerian terlibat serta JPS negeri yang telah berjaya menyiapkan tiga projek berimpak tinggi terbabit.
"Alhamdulillah, dengan terlaksananya projek tebatan banjir di Kuala Terengganu dan Setiu, risiko kejadian banjir di kawasan yang itu dapat dikurangkan dan memberi keselesaan kepada penduduk setempat serta aktiviti mereka tidak lagi terjejas," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Perseketuan Kepada Kerajaan Negeri Terengganu di Rumbia Resort Villa Paka, di sini, hari ini.
Terdahulu, mewakili Kerajaan Persekutuan, Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Mohd Zawawi telah menyaksikan majlis penyerahan tiga projek siap itu.
Mengulas lebih lanjut, Zawawi berkata dengan projek pemuliharaan Sungai Paka pula risiko kerosakan bot-bot nelayan akibat dari muara cetek serta pukulan ombak dapat dikurangkan.
"Selain daripada itu, penduduk di sekitar kawasan pantai berkenaan juga tidak lagi perlu risau dengan risiko hakisan pantai.
"Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pihak terutama pihak kontraktor yang terlibat kerana telah berjaya menyiapkan projek-projek ini.
"Ucapan terima kasih juga kepada semua yang turut menyumbang dan bekerjasama secara langsung atau tidak langsung dalam pelaksanaan projek-projek ini.
"Semoga projek-projek yang diserahkan ini akan dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada penduduk sekitar dan saya yakin penduduk sekitar akan lebih selesa dan selamat berbanding dengan keadaan sebelum ini," kata beliau.
19 Aug 24
1022
28 Peserta Hadir Kursus Pemantapan Kemahiran Refleksologi
Oleh : Ammaarsalehudin
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Seramai 28 peserta telah terlibat dalam kursus Pemantapan Kemahiran Refleksologi kaki, Tangan dan Telinga dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dengan kerjasama Persatuan orang-orang Cacat Penglihatan (PERTIS) dan DQaseh Skill Academy.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, kursus yang diadakan selama dua hari itu sangat memberi manfaat untuk para peserta dalam meningkatkan kemahiran berkenaan.
"Dengan kehadiran para peserta ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program berlangsung termasuk latihan amali bagi memantapkan kemahiran masing-masing.
"Tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya menamatkan kursus ini dan semoga dapat mengambil manfaat sepenuhnya." ujarnya ketika berucap semasa perasmian penutup program berkenaan, di sini, semalam.
Turut hadir. ketua Pegawai Eksekutif YPU negeri, Afnida Aini Alwi, Pengerusi PERTIS, Mohd Fauzi Mansor, Pengarah Urusan DQaseh Skill Academy, Junaimaslinda Othman dan Pengerusi Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT, Fakhruddin Zakaria.
19 Aug 24
115
18,600 Benih Spesis Ikan Asli Dilepaskan ke Sungai Dusun
Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) melepaskan 18,600 ekor pelbagai spesis benih ikan asli di perairan umum Sungai Terengganu, di Kampung Dusun, Telemong.
15 Aug 24
97