Artikel "Komuniti" Terkini
Syukur,Tiga Projek Baharu Atasi Banjir Lulus Di Kuala Besut - Azbi
BESUT, 3 Disember - Sebanyak tiga projek baharu yang dipohon kepada Menteri Kerjaya Raya, Dato' Seri Alexander Nanta Linggi telah diluluskan serta merta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh Salleh berkata, pihaknya sebelum telah memohon kepada Menteri Kerja Raya itu semasa beliau hadir melakukan tinjaun Projek Tiub Tebatan Banjir baru-baru ini.
"Tiga projek itu ialah membesarkan longkang di sekitar Kem Tentera Udara DiRaja Malaysia Gong Kedak, pembinaan longkang baru di sempadan Pachakan dan yang terakhir pembinaan longkang daripada Masjid Kayu Jerteh ke Kampung Pusu Tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Azbi merakamkan jutaan terima kasih kepada Elexender yang telah sudi meluluskan projek terbabit serta merta bagi memastikan masalah banjir di Dun Kuala Besut dapat dikurangkan.
02 Dec 24
326
Kebajikan Pesakit Tidak Terabai Di Musim Banjir
Oleh : Abay Cik
MARANG, 2 Disember - Bagi memastikan kebajikan pesakit tidak terabai walau berhadapan situasi banjir, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong telah mengadakan misi menyampaikan bantuan dan menghantar barangan keperluan.
Pembantu Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Payong, Kamanordin Md Jusoh berkata, pasukan dari pusat khidmat turun ke lapangan bersama Penghulu Mukim, Zafiri Ahmad Zaki membantu menyampaikan barangan keperluan daripada Tabung Darul Iman (TDI).
Ujarnya, antara barangan yang disampaikan seperti lampin pakai buang dan susu khas untuk pesakit.
"Kami berusaha untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan bantuan yang diperlukan terutamanya kepada mereka yang sedang menghadapi cabaran kesihatan dan bencana.
"Misi ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami dalam membantu komuniti setempat," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyertai misi menghantar bantuan kepada pesakit, di sini, semalam.
Dalam pada itu katanya, misi yang dijalankan tersebut turut menyasarkan rumah-rumah penduduk yang terkesan banjir.
Seorang penduduk, Zakaria Mohamad berkata telah menjadi lumrah berhadapan situasi itu saban tahun setiap kali menjelangnya musim tengkujuh.
"Tetapi banjir pada tahun ini tidak sebesar sebagaimana yang terjadi pada beberapa tahun lepas," katanya.
02 Dec 24
101
Hanafiah Iring Zahid Santuni Mangsa Banjir
HULU TERENGGANU, 30 November - Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyantuni mangsa banjir di Terengganu hari ini.
Dalam kunjungan itu, Ahmad Zahid berkata, Kerajaan kini sedang membina 14 Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di setiap negeri.
"Di Hulu Terengganu kita telah menerima permohonan daripada pemimpin tempatan dan kita akan pertimbangkan untuk fasa kedua.
"Saya telah minta pegawai daerah untuk kenal pasti kawasan yang sesuai bagi pembinaan PPKB ini.
"Peruntukan telah pun ada dan Perdana Menteri sendiri berikan peruntukan keseluruhan kepada NADMA bagi belanjawan tahun depan sebanyak RM600 juta iaitu melebihi RM100 juta daripada peruntukan tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Matang di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Mohd Zawawi Ismail.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan mengagihkan bantuan RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir di seluruh negara termasuk negeri ini bermula hari ini.
Kata beliau, pihaknya akan memastikan bantuan yang diagihkan kepada setiap KIR yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan mengikut syarat ditentukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan diterima oleh semua yang terjejas banjir secara berfasa.
"Kita juga meminta kerajaan negeri untuk mengusahakan bantuan dan juga mengadakan dana kecemasan sudah tentu kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri yang sangat baik ini akan ditingkatkan.
"Mesti mencari jalan bagi meringankan beban keluarga yang dipindahkan serta rumah-rumah yang mengalami kerosakan serta segala peralatan di rumah yang mengalami kerosakan dapat dibaiki dan diganti.
"Adalah mustahil untuk mana-mana kerajaan sama ada pusat atau negeri untuk memberikan pampasan secara keseluruhan kerana ini adalah 'hand of god', takdir yang melanda dan kita harus istiqamah untuk menentukan bahawa kerjasam semua pihak amat diperlukan bagi mendepani permasalahan ini," ujarnya.
Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa kerajaan mempunyai peruntukan secukupnya untuk diagihkan kepada seluruh KIR yang terkesan banjir.
30 Nov 24
197
Pemerhati Orang Asli Curi Tumpuan Pembentangan Belanjawan Terengganu
Kehadiran 37 pemerhati daripada kalangan komuniti orang asli Kampung Sungai Pergam, Kemaman mencuri tumpuan dalam Pembentangan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman.
19 Nov 24
116
Terengganu Jadi Negeri Pertama Miliki Pejabat Satelit MyIPO
KUALA TERENGGANU, 11 November - Terengganu menjadi negeri pertama memiliki Pejabat Satelit Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang beroperasi di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).
Pengerusi MyIPO, Ts Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, pembukaan pejabat satelit pertama itu akan memudahkan rakyat Terengganu khusunya kalangan usahawan untuk berurusan dengan MyIPO bagi urusan harta intelek.
Katanya, dengan adanya kemudahan itu, pemilik harta intelek di negeri ini tidak lagi perlu ke pejabat MyIPO di Kuantan, Pahang bagi membuat pemfailan.
"Kita akan buka pejabat di setiap negeri dan kita akan mengorak langkah pertama di Terengganu sebelum disusuli negeri-negeri lain.
"Untuk Terengganu, kita bekerjasama dengan YPU di bawah kerajaan negeri bagi menjalankan operasi pejabat satelit dan kita jangka pendaftaran ini akan meningkat berbanding sebelum ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Pejabat Satelit MyIPO Kuala Terengganu dan penyampaian sumbangan zakat di sini, semalam.
Dalam pada itu katanya, didapati masih banyak hak cipta dan hasil karya dari Terengganu yang selama ini belum didaftarkan.
"Dengan adanya kemudahan ini, ia sekali gus boleh dimanfaatkan oleh lebih 14,000 usahawan yang bernaung di bawah YPU.
"Sejak 2019 hingga Oktober 2024, sebanyak 1418 permohonan harta intelek dari negeri Terengganu diterima dan ia sebenarnya mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan perlindungan harta intelek sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,"ujarnya.
11 Nov 24
895
Hanafiah Terima Pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat APM
KEMAMAN, 8 November - Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat menerima pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam), semalam.
Beliau berkata, pelantikan ini bukanlah suatu anugerah, sebaliknya tanggungjawab dan amanah besar bagi memartabatkan peranan agensi ini dalam menguruskan keperluan rakyat terutamanya apabila berlaku bencana dan sebagainya.
"Terima kasih Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang telah memberikan kepercayaan ini kepada saya," katanya kepada pemberita.
Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Cukai turut mengharapkan mampu menggalas dan melaksanakan tugas ini dengan sebaiknya.
Sesi Penyerahan Vest dan Watikah Pelantikan Pegawai kehormat itu telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Majlis itu berlangsung di Hotel Park Royal A'Famosa Melaka Resort, Alor Gajah, Melaka sempena Mesyuarat Penyelarasan Antara YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan EXCO-EXCO Luar Bandar (MEXCLUB).
08 Nov 24
653
800 Peserta Sertai Funwalk D'baroh
BESUT, 2 November - Seramai 800 orang peserta telah menyertai acara monsoon Funwalk D'baroh, sejauh lima kilometer (KM) dengan mengeliling sawah padi di sekitar Kampung Padang Baloh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, dengan kejayaan program itu beliau sangat berterima kasih kepada semua yang hadir menjayakannya serta menunjukkan komitmen dan sokongan padu dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat.
"Aktiviti seperti ini bukan sahaja memberi peluang untuk menjaga kesihatan fizikal malah dapat mengeratkan hubungan silaturahim diantara pelbagai lapisan masyarakat terutamanya golongan belia, keluarga serta komuniti tempatan".
"Setinggi penghargaan kepada pihak penganjur Persatuan Beliau Sahabat Sejahtera Daerah Besut,sukarelawan, dan semua pihak yang telah berusaha keras memastikan acara ini berjalan lancar dan tidak lupa juga diucapkan jutaan terima kasih kepada semua para penaja yang memberikan sumbangan untuk menjayakan funwalk ini","ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri acara Monsoon Funwalk D'Baroh, yang diadakan di Taman Kohafas Agro Darau, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Husaimi menasihatkan agar aktiviti senaman itu dapat dijadikan sebagai rutin harin yang akan dapat memberikan inspirasi kepada anggota komuniti lain supaya kesihatan dan kesejahteraan dalam hidup akan menjadi keutamaan.
Acara funwalk ini turut dimeriahkan dengan diadakan tiga "check point" disediakan makanan dan minuman antaranya kuih tradisional, ubi kayu, buah-buahan, air tuak dan aiskrim malaysia, sambil menikmati pemandangan yang indah dikelilingi sawah padi serta bukit.
02 Nov 24
234
RPMM Tok Jembal Siap 95 Peratus, Bakal Diserah Kepada Penerima
Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal kini telah mencapai tahap kemajuan 95 peratus dan bakal diagihkan kepada penerima terpilih dalam tempoh dua bulan ini.
07 Oct 24
507
Dialog EXCO Platform Terbaik Rakyat Terima Maklumat Tepat
Program Dialog EXCO yang kini sedang giat dilaksanakan secara berperingkat melibatkan lapan daerah di negeri ini disifatkan sebagai landasan terbaik untuk rakyat mendapat maklumat tepat daripada kerajaan.
06 Oct 24
88
Dialog EXCO Platform Terbaik Rakyat Terima Maklumat Tepat
KUALA NERUS, 3 Oktober - Program Dialog EXCO yang kini sedang giat dilaksanakan secara berperingkat melibatkan lapan daerah di negeri ini disifatkan sebagai landasan terbaik untuk rakyat mendapat maklumat tepat daripada kerajaan.
Salah seorang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung bagi DUN Batu Rakit, Mohd Fadhil Ismail berkata, program bersemuka itu juga membolehkan rakyat bertanyakan soalan secara langsung kepada EXCO sekali gus menjawab segala persoalan yang berlegar dalam kalangan masyarakat.
"Alhamdulillah melalui program ini kerajaan negeri dapat sampaikan apa jua maklumat kepada rakyat mengenai apa usaha, matlamat dan hulu tuju kerajaan negeri serta perjalanan kerajaan negeri dalam keadaan terhimpit.
"Sepanjang program ini berlangsung, kita telah melihat banyak soalan-soalan yang berkisar tentang kesan ekonomi selepas kerajaan negeri tidak lagi diberikan royalti petroleum seperti biasa.
"Jadi telah diberikan penerangan apa solusi untuk masa hadapan dengan wujudnya usaha bagi menambah pendapatan baharu yang boleh menyakinan penduduk dan Pengerusi JPKK mendapat maklumat yang tepat dalam melaksanakan dasar kerajaan terutama bagi memastikan kebajikan kepada rakyat dapat diteruskan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Program Dialog EXCO yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru, Kuala Nerus, di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, Fadhil berkata program yang dianjurkan oleh UPDI itu perlu diperluaskan lagi dan diadakan secara berterusan agar rakyat faham mengenai apa yang terjadi serta dapat mengetahui info-info terbaharu mengenai setiap perancangan dan agenda yang dijalankan.
"Terima kasih kepada pihak kerajaan negeri serta penganjur yang telah mengadakan program ini sekali gus mendekatkan pimpinan kerajaan negeri bersama rakyat," katanya.
04 Oct 24
138