Artikel "Komuniti" Terkini
Jangan Panik, Tiada Jangkitan Coronavirus Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Orang ramai khususnya rakyat Terengganu dinasihatkan agar tidak panik dan mempercayai sebarang berita palsu berkaitan jangkitan Novel Coronavirus di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menegaskan perkara itu selepas tersebar berita seorang kanak-kanak yang disyaki dijangkiti Coronavirus dilarikan dari Hospital Kemaman.
Sebaliknya apa yang berlaku katanya, ibu bapa kanak-kanak berkenaan tidak faham dengan apa yang dimaklumkan oleh doktor kerana masalah komunikasi bahasa lalu membawa pulang semula anaknya ke tapak ECRL dan bukannya melarikan diri.
"Tambahan pula kanak-kanak berkenaan cuma mengalami simpton Coronavirus dan masih belum disahkan positif penyakit itu sebagaimana tular di laman sosial.
"Sebarang maklumat selanjutnya akan dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Hospital Terengganu dalam masa terdekat, warga Kemaman khususnya jangan panik dan mempercayai khabar angin," tegasnya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, kanak-kanak tersebut bagaimanapun sudah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk dikuarantin.
"Pihak Hospital meminta bantuan Polis untuk mengesan kanak-kanak ini. Polis serta-merta mengambil tindakan bertemu dengan ibu bapa kanak-kanak ini di ECRL.
"Kemudiannya membawa kanak-kanak ini menaiki ambulans dan terus dibawa ke Hospital Besar Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu," tambah beliau.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azimi Yunus mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan warga China berusia lima tahun menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Bagaimanapun pemeriksaan mendapati, kanak-kanak itu tidak memenuhi kriteria sebagai pesakit disyaki Patient Under Investigation (PUI) atau pesakit Coronavirus.
Pihak hospital memberi rawatan biasa kepada kanak-kanak itu.
Kanak-kanak itu dimasukkan ke wad di hopsital berkenaan jam 6.15 petang tadi,
Terdahulu dilaporkan, kanak-kanak itu bersama ibu bapanya ke Hospital Kemaman jam 13.34 tengah hari tadi untuk mendapatkan rawatan.
27 Jan 20
95
Kesedaran Derma Organ Di Terengganu Masih Rendah
Alias Razak.
KUALA TERENGGANU, 18 Januari – Kesedaran menderma organ secara sukarela di negeri Terengganu masih belum berada pada tahap membanggakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ia berikutan hanya 1.8 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan rakyat Terengganu yang telah berikrar menderma organ selepas kematian.
Jelasnya, sehingga kini Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) hanya merekodkan sekitar 22,540 pengikrar berbanding lebih 1.2 juta penduduk negeri itu.
“Daripada jumlah itu, seramai 10 orang penderma sahaja telah berjaya mendermakan orang mereka kepada golongan yang memerlukan. Ia melibatkan perndermaan buah pinggang, hati, jantung, paru-paru dan organ-organ lain.
“Apa yang menjadi halangan adalah faktor budaya dan agama yang menganggap bahawa pendermaan organ dan tisu menyalahi hukum sedangkan bagi orang Islam terdapat fatwa yang jelas bahawa perkara itu dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan 2020 di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) di sini hari ini.
Walau bagaimapun katanya, beliau yakin kesedaran itu akan meningkat dari semasa ke semasa berikutan sudah ramai yang mula menyedari akan kepentingan pendermaan organ.
“Semoga orang ramai akan terus meningkatkan kesedaran mereka dan mendaftar sebagai penderma organ.
“Kita boleh mendaftar apabila kita meneliti segala aspek dan ilmu pengetahuan serta menolak persepsi negatif yang mengatakan bahawa ia akan memudaratkan kesihatan penderma,” tambah beliau.
18 Jan 20
166
200 Perangkap Nyamuk Dipasang Di Kampung Masjid Haji Kadir
Perangkap nyamuk diletakkan di salah sebuah rumah.
KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Sebanyak 200 perangkap nyamuk berjaya dipasang di kawasan Kampung Masjid Haji Kadir bagi mengurangkan populasi nyamuk Aedes di kawasan itu, hari ini.
Perangkap nyamuk ‘Mosquito Home’ yang dicipta hasil kerjasama antara syarikat dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu dipasang sebagai salah satu kajian pemantauan dalam membangun kaedah kawalan nyamuk Aedes di Malaysia.
Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UMT, Profesor Madya TS Dr. Mustafa Man memaklumkan, kajian produk itu telah berjaya dijalankan di beberapa negeri sejak enam tahun lepas dan masuk ke pasaran bermula tahun lepas.
Dr. Mustafa sewaktu memberikan penerangan.
“ Kita tidak menyatakan 100 peratus keberhasilan, tetapi ia berjaya mengurangkan densiti nyamuk Aedes di persekitaran dan boleh dikatakan amat memuaskan,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di kampung tersebut, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar serta Pengarah Kesihatan Kuala Terengganu, Dr. Fatimah Muda.
Dato' Tengku Hassan menerima penerangan daripada Dr. Mustafa berkaitan Mosquito Home sambil diperhatikan Dr Fatimah (bertudung).
Dalam program tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menumpukan sesi taklimat terbuka serta menjelajah dari rumah ke rumah untuk pemasangan perangkap nyamuk.
Dr. Mustafa juga mengharapkan sokongan daripada masyarakat terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan penggunaan produk berkenaan sebagai alternatif kawalan nyamuk sedia ada.
“Ini adalah hasil produk Malaysia, dibuat oleh pakar-pakar di Malaysia dan diformulasikan di sini. Maka, kami mengharapkan sokongan ramai lebih-lebih lagi ia telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.
09 Jan 20
419
Kompaun Rokok Langkah ‘Tegas’ Didik Masyarakat
Dr Nor Azimi.
KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Tindakan mengenakan kompaun kepada perokok yang merokok di kawasan larangan adalah bertujuan untuk mendidik rakyat supaya tidak terjebak dalam aktiviti itu.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, gejala merokok di premis menjual makanan dan restoran bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut menjejaskan kesihatan orang ramai.
Berikutan itu katanya, penguatkuasaan yang dijalankan sejak 1 Januari lalu dilihat berupaya mengurangkan gejala itu daripada terus berlaku sekali gus menjamin kesihatan masyarakat.
“Sebanyak 137 notis kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam operasi penguatkuasaan larangan merokok di 2,243 premis setakat 6 Januari.
“Dalam operasi itu, seramai 117 individu dikenakan kompaun di bawah Peraturan 11(1)(d) (PPKHT) kerana merokok di premis menjual makanan manakala 14 pemilik premis menjual makanan dikenakan notis kompaun di bawah Peraturan 12(1)(a) kerana tidak memasang tanda larangan merokok di premis masing-masing,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam Wawancara Khas bersama JKNT di Studio TV Darul Iman, hari ini.
Menurut Dr Nor Azimi, Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Op PPKHT) itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pihak mematuhinya.
Bagi mereka yang menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun sebanyak RM250.
“Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan daripada tarikh notis.
“Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan manakala kompaun sehingga RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya juga membuka pintu seluas-luasnya kepada semua perokok untuk hadir ke hospital atau klinik kesihatan bagi menjalani rawatan berhenti merokok.
08 Jan 20
41
Kad Sejahtera Bantu Warga Emas Kekal Sihat
Penerima-penerima bantuan Kad Sejahtera bersama Dr Azman.
Oleh : Ariss Alias
Foto : Hidayah Azlin
SETIU, 7 Januari - Penerima Kad Sejahtera menyifatkan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Terengganu itu amat bernilai bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapat kesihatan sempurna.
Warga emas, Awang Jusoh, 69, dari Kampung Chalok berkata, dengan RM70 diperuntukan bagi setiap rawatan nilai berkenaan sudah sangat besar buat dirinya.
“Isteri dan anak-anak juga dapat menumpang sama manfaat ini. Sudah rahmat buat kami, kami sangat bersyukur,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kad Sejahtera peringkat DUN Langkap semalam.
Bagi penduduk Kampung Rahmat, Mariam Chik, 76, dia terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu rakyat mendapatkan kesihatan yang terbaik.
“Insya-Allah mak cik akan gunakan kad ini dengan sebaiknya. Selepas ini mudah untuk mak cik dapatkan rawatan daripada klinik swasta, dapat menjamin kesihatan kami,” ujarnya.
Awang Jusoh.
Dalam majlis berkenaan, seramai 364 pemohon menerima Kad Sejahtera yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim semalam di Dewan Sivik Chalok Kedai.
Sementara itu, Dr Azman menyifatkan bantuan tersebut akan memudah dan menyenangkan penerima untuk meningkatkan taraf kesihatan mereka terutamanya warga emas di kawasan luar bandar.
“Nilai dalam Kad Sejahtera berjumlah RM500, penerima dan ahli keluarga apabila hendak mendapatkan rawatan di klinik panel, hanya perlu membawa kad ini sahaja dan nilai akan dipotong mengikut kadar kos rawatan.
“Mungkin ada yang mengatakan kenapa tidak membuat tuntutan insuran, tetapi bagi mereka yang tidak berkemampuan duit yang bayar kepada insuran itulah kegunaan untuk pembelanjaan asas. Bantuan ini adalah dalam bentuk sebenar keperluan masyarakat,” tambah beliau lagi.
Mariam Chik (kiri).
Program Kad Sejahtera merupakan satu program ‘Bantuan Subsidi Rawatan Kesihatan Asas’ yang mensasarkan 20,000 penerima daripada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan peruntukan sebanyak RM10.9 juta pada tahun 2019 sebagai permulaan.
06 Jan 20
268
Bukit Besar Terengganu Diselubungi Jerebu
KUALA TERENGGANU, 12 September - Mercu tanda Bandar Raya Kuala Terengganu, Bukit Besar kini hanya jelas dilihat dari jarak dekat ekoran keadaan jerebu.
Tinjauan sekitar jam 9.00 pagi tadi mendapati meskipun berada pada jarak 500 meter, bukit tersebut kelihatan kabur.
Kebiasaanya mercu tanda negeri itu akan kelihatan jelas meskipun pada jarak lebih 1 kilometer dari Jambatan Sultan Mahmud.
Walau bagaimanapun, berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada Jabatan Meteorologi, keadaan udara di Terengganu berada pada tahap sederhana dan tidak merbahaya.
Walaupun keadaan IPU Terengganu tidak berada di tahap bahaya, orang ramai disaran supaya tidak melakukan sebarang aktiviti kebakaran terbuka agar tidak memburukkan lagi keadaan.
Juga diingatkan untuk sentiasa menitikberatkan kesihatan dalam keadaan cuaca seperti ini dengan mengehadkan aktiviti luar.
Jambatan Angkat kabur dari pandangan.
11 Sep 19
475
Negeri Terengganu Tanpa Plastik 2021
Dr. Alias Razak.
KEMAMAN, 9 Ogos – Kerajaan negeri bersetuju memutuskan penguatkuasaan undang-undang bahawa tiada lagi penggunaan plastik untuk semua jenis perniagaan bermula Januari 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, ia bertujuan mengurangkan risiko plastik dan mikroplastik yang menjadi ancaman kepada hidupan marin dan alam sekitar.
“Ini adalah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan sebagai usaha kita untuk memastikan alam sekitar dapat diwariskan kepada generasi akan datang dalam keadaan yang selamat.
“Perkara ini telah dilaksanakan secara beransur-ansur melalui pendidikan berkaitan risiko plastik serta pekeliling yang telah diedarkan bermula Januari tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup Terengganu Turtle Camp 2019 di Pusat Santuari Ma’Daerah, Kerteh, hari ini.
Program tersebut menghimpunkan 40 pelajar daripada 10 sekolah terpilih dari seluruh negeri untuk memupuk kesedaran dan meningkatkan pemahaman mengenai penyu yang merupakan khazanah negeri Terengganu.
Para peserta Terengganu Turtle Camp merakamkan gambar bersama.
Program selama tiga hari itu dianjurkan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dan World Wide Fund for Nature (WWF) dengan sokongan kerajaan negeri dengan memberi pendedahan menerusi pembelajaran aktiviti luar darjah.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, PSKT, Rosman Roslan; Pengurus Konservasi Penyu WWF Malaysia, Lau Min Min; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Abd. Rahman Kadir serta
Eksekutif Sumber Manusia, BP Petronas Acetyls Sdn. Bhd., Zam Zam Abdul Rahman.
Turut hadir, Ketua Bahagian Pejabat Cawangan Kertih, Majlis Perbandaran
Kemaman, Mohd Kamaruzaman Abd Aziz; Ketua Pusat Penerangan dan Konservasi Penyu Rantau Abang, Firdaus Abdullah dan Penghulu Mukim Kerteh, Abdul Ghafar Mohamed.
Beliau berkata, dalam jangka masa dua tahun tempoh pendidikan itu, pelbagai program dilaksanakan antaranya melalui Hari Tanpa Beg Plastik setiap Sabtu bagi negeri Terengganu.
08 Aug 19
484
“Kemuka Maklumat Lengkap Untuk Kita Semak Semula' - Dr. Azman
Dr Azman Ibrahim.
Oleh: Hidayah Azlin
SETIU, 3 Ogos - Sebarang individu yang mendakwa bahawa ramai penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disekat bantuan diminta mengemukakan maklumat lengkap berkaitannya kepada pihak berwajib untuk disemak semula.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, berdasarkan penelitiannya dalam tempoh setahun lebih usia pemerintahan kerajaan negeri, tiada seorang pun penerima yang dipotong atau disekat bantuan kecuali yang telah meninggal dunia.
‘’Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penimbang, segala permohonan bantuan JKM akan dipertimbangkan. Malah setiap kali mesyuarat, kita tambah berpuluh orang penerima yang baru,’’ tegasnya menerusi kenyataan yang disiarkan di laman sosial ‘ Facebook’ milik peribadinya, semalam.
Menurutnya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penimbang Kebajikan daerah Setiu dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penimbang Kebajikan daerah Besut itu, kerajaan negeri terus komited untuk menjaga dan memastikan kebajikan rakyat terutama golongan-golongan yang kurang berkemampuan terjamin.
‘’Untuk menjernihkan keadaan ini, saya mahu pihak terbabit mengemukakan maklumat itu kepada kami jika benar berlaku di Besut atau Setiu untuk kita semak bagi menyelesaikannya.
“Kebiasaan yang berlaku, masalah mungkin timbul apabila ada penerima berpindah tinggal ke daerah lain, tetapi tidak mengemaskini maklumat terbarunya kepada JKM yang akhirnya menyebabkan bantuan tidak dapat disalurkan,” jelasnya.
03 Aug 19
53
Tiga Pekerja Resort Hilang Di Laut Ditemui Selamat
Oleh: Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 3 Ogos - Tiga orang pekerja resort Pulau Tenggol yang dikhuatiri hilang sejak Rabu lalu telah ditemui selamat oleh nelayan Thailand di perairan antara sempadan Thailand dan Vietnam.
Bot yang dinaiki mereka dipercayai mengalami kerosakan enjin dan ditemui hanyut kira-kira 112 batu nautika dari Dungun.
Fauzi Mohamad, 40; Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25 serta pekerja resort, Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22 telah dibawa ke Pelantar Minyak Bunga Orkid milik Petronas yang terletak di perairan negeri Kelantan bagi mendapatkan bantuan sejurus dijumpai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan itu.
"Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun menerima panggilan kira-kira jam 1 pagi daripada penyelia pelantar minyak Bunga Orkid yang memaklumkan penemuan tiga mangsa itu,” katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun melahirkan kesyukuran dengan berita gembira tersebut.
Menurutnya, kerjasama daripada orang ramai mengirimkan doa serta mengadakan sembahyang hajat selepas solat Jumaat di masjid - masjid-masjid di Dungun dan juga di tapak operasi secara tidak langsung membantu usaha Mencari dan Menyelamat (SAR).
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan kakitangan resort tersebut dan individu-individu yang terlibat di dalam usaha mencari mangsa,” katanya.
Pada hari kejadian, ketiga-tiga mangsa dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan menghantar bekalan makanan ke Pulau tenggol.
Mereka yang berlepas kira-kira jam 12.30 tengah hari dari Jeti di Kampung Seberang Pintasan, didapati hilang apabila tidak tiba di pulau berkenaan tiga jam kemudian sebelum Pusat Kawalan di Ibu Pejabat Polis Daerah mengaktifkan operasi mengesan dan menyelamat mangsa.
03 Aug 19
46
MB Terengganu Tunggang RXZ Waktu Hujan, Curi Perhatian Ramai
Ahmad Samsuri tidak kekok menunggang RXZ. Foto - Hishamuddin Abdullah.
KUALA NERUS, 28 Julai - Menteri Besar (MB), Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencuri perhatian ramai apabila menunggang motosikal RXZ dalam keadaan cuaca hujan lebat, sempena program ‘We Are RXZ Members 3.0’ di Kuala Nerus semalam.
Dengan gaya bersahaja, beliau menunggang motosikal berseorangan sambil diiringi pengawal peribadi kira-kira 15 kilometer bermula dari Kediaman Seri Setia di Batu Buruk, Kuala Terengganu hingga ke tapak program di Litar Permotoran Negeri Terengganu, Gong Badak.
MB keluar dari kediamannya pada 5.15 petang dan disambut di lokasi program yang dihadiri lebih 18,000 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Cuaca hujan sepanjang perjalanan tidak menghalangnya meneruskan perjalanan, malah beliau tidak kekok mengawal tunggangan.
Ahmad Samsuri mendapat respon positif daripada penunggang motosikal RXZ apabila ucapannya pada majlis perasmian program itu di sini mendapat pujian ramai.
“Biar kita sama-sama basah, biar kita sama-sama kering,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh peserta.
Sementara itu menurut peserta himpunan berkenaan, Faridullah Hisham, 28, berkata, dia tertarik dengan keramahan Ahmad Samsuri yang sentiasa menyantuni anak muda dalam program berkenaan.
“Walaupun beliau Menteri Besar dan berstatus VIP, beliau tidak kekok langsung bersama-sama peserta menunggang motosikal. Memang sangat seronok,” katanya yang datang dari Kelantan.
Malah, Ahmad Samsuri sebelum menghadiri program itu sempat menitipkan pesanan kepada anak muda yang menyertai program itu di laman Facebooknya semalam, supaya peserta sentiasa mematuhi disiplin dan undang-undang, menghormati pengguna lain, menjaga aurat dan tidak meninggalkan solat.
27 Jul 19
862