Artikel "agama" Terkini
Terengganu Rancakkan Program Indahnya Hidup Bersyariat di Setiap DUN
SETIU, 10 Januari - Kerajaan negeri serius dalam membiasakan masyarakat hidup dengan syariat di negeri ini melalui pelaksanaan program ‘Karnival Indahnya Hidup Bersyariat’.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Sri Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar sangat menekankan agenda pelaksanaan syariat.
“Pada penggal ini, kami (kerajaan negeri) membawa satu kelainan di mana kami mengetengahkan satu tema, ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ bertujuan untuk mendidik rakyat negeri Terengganu bahawa syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas Nabi Muhammad SAW perlu kita laksanakan.
“Dalam tempoh setahun ini, Insya-Allah kita akan buat di peringkat DUN pula selepas ini. Dengan pengisian lain selain kuliah dan forum bagi merangkumi semua aspek-aspek yang lain supaya kita dapat menyantuni masyarakat di bawah.
“Ini juga bertujuan untuk kita membuang persepsi buruk musuh-musuh Islam yang menggambarkan syariat Islam sebagai melampau, ganas, mundur ke belakang dan lain-lain lagi perkara negatif yang seolah-olah mengekang kehidupan kita," katanya.
Muhammad Khalil berkata demikian dalam ucapan perasmiannya bagi program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) peringkat daerah Setiu yang bertempat di Masjid Kg. Putera Jaya, Setiu semalam.
Tegasnya lagi, ajaran Islam merupakan ajaran yang fleksibel dan mudah, ia tidak sewenang-wenangnya melarang umatnya dalam melakukan sesuatu melainkan jika ia mendatangkan mudarat.
“Contohnya mengenai makan dan minum, kita hanya dilarang untuk memakan daging khinzir, minum arak, bangkai dan juga apa jua yang boleh memberikan mudarat.
“Selain daripada itu, semua boleh dimakan. Yang penting, ia halal lagi baik.
“Sama juga dalam bab pemakaian dan pergaulan. Semuanya begitu mudah untuk kebaikan manusia,” ujar beliau.
Jelas beliau, walaupun dengan keterbatasan kuasa pada masa ini, kerajaan negeri akan terus berkomitmen untuk memperkasakan syariat Islam di dalam hukum-hakam terutamanya bagi perihal berkaitan dengan perundangan.
Kerajaan negeri juga menyeru masyarakat untuk menghayati peristiwa Israk dan Mikraj sempena bulan Rejab.
Pelancaran sulung yang bertempat di daerah Setiu dan Hulu Terengganu, itu juga telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada masyarakat setempat.
Kata Dr. Muhammad Khalil, ia menunjukkan sokongan mereka yang jitu terhadap usaha kerajaan negeri dalam pembawaan tema hidup bersyariat.
“Saya dapat perhatikan kehadiran yang sangat memberangsangkan daripada masyarakat setempat dan juga penyertaan daripada jabatan dan agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba dan lain-lain lagi turut memeriahkan lagi suasana.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis perasmian program itu.
11 Jan 25
233
Rakyat Gusar Kerajaan Madani Dedah Identiti Sebenar
SETIU, 10 Januari- Rakyat di negara ini gusar dengan sikap Kerajaan Madani yang sengaja tidak memaparkan masjid di dalam video montaj 'Visit Malaysia 2026' sekali gus mendedahkan identiti sebenar mereka selama ini tidak menjaga sensitiviti umat Islam dalam negara.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada pandangannya parti yang memerintah negara pada hari ini bersikap kononnya mahu meraikan semua agama dan anutan sebaliknya terpesong jauh daripada prinsip Islam.
"Ia adalah satu dasar yang jauh daripada prinsip Islam, sehingga dalam perkara asas, Masjid yang menjadi salah satu syiar Islam tidak ditunjukkan.
"Dia (Kerajaan Madani) tidak menjaga sensitiviti umat Islam," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM), di Masjid Kg. Putera Jaya, di sini, semalam.
Tambah Muhammad Khalil, sewajarnya masjid menjadi sebahagian daripada video montaj itu kerana mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.
"Salah satunya mereka datang untuk melihat seni bina Masjid dan juga konsep pengurusan institusi itu sendiri kerana memiliki keunikanya yang tersendiri berbanding negara-negara lain," ujarnya.
10 Jan 25
344
BPIM Bertepatan Teras Strategik PITAS2030, Mengukuh Pembangunan Insan
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Bulan Penghayatan Israk dan Mikraj (BPIM) bertepatan dengan teras yang terkandung dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) iaitu mengukuhkan pembangunan insan bagi melahirkan masyarakat beragama, bermasyarakat dan berkebajikan.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun ia dijenamakan semula dari Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) yang dilaksanakan sebelum ini namun masih memiliki matlamat yang sama.
Ujarnya, sambutan rakyat terhadap pelancaran BPIM itu jelas membuktikan rakyat negeri ini menyambut baik setiap usaha dilakukan oleh kerajaan negeri melalui setiap pelaksanaan yang dilakukan mencapai objektif yang dihasratkan.
"Ini menandakan bahawa rakyat Terengganu memang dahaga dan cintakan ilmu. Masing-masing berlumba untuk hadir ke (setiap) majlis-majlis ilmu yang dianjurkan.
"Insya-Allah sepanjang bulan ini, kerajaan negeri akan menganjurkan pelbagai program yang telah dirangka dan disusun.
"Oleh itu, saya menyeru kepada semua masyarakat mengambil bahagian dalam setiap program yang dilaksanakan pada kali ini," ujarnya menerusi satu hantaran, di facebooknya, semalam.
Tambah beliau, adalah menjadi harapan agar matlamat mengukuhkan pembanguan insan itu akan mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.
"Sekalung penghargaan juga kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan program BPIM yang diadakan sepanjang bulan ini,"ujarnya.
08 Jan 25
111
BPIM Didik Rakyat Capai Kesempurnaan Solat
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) yang merupakan penjenamaan semula program Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) bermatlamat untuk terus mendidik dan memotivasikan rakyat ke arah mencapai kesempurnaan mengerjakan rukun Islam kedua itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, BPIM juga bagi menyemarakkan kesedaran, kepekaan dan solidariti umat Islam terhadap tanah suci Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.
"Bertepatan dengan itu, saya ingin mengajak semua rakyat di negeri ini agar menghayati dan mengambil peluang limpahan keberkatan bulan Rejab ini dalam mengetuk pintu hati kita semua dalam menuju 'sayyidus syuhur' (penghulu segala bulan) iaitu Ramadan al-Mubarak.
"Dalam meniti bulan Rejab yang penuh keberkatan, kerajaan negeri melancarkan BPIM yang didalamnya penuh dengan takwim pengisian dan aktiviti melibatkan semua peringkat dan segenap lapisan masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Program BPIM Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Al-Ikhlas, Kampung Banggol Tuan Muda, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata sejajar dengan 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diangkat pada penggal ini adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan pembudayaan dan penghayatan terhadap pensyariatan kewajipan solat.
"Program yang dilaksanakan seperti hari ini turut akan berulang dilaksanakan di setiap daerah termasuk di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam mengambarkan bagaimana kerajaan negeri begitu komited untuk mencapai matlamat Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera.
"Sudah semestinya faktor utama pencapaiannya kepada kesempurnaan solat rakyat," jelasnya.
03 Jan 25
171
15,000 Ribu Rakyat Terengganu Bermunajat di Malam Tahun Baharu
02 Jan 25
99
15,000 Ribu Rakyat Terengganu Bermunajat di Malam Tahun Baharu
KUALA NERUS, 1 Januari - Hampir 15,000 orang ramai menyambut ketibaan tahun baru 2025 di Malam Munajat Terengganu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan pelbagai pengisian yang sarat program keagamaan.
Yang Dipertua Dun, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, program itu bagi memastikan perjalanan dalam menempuh tahun 2025 akan dapat dilalui dengan baik oleh setiap rakyat.
"Malam ini, kita adakan munajat sempena memasuki tahun baharu 2025, kita sama-sama berdoa semoga pada tahun mendatang lebih banyak kebaikan yang kita boleh usahakan.
"Semoga diberikan keberkatan kepada negeri dan rakyat Terengganu,"ujarnya ketika berucap merasmikan program Malam Munajat "Indahnya Hidup Bersyariat" di Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam.
Mengulas lebih lanjut, beliau juga berkata, ia menjadi impian dan harapan setiap rakyat agar tahun 2025 ini, Malaysia berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
"Kita juga berhajat agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita untuk terus istiqamah memperjuangkan agama-Nya, insya-Allah," ujarnya.
01 Jan 25
564
'Indahnya Hidup Bersyariat' Pugar Pemerkasaan Syariah di Terengganu
KUALA NERUS, 1 Januari - Tema 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diangkat oleh kerajaan negeri merupakan salah satu daripada proses pendidikan dan kempen yang dijalankan dalam memugarkan lagi pemerkasaan syariah di Terengganu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, proses tersebut bagi menyedarkan masyarakat ke arah kehidupan mengikut syariah akan dilaksanakan secara berterusan dengan penuh kesabaran dan ketekunan.
"Dalam masa yang sama, pada keadaan yang tertentu, kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan perundangan yang ada untuk melakukan penguatkuasaan sebagai 'amar makruh nahi mungkar'.
"Sebetulnya, masih terlalu banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan. Memahami 'waqie' dan 'aulawiyyat', kerajaan negeri mengambil pendekatan secara tadaruj (berperingkat-peringkat) bermula dengan kesedaran dan pendidikan yang berterusan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Munajat Terengganu "Indahnya Hidup Bersyariat", di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam.
Tambah Mohd Nor, memperkasakan syariat Islam di Terengganu secara khsusnya perlu berhadapan dengan cabaran fahaman liberal dan sekular yang meresap masuk dalam pemikiran umat Islam yang telah memisahkan kehidupan daripada agama.
"Agama atau ibadat hanya dilihat pada hal solat, puasa, zakat dan haji sahaja.
"Sekularisme inilah yang perlu dihakis dalam benak pemikiran umat Islam. Lebih mencabar, kita terpaksa bertempur dengan fahaman Islam Liberal yang merungkai satu demi satu tiang asas dalam agama.
"Agenda mereka untuk melemahkan akidah umat Islam dengan pelbagai propaganda dan persepsi tidak benar,"katanya.
Tegasnya, apa jua cabaran yang datang kerajaan negeri tidak akan berganjak dari usaha untuk memperkasakan syariat di negeri ini dengan mengajak pemimpin dan rakyat seluruhnya untuk tunduk dan taat kepada yang Maha Esa.
"Syarat untuk negeri kita diberkati Allah adalah dengan warganya beriman dan bertakwa,"ucap beliau.
01 Jan 25
216
'Kata Khalayak Ramai, Kenapa Tertutup Pula?' - Ini Jawapan Peguam
Pelaksanaan hukuman sebat syariah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, mengundang rasa kurang puas hati sebahagian kecil rakyat Terengganu yang hadir apabila tidak dapat melihat secara langsung ia dijalankan, sebaliknya dimaklumkan hanya sekitar 70 individu dipilih Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu untuk menyaksikannya.
29 Dec 24
2095
Sebatan Syariah: Permulaan Terengganu Mendaulatkan Perundangan Islam
KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Terengganu melakar sejarah apabila melaksanakan hukuman sebatan syariah di luar penjara semalam, satu langkah signifikan dalam mendukung undang-undang Islam di negeri dan negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah, dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan bahawa pelaksanaan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen negeri untuk mendidik masyarakat dan menegakkan keadilan berlandaskan Islam.
“Hukuman ini dikenakan terhadap pesalah khalwat kali ketiga yang ditentukan oleh Mahkamah, menandakan langkah awal negeri ini dalam mendaulatkan undang-undang Islam secara menyeluruh.
“Ini bukan sekadar hukuman fizikal, tetapi satu peringatan untuk kita semua bahawa undang-undang Islam bertujuan memupuk kesejahteraan, menitikberatkan prinsip keadilan, dan kasih sayang.
“Dalam Islam, hukuman ini adalah simbolik, untuk mendidik dan membawa kesedaran,”katanya dalam satu hantaran di Facebook pada hari ini.
Menurut Muhammad Khalil, hukuman tersebut dilaksanakan berdasarkan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Takzir) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Garis panduan telah ditetapkan oleh Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Ketua-ketua Hakim Syarie seluruh Malaysia, Jabatan Penjara, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Alat sebatan yang digunakan ringan, dan pelaksanaannya memastikan tiada kecederaan fizikal pada pesalah.
“Hukuman ini berbeza dengan sebatan sivil yang lebih menyeksakan pesalah,” jelas beliau.
Dr. Muhammad Khalil menjelaskan bahawa kehadiran semasa pelaksanaan juga dikawal rapi.
“Had bilangan yang dibenarkan hadir adalah seramai 70 orang sahaja, tidak termasuk barisan petugas.
“Setiap prosedur dilaksanakan dengan cermat bagi memastikan hukuman ini berjalan lancar dan mematuhi syarat syariah,” tambahnya.
Kerajaan Negeri turut mengutamakan usaha mendidik masyarakat tentang keadilan dalam hukuman syariah.
“Kami akan mempergiatkan program penerangan dan pendidikan agar rakyat memahami maksud sebenar undang-undang syariah ini.
“Kami perlukan sokongan rakyat supaya pelaksanaan ini dapat dijalankan dengan harmoni tanpa salah faham atau polemik yang tidak perlu,” kata beliau.
Beliau berharap langkah ini menjadi model kepada negeri-negeri lain untuk mengangkat martabat undang-undang syariah di negara ini.
“Langkah ini merupakan salah satu usaha Terengganu untuk memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, sejajar dengan aspirasi rakyat yang mahukan pelaksanaan undang-undang Islam secara holistik.
“Terengganu mahu menunjukkan bahawa pentadbiran Islam yang adil dan berhemah boleh diwujudkan.
“Semoga pelaksanaan ini menjadi permulaan kepada masyarakat yang lebih harmoni, berdisiplin, dan dirahmati Allah SWT,” ujarnya.
28 Dec 24
740
Sebat Syariah di Masjid Tetap Diteruskan Esok
Sejarah baharu akan tercipta apabila Terengganu tetap akan melaksanakan hukuman sebat syariah di luar penjara di sebalik bantahan sebilangan kecil kumpulan tertentu
26 Dec 24
151