Berita :
Susu Kambing KAPRIMA Rentas Pasaran Negara, Atasi Dilema Penternak Terengganu
Susu Kambing KAPRIMA Rentas Pasaran Negara, Atasi Dilema Penternak Terengganu
Hidayah Azlin
12 jam yang lepas
130

MARANG, 5 Julai – Isu ketiadaan pusat pemprosesan susu yang menepati piawaian dan memiliki persijilan halal kini bukan lagi menjadi penghalang buat golongan penternak kambing tenusu di Terengganu untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Melalui langkah proaktif Kerajaan Negeri Terengganu, kolaborasi strategik telah dijalinkan bersama sebuah syarikat tempatan milik anak muda anak jati Terengganu, Tenox Agrobisnes Sdn Bhd.

Kerjasama tersebut berjaya membuahkan hasil dengan pembukaan Pusat Pemprosesan Susu Berteknologi Moden pertama di negeri ini, yang beroperasi di Pusat Pengembangan Veterinar Marang sejak Ogos 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, fasiliti ini merupakan pusat pemprosesan susu kambing berteknologi  Rawatan Suhu Sangat Tinggi (UHT) yang pertama seumpamanya di wilayah Pantai Timur.

"Antara dilema yang dihadapi oleh penternak kambing tenusu di Terengganu sebelum ini ialah ketiadaan pusat pemprosesan susu yang menepati piawaian dan memiliki sijil halal.

"Kini, melalui pusat pemprosesan moden ini, produk susu kambing pelbagai perasa di bawah jenama KAPRIMA yang dihasilkan telah dikenali ramai, bukan hanya di Terengganu malah di seluruh negara," katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Azman turut menzahirkan pujian dan ucapan tahniah kepada pemilik Tenox Agrobisnes, Hariz Nordin, yang disifatkannya sebagai seorang anak muda berjiwa besar atas komitmen memajukan sektor agromakanan tempatan.

Dr Azman turut mengucapkan tahniah kepada Hariz atas kemenangan pasukan bola sepak Maghribi (Morocco) menentang Belanda baru-baru ini, memandangkan isteri kepada usahawan muda berkenaan berasal dari negara tersebut.

Kejayaan penubuhan pusat pemprosesan ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasakan rantaian industri penternakan dan keterjaminan makanan, sekali gus meletakkan usahawan tempatan di pentas persaingan yang lebih tinggi.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan