BESUT, 9 November – Program Sukan Rakyat Mukim Pasir Akar dan Tenang berlangsung dengan penuh meriah serta mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.
Penganjuran program tersebut telah berjaya menghidupkan semangat kesukanan di peringkat komuniti, di samping memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat muafakat antara penduduk Mukim Pasir Akar dan Tenang.

Pelbagai acara sukan rakyat yang menarik pelbagai golongan turut diadakan, antaranya makan epal guna mulut, 'igat puyuh', tarik upih, congkak, 'koyok epal tanpa putus kulit', 'ngail botol', motor lambat, mewarna, sepak penalti, rebut kerusi, tiup belon sampai pecah, baling belon air, bidas tin, boling kelapa, lari dalam guni, lari kain pelikat serta disusuli acara kemuncak pertandingan tarik tali yang sentiasa dinanti-nantikan oleh para peserta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata kejayaan penganjuran program seumpama itu bukan sahaja memberi ruang kepada penduduk untuk beriadah dan bergembira, malah turut menjadi platform memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.
"Sukan rakyat seperti ini bukan sekadar soal menang atau kalah, tetapi lebih kepada menyemai semangat kekitaan dan kebersamaan. Apabila kita berkumpul dalam suasana ceria begini, ia mengeratkan hubungan sesama penduduk dan membina komuniti yang kuat,” katanya ketika ditemui menghadiri program tersebut
Dalam pada itu,Mohd Husaimi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk AJK JPKK, penghulu mukim, para sukarelawan serta seluruh penduduk yang berganding bahu menjayakan program tersebut.
"Saya amat menghargai semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak. Inilah contoh perpaduan dan kerjasama yang harus kita kekalkan,” tambah beliau.
Selain pelbagai acara sukan yang mencuit hati, program turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menambah keceriaan para peserta.
Pada majlis penutup, Mohd Husaimi turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah utama berupa sebentuk cincin emas, peti ais dan basikal kepada pemenang bertuah serta mengucapkan tahniah kepada semua pemenang pertandingan dan cabutan bertuah.
Beliau turut memaklumkan bahawa program Sukan Rakyat seperti ini akan diteruskan lagi di mukim-mukim lain dalam kawasan DUN Hulu Besut sebagai kesinambungan usaha memperkukuh hubungan masyarakat di peringkat akar umbi.
"Insya-Allah, kita akan teruskan penganjuran Sukan Rakyat di mukim-mukim lain selepas ini. Saya mahu semangat kekeluargaan dan perpaduan seperti ini terus hidup di setiap kampung,” ujarnya.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh ceria dan harmoni itu berjaya mencapai objektifnya sebagai wadah menyemarakkan semangat kesukanan, memperkukuh perpaduan serta membina masyarakat yang bersatu padu di Hulu Besut.