KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Terengganu terus menarik perhatian pemimpin serantau apabila Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong, dijadual mengadakan lawatan ke negeri ini sempena kunjungan beliau ke Pahang dan Terengganu bermula 4 hingga 8 Mei.
Lawatan tersebut menjadi satu perkembangan positif kepada Terengganu, khususnya dalam memperkukuh hubungan baik antara kepimpinan negeri dengan Singapura, selain membuka ruang kepada kerjasama lebih luas pada masa hadapan.
Sepanjang lawatan itu, Lee dijangka mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, serta beberapa pemimpin negeri.
Kunjungan berkenaan turut mencerminkan keyakinan terhadap Terengganu sebagai sebuah negeri yang mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor, termasuk ekonomi, pelancongan, pendidikan, tenaga dan hubungan serantau.
Selain Terengganu, Lee juga dijadual mengadakan lawatan ke Pahang, termasuk menghadap Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta bertemu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kepimpinan negeri itu.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Singapura untuk terus memperkukuh hubungan dengan Malaysia, bukan sahaja di peringkat Persekutuan, malah bersama kerajaan-kerajaan negeri yang mempunyai kepentingan strategik dalam pembangunan serantau.
Bagi Terengganu, kehadiran pemimpin kanan Singapura itu memberi makna tersendiri kerana ia menunjukkan negeri ini terus berada dalam radar hubungan luar yang penting, khususnya di Pantai Timur.
Kali terakhir seorang pemegang jawatan politik Singapura mengunjungi Terengganu ialah pada 2023, menerusi lawatan bekas Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Pendidikan Singapura, Maliki Osman.
Lee turut diiringi isterinya, Ho Ching, bersama Menteri Undang-Undang Singapura, Edwin Tong, Menteri Negara Kementerian Ehwal Luar, Zhulkarnain Abdul Rahim, Anggota Parlimen, Joan Pereira, serta pegawai daripada Kementerian Ehwal Luar Singapura.
Lawatan ini sekali gus memperlihatkan peranan Terengganu yang semakin menyerlah sebagai negeri yang stabil, terbuka kepada hubungan strategik, dan berpotensi menjadi rakan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara Malaysia dan Singapura.
Tag :