Jalur Gemilang
Berita :
Stesen ECRL Kuala Terengganu Capai Kemajuan 99 Peratus, Buka 12 Disember
Stesen ECRL Kuala Terengganu Capai Kemajuan 99 Peratus, Buka 12 Disember
Mohd Irsyadi Abu Bakar
7 jam yang lepas
188

MARANG, 26 November - Kemajuan pembinaan fasa pertama Projek ECRL dari Kota Bharu ke Gombak telah mencapai sebanyak 99.03 peratus setakat Oktober, dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Menurut Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, pada masa yang sama kerja-kerja pembinaan di negeri Terengganu pula telah mencatatkan kemajuan yang amat memberangsangkan iaitu sebanyak 99.54 peratus.

"Jajaran ECRL di negeri Terengganu sepanjang 242 kilometer ini melibatkan enam buah stesen.

"Stesen Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Kemasik adalah khusus untuk penumpang sahaja.

"Manakala Stesen Dungun dan Chukai berfungsi sebagai stesen gabungan penumpang dan kargo.

"Gabungan fungsi penumpang dan kargo ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan sektor perindustrian, logistik serta perdagangan di sepanjang koridor negeri Terengganu," katanya.


Beliau berkata demikian ketika mempersembahkan ucapan dalam Majlis Perasmian Stesen ECRL Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Perasmian stesen berkenaan disempurnakan DYMM Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Keberangkatan tiba Baginda pada jam 10.15 pagi turut diiringi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Dato’ Sri Darwis Abdul Razak, Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCCECRL), Deng Bo.

Dalam majlis tersebut, Tengku Muhammad Ismail berkenan mencemar duli berangkat menaiki tren bagi perjalanan terus dari Stesen ECRL Kuala Terengganu ke Stesen ECRL Dungun untuk merasai sendiri pengalaman perjalanan yang pantas, selamat, dan selesa. 

Shamsul Azri memaklumkan, Stesen ECRL Kuala Terengganu turut dilengkapi pelbagai fasiliti moden, antaranya ruang VIP dan kelas perniagaan, ruang menunggu penumpang, eskalator, kedai serbaneka, 500 petak parkir, laluan pejalan kaki berbumbung serta landskap yang terancang. 

"Pada masa ini, ECRL sedang menjalani Program Ujian Percubaan (Trial Operation) dari 7 November hingga 2 Disember 2026, sebagai persiapan menjelang operasi komersial pada 12 Disember 2026. 

"Persiapan ini turut merangkumi latihan komprehensif kepada tenaga kerja tempatan, termasuk anak jati Terengganu, bagi menjamin kecekapan operasi dan keselamatan penumpang pada tahap tertinggi," katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan