Jalur Gemilang
Berita :
852 Anak Terengganu Cemerlang Terima Insentif RM454,800
852 Anak Terengganu Cemerlang Terima Insentif RM454,800
Adli Mohamad
8 jam yang lepas
263

KUALA TERENGGANU, 26 November – Seramai 852 anak Terengganu menerima insentif berjumlah RM454,800 menerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan Yayasan Terengganu sebagai menghargai pencapaian mereka dalam bidang akademik dan kepimpinan.

Majlis yang berlangsung di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam itu dirasmikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah.

Antara pengiktirafan tertinggi yang disampaikan ialah Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu kepada Nur Aleesya Mohd Abd Rashid, Muhammad Nazirul Mubin Mohd Yusof dan Amira Hanna Mohd Nizamuddin.

Setiap penerima membawa pulang pingat emas, wang tunai RM4,000, komputer tablet, blazer rasmi serta sijil penghargaan.

Bagi peringkat institusi pengajian tinggi, Nik Nuraina Fadhilah Nik Muhamad Nasir menerima Anugerah Sarjana Terengganu Kategori Terbilang dengan ganjaran RM7,000.

Mohd Iqbal Mat pula dinobatkan sebagai penerima Kategori Akademik, manakala Nurulhana Adam bagi Kategori Kepimpinan dengan masing-masing menerima wang tunai RM5,000 berserta trofi, tablet dan sijil penghargaan.

Turut menerima pengiktirafan ialah Ahmad Ateef Zhofran Abdul Majid bagi Anugerah Pelajar Khas, Wan Nur Nasuha Wan Mohd Hanafi (Pelajar Terbaik STAM 2025) dan Muhammad Hilman Nor Azmi (Anugerah Khas Penajaan).

Sementara itu, seramai 626 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh semua A menerima insentif RM500 seorang, melibatkan jumlah keseluruhan RM313,000.

Seramai 192 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) cemerlang turut menerima insentif berjumlah RM86,800, dengan 100 daripadanya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, manakala 92 lagi memperoleh PNGK antara 3.84 hingga 3.99.

Selain itu, seramai 20 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang memperoleh keputusan Mumtaz menerima insentif keseluruhan berjumlah RM10,000.

Pengiktirafan tersebut diharap menjadi dorongan kepada lebih ramai anak Terengganu untuk mencipta kecemerlangan dalam bidang pendidikan, sekali gus melahirkan generasi berilmu dan berketerampilan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan