Jalur Gemilang
Berita :
Dana Usahawan Buka Peluang Rakyat Tambah Pendapatan
Dana Usahawan Buka Peluang Rakyat Tambah Pendapatan
Mohd Irsyadi Abu Bakar
9 jam yang lepas
161

KUALA TERENGGANU, 17 November – Dana usahawan yang disalurkan Kerajaan Terengganu membuka ruang kepada rakyat, khususnya di luar bandar, untuk menjana pendapatan tambahan bagi menghadapi tekanan kos sara hidup.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail berkata, inisiatif tersebut menerima respons menggalakkan daripada rakyat yang memerlukan bantuan untuk menceburi bidang keusahawanan.

Menurutnya, usaha itu bukan sahaja membantu memperkukuh agenda ekonomi negeri, malah memberi peluang kepada rakyat untuk mengusahakan sumber pendapatan sendiri.

“Di bawah sana rakyat ramai yang memerlukan dana dan seumpamanya.

“Ini sangat baik kerana merupakan satu usaha kita kerajaan negeri untuk memastikan rakyat kita dapat mencari peluang dan ruang terutama di dalam bidang usahawan ini.

“Alhamdulillah, maknanya dengan ada perkara ini, kita tidak beri ikan kepada rakyat kita, kita beri kail,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Enakmen Perbekalan (Belanjawan) 2027 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Selasa.

Mohd Zawawi turut berharap peruntukan dana berkenaan dapat ditingkatkan bagi membolehkan lebih ramai rakyat menerima manfaatnya.

Katanya, penyaluran dana itu dapat membantu rakyat mencari pendapatan tambahan ketika berdepan peningkatan harga barangan.

“Hari ini, kita tahulah rakyat kita sedang mengalami masalah beban kehidupan akibat daripada kenaikan kos harga barang.

“Jadi dengan dana yang kita salur ini, sekurang-kurangnya kita boleh memastikan rakyat kita dapat ruang untuk mereka mencari tambahan pendapatan,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan