Berita :
Senyuman Aidilfitri Buat 60 Pelajar Asnaf
Senyuman Aidilfitri Buat 60 Pelajar Asnaf
Mastura Jamal Din
1 hari yang lepas
86

KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Seramai 60 pelajar asnaf diraikan dalam Program Projek Baju Raya Vol. 6 anjuran Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) dengan kerjasama MAIDAM dan PUSPANITA yang berlangsung di Dewan Teater, Wisma Darul Iman di sini.

Program tersebut memberi peluang kepada pelajar asnaf memilih sendiri kelengkapan Hari Raya yang dibeli di Mydin Mall Terengganu bersama ibu bapa angkat yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan negeri.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, inisiatif berkenaan bertujuan menceriakan golongan asnaf menjelang Aidilfitri di samping memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan warga perkhidmatan awam.

Menurutnya, program tersebut juga menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara penjawat awam dan masyarakat yang memerlukan.

“Program seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga asnaf, malah memberi kegembiraan kepada anak-anak yang terlibat untuk menyambut Hari Raya dengan lebih bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Para pelajar yang terlibat dilihat teruja dan gembira ketika memilih pakaian baharu masing-masing, sekali gus diharap dapat menceriakan sambutan Aidilfitri mereka tahun ini.


 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan