Berita :
Santong BESS, Grid Berskala Nasional Pertama Negara Mula Beroperasi
Santong BESS, Grid Berskala Nasional Pertama Negara Mula Beroperasi
Ahmad Zaeem Zainudin
3 jam yang lepas
113

DUNGUN, 18 Mei - Pengoperasian Projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System, BESS) Santong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Terengganu menjadi sistem penyimpanan tenaga bateri berskala utiliti pertama di Malaysia yang disambungkan kepada grid nasional.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Fadillah Yusof berkata, projek berkapasiti 100 megawatt (MW) bersamaan 400 megawatt-jam (MWh) itu menjadi antara komponen penting dalam memperkukuh kestabilan sistem bekalan tenaga negara.

Menurut beliau, pembangunan BESS Santong selaras dengan perancangan kerajaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), khususnya dalam memperkukuh integrasi tenaga boleh baharu ke dalam grid nasional.

"Untuk memastikan grid kita berada dalam keadaan stabil, bateri adalah salah satu cara untuk kita memastikan bukan sahaja (sebagai) sumber bekalan tetapi juga kestabilan bekalan dan akhirnya kestabilan grid.

"Sebab itulah sistem ini telah dilaksanakan dan ianya dipanggil sebagai bank tenaga pintar pertama di Malaysia dengan teknologi grid forming," katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian Santong BESS 100MW/400MWh di Kampung Santong, Paka, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris bagi mewakili Menteri Besar pada majlis perasmian itu tadi. 

BESS Santong yang bernilai RM308 juta itu telah mula beroperasi pada 17 April lalu dan dilengkapi 90 unit kontena bateri dengan setiap satunya mampu menghasilkan kuasa 1.26MW serta kapasiti tenaga penuh 5MWh.

Lokasi projek perintis di Santong itu membantu mempercepat pelaksanaan pembinaan memandangkan tapak milik TNB seluas kira-kira tiga ekar atau 12,000 meter persegi sudah tersedia tanpa perlu melalui proses pengambilan tanah yang panjang.

Fadillah berkata, kejayaan menyiapkan projek tersebut dalam tempoh kurang setahun membuktikan keupayaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan sahaja sebagai pembekal tenaga, malah mampu membangunkan infrastruktur strategik negara dengan cekap.

"Ini menunjukkan bahawa TNB memang ada keupayaan bukan sahaja menjadi pembekal tenaga tapi juga boleh menyiapkan infra yang diperlukan untuk kita mengukuhkan keseluruhan rantaian bekalan tenaga negara," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan BESS Santong mampu menyokong keperluan elektrik kira-kira 40,000 isi rumah di Pantai Timur selain membantu memastikan jaminan serta kestabilan bekalan elektrik di rantau tersebut.

"Saya mengucapkan syabas sebab Terengganu dipilih sebagai tempat pertama untuk ianya dilancarkan dan dibina.

"Dengan siapnya ini sudah pasti ianya akan membantu untuk memastikan jaminan bekalan dan juga kestabilan bekalan tenaga di Pantai Timur," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, BESS Santong memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan sistem grid melalui keupayaan tindak balas pantas terhadap ketidakseimbangan bekalan dan permintaan.

Antara peranan lain stor tenaga itu, jelasnya, termasuklah menyokong pengurusan beban waktu puncak serta integrasi tenaga solar pada skala lebih besar melalui keupayaan 'grid-forming'.

"Sistem ini turut menggunakan teknologi penyejukan cecair (liquid-cooled) serta keupayaan grid-forming yang membolehkan integrasi tenaga boleh baharu pada skala lebih besar, di samping memberikan tindak balas pantas terhadap perubahan keadaan sistem," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah Shamsul, BESS Santong juga berfungsi sebagai bank tenaga yang menyimpan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu seperti ladang solar berskala besar dan sistem solar terapung hibrid hidro, sebelum disalurkan semula ke grid apabila diperlukan.

Secara ringkasnya, BESS berfungsi sebagai 'power bank' berskala besar yang mampu 
menyimpan lebihan tenaga elektrik dan melepaskannya semula apabila diperlukan.  

Fasiliti ini membantu menstabilkan frekuensi grid, mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik serta memastikan sistem pembekalan elektrik kekal stabil walaupun penembusan tenaga boleh baharu dari sumber solar semakin meningkat.


Ketupat

Artikel Berkaitan