Jalur Gemilang
Berita :
Rosol Persoal Pengecualian Syarikat Teknologi Gergasi Daripada Akta Keselamatan Siber
Rosol Persoal Pengecualian Syarikat Teknologi Gergasi Daripada Akta Keselamatan Siber
Muhammad Aqil Mat Ali
2 jam yang lepas
53

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Ahli Parlimen Hulu Terengganu,  Rosol Wahid mempersoalkan keputusan kerajaan mengecualikan beberapa syarikat teknologi gergasi antarabangsa daripada peruntukan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854).

Beliau membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat susulan pewartaan Perintah Keselamatan Siber (Pengecualian) 2025 yang berkuat kuasa pada 1 Februari 2025.

Menurut beliau, perintah yang ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Januari 2025 itu melibatkan sembilan syarikat teknologi antarabangsa.

Antara syarikat yang disenaraikan ialah Amazon Data Services Malaysia Sdn. Bhd., Amazon Web Services Malaysia Sdn. Bhd., Google Asia Pacific Pte. Ltd., Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., Google Malaysia Sdn. Bhd., Microsoft Knowledge Capital Centre Sdn. Bhd., Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd., Microsoft Payments (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Pearl Computing Malaysia Sdn. Bhd.

Rosol berkata, keputusan itu menimbulkan persoalan mengenai pendirian kerajaan dalam memastikan kedaulatan data negara, lebih-lebih lagi apabila pembangunan Sovereign AI Cloud turut diketengahkan dalam ucapan Belanjawan bagi memastikan data rakyat dan maklumat strategik negara kekal di bawah kawalan Malaysia.

“Persoalan saya, apa keistimewaan syarikat-syarikat ini sehingga diberikan pengecualian daripada Akta 854? Adakah kita tunduk pada Amerika, kita dibuli oleh Amerika ataupun kita telah dibeli oleh Amerika?

“Ini persoalannya, kebalkah mereka ini kerana mereka terkecuali daripada akta yang kita luluskan di peringkat Parlimen?,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci mengenai rasional pengecualian berkenaan, khususnya dari segi pelaksanaan undang-undang keselamatan siber serta usaha mempertahankan kedaulatan data dan kepentingan keselamatan negara.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan