Jalur Gemilang
Berita :
Cadangan Ambil Alih Projek Perumahan Di Besut Diteliti
Cadangan Ambil Alih Projek Perumahan Di Besut Diteliti
Ahmad Zaeem Zainudin
5 jam yang lepas
12

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Cadangan pengambilalihan projek pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) dan perumahan bercampur melibatkan 913 unit di Dendong, Mukim Tembila, Besut sedang diteliti bagi memastikan pembangunan berkenaan dapat diteruskan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri akan memberi perhatian kepada proses pemilihan kontraktor baharu bagi memastikan projek itu dapat diteruskan dan disiapkan mengikut perancangan.

"Keutamaan kerajaan negeri adalah untuk mempercepatkan pelaksanaan dan penyiapan projek agar pembeli dapat menikmati kediaman yang telah dijanjikan tanpa terus terbeban dengan kelewatan yang berlaku," katanya.

Menurut beliau, projek pembangunan di atas tanah kerajaan seluas 60 ekar itu merangkumi 200 unit RMM Jenis A, 452 unit RMM Jenis B, 243 unit rumah teres komersial dan 18 unit rumah kedai.

Jelasnya, antara cabaran dihadapi pemaju asal ialah kekangan kewangan sepanjang pandemik COVID-19 yang menjejaskan aliran tunai syarikat serta keupayaan memenuhi komitmen kewangan dan menyediakan modal pembangunan.

"Selain itu, pihak pemaju turut berhadapan dengan peningkatan kos buruh asing dan tempatan yang mendadak selepas peralihan fasa pandemik COVID-19.

"Kemerosotan nilai Ringgit Malaysia juga telah menyumbang kepada peningkatan harga bahan binaan seperti simen, besi, konkrit dan bahan-bahan lain, sekaligus meningkatkan kos keseluruhan pembangunan projek," katanya.

Selain itu, tambahnya, proses kelulusan pelan bangunan turut tergendala apabila pemaju gagal menjelaskan bayaran premium tanah berjumlah RM10,854,271 selepas rayuan yang dikemukakan ditolak.

Terdahulu, beliau telah menerima kunjungan pihak Hasrat Gemilang Sdn. Bhd. yang diketuai Pengarah Eksekutifnya, Noor Azman Omar, bagi membincangkan perancangan dan cadangan pengambilalihan projek perumahan berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Putera.

Dalam pada itu, Wan Sukairi menegaskan, cadangan itu memerlukan penelitian dan penyelarasan lanjut dengan pihak berkaitan, termasuk mengambil kira status projek, keperluan teknikal, pematuhan syarat serta kepentingan bakal pembeli dan penduduk setempat.

"Insya-Allah, semoga perbincangan ini membuka ruang kepada penyelesaian yang baik serta membantu memastikan pembangunan perumahan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih teratur," ujarnya.

Dalam masa sama, Nurkhuzaini berharap agar pertemuan itu bakal menjadi titik noktah kepada penantian penduduk Kota Putera yang telah berlarutan sekian lamanya untuk memiliki kediaman sendiri.

"Alhamdulillah, pihak Hasrat Gemilang Sdn. Bhd. menyatakan kesediaan dan komitmen mereka untuk membangunkan serta meneruskan semula projek terbengkalai ini.

"Besar harapan 'ambo' agar pembangunan semula ini dapat menyempurnakan penantian panjang penduduk di Kota Putera untuk memiliki kediaman sendiri yang selesa.

"Sama-sama kita doakan segala proses dan tindakan susulan berjalan lancar supaya penantian ini dapat diakhiri dalam masa terdekat, insya-Allah," katanya dalam satu kenyataan.


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan