Jalur Gemilang
Berita :
RM3.16 Juta Biayai 19 Anak Terengganu Lanjut Pengajian ke China, Tunisia
RM3.16 Juta Biayai 19 Anak Terengganu Lanjut Pengajian ke China, Tunisia
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
62

KUALA TERENGGANU, 25 September – Seramai 19 anak Terengganu menerima Pinjaman Boleh Ubah (PBU) berjumlah RM3.16 juta bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke China dan Tunisia pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, daripada jumlah itu, lapan pelajar akan melanjutkan pengajian ke China dengan pembiayaan RM2.28 juta, manakala 11 lagi ke Tunisia membabitkan pembiayaan RM874,000.

“Lapan orang ke China dengan pembiayaan RM2.28 juta. Mereka akan menjalani kursus persediaan bahasa HSK selama 10 bulan sebelum menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan Sains Komputer di Tianjin University.

“Manakala 11 orang lagi ke Tunisia untuk mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Ez-Zitouna University dengan pembiayaan RM874,000,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Penerima Pinjaman Boleh Ubah (PBU) Yayasan Terengganu ke China dan Tunisia Tahun 2026, semalam.

Menurut beliau, peluang berkenaan membuktikan skim pembiayaan pendidikan mampu membuka laluan kepada anak-anak Terengganu untuk menimba ilmu di peringkat antarabangsa, termasuk mereka yang sebelum ini mungkin tidak pernah terfikir berpeluang belajar di luar negara.

Katanya, sokongan pendidikan melalui Yayasan Terengganu juga dapat membantu meringankan beban keluarga dan memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak negeri mengejar cita-cita dalam bidang pendidikan.

“Ada anak yang mungkin sebelum ini tidak pernah terfikir mampu belajar di luar negara dan ada ibu ayah yang mungkin berat hati untuk melepaskan anak pergi jauh.

“Tetapi dengan adanya skim pinjaman dan sokongan pendidikan seperti ini, insya-Allah lebih banyak anak Terengganu dapat melihat dunia dan menimba ilmu di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata, penerima perlu memanfaatkan peluang tersebut dengan bersungguh-sungguh, selain menguasai bahasa, mengenali budaya serta membina pengalaman dan kemahiran sepanjang berada di luar negara.

“Pergilah jauh untuk mencari ilmu, tetapi jangan lupa jalan pulang.

“Jadikan peluang ini sebagai bekalan untuk kembali nanti dan menyumbang kepada agama, masyarakat dan negeri Terengganu,” tambahnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan