Jalur Gemilang
Berita :
JKM Ambil Tindakan Tangani Isu Gelandangan di Hentian Bas MBKT
JKM Ambil Tindakan Tangani Isu Gelandangan di Hentian Bas MBKT
Mastura Jamal Din
11 jam yang lepas
365

KUALA TERENGGANU, 24 September – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu mengambil tindakan segera terhadap isu kehadiran golongan gelandangan di kawasan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang mendapat perhatian masyarakat sejak kebelakangan ini.

Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Ismail Kasan berkata, tindakan pengurusan dan penempatan telah dilaksanakan terhadap individu yang dikenal pasti, berdasarkan keadaan, keperluan serta bidang kuasa yang bersesuaian.

Menurut beliau, tindakan berkenaan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan termasuk Akta Orang Papa 1977 (Akta 183), manakala kes membabitkan kanak-kanak pula tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

“Pada masa sama, JKM sedang melaksanakan proses mengenal pasti, mengumpul maklumat dan menyediakan profil individu gelandangan di kawasan berkenaan.

“Langkah ini penting bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai latar belakang, status keluarga, keperluan kebajikan serta keadaan setiap individu supaya bentuk intervensi dan bantuan yang bersesuaian dapat dirancang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian awal, terdapat individu yang mungkin memerlukan penilaian serta bantuan lanjut berkaitan kesihatan mental.

Sehubungan itu katanya, JKM sedang menyelaras tindakan bersama agensi kesihatan berkaitan bagi membolehkan individu yang memerlukan dirujuk untuk penilaian dan intervensi bersesuaian.

Dalam pada itu, JKM turut menghargai keprihatinan dan kerjasama MBKT, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat serta orang awam yang mengambil berat terhadap kebajikan golongan gelandangan.

“Kerjasama dan saluran maklumat daripada semua pihak amat penting bagi membantu JKM mengenal pasti individu yang memerlukan bantuan serta membolehkan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan bidang kuasa dan keperluan setiap kes,” katanya.

JKM Negeri Terengganu, katanya, komited meneruskan tindakan secara berhemah, berfokus dan bersepadu bersama agensi berkaitan bagi memastikan aspek kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan golongan yang memerlukan sentiasa diberikan perhatian.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan