lightning-solid
Berita :
Rasuah Dihukum Secara Terpilih Jejas Keadilan Negara
Rasuah Dihukum Secara Terpilih Jejas Keadilan Negara
Amirul Mohd
3 jam yang lepas
52


KUALA LUMPUR, 27 Januari - Presiden Pas , Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa realiti yang sedang berlaku ketika ini menunjukkan isu rasuah dihukum secara terpilih, sekali gus menjejaskan keadilan dalam negara.

Beliau berkata, keadaan tersebut memperlihatkan pihak yang menyokong kerajaan seolah-olah dilindungi, manakala mereka yang tidak sehaluan pula diburu dan dikenakan tindakan.

Menurutnya, rasuah tidak mengenal kawan atau lawan kerana perbuatan itu merosakkan negara serta menindas rakyat tanpa mengira siapa pelakunya.

“Apabila undang-undang digunakan secara pilih kasih, rakyat akan hilang kepercayaan terhadap sistem keadilan. Akhirnya negara rosak dari dalam, yang bersalah terus bebas dan yang lemah terus menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Dalam ucapannya, Abdul Hadi menegaskan bahawa tindakan terhadap pesalah rasuah perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berprinsip tanpa mengira kedudukan politik mana-mana pihak.

“Sepatutnya, yang memberi rasuah, yang menerima rasuah dan orang tengah semuanya mesti dihukum, sama ada menyokong kerajaan atau tidak,” tegas beliau.

Menurutnya, keadilan yang sebenar hanya dapat ditegakkan apabila undang-undang dilaksanakan tanpa pilih bulu serta bebas daripada pengaruh politik dan kepentingan tertentu.

Beliau turut menegaskan bahawa Pas akan terus konsisten membawa suara kebenaran dengan memperjuangkan keadilan tanpa kompromi serta amanah sebagai asas pentadbiran negara.

“Rakyat menuntut keadilan sebenar. Negara hanya akan selamat apabila hipokrasi dihentikan dan rasuah dihapuskan sepenuhnya,” ujarnya.





Tag :

Artikel Berkaitan