lightning-solid
Berita :
SMIDI Terengganu Guna iPad Bermula Tahun Ini
SMIDI Terengganu Guna iPad Bermula Tahun Ini
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
39

DUNGUN, 26 Januari – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) hari ini melancarkan Pembelajaran Digital Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) bertujuan meningkatkan akses kepada sumber ilmu lebih meluas sekali gus melahirkan pelajar seimbang dari aspek akademik, rohani dan sahsiah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, dunia hari ini ditentukan oleh keupayaan menguasai ilmu, teknologi dan maklumat, justeru pendigitalan pendidikan bukan satu lagi pilihan tetapi satu keperluan strategik.

SAI_6292 .jpg 1.82 MB

“Bermula tahun 2026, semua kelas Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 SMIDI akan menggunakan iPad sebagai medium pembelajaran digital secara berperingkat.

“Sebenarnya, sekolah-sekolah Imtiaz di bawah Yayasan Terengganu terlebih dahulu menggunakan iPad sepenuhnya, maka kita tidak mahu SMIDI ketinggalan dalam arus perkembangan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembelajaran Digital Bertemakan ‘Digital Di Jari, Takwa Di Hati’ di SMIDI Dungun, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Zahari Sulong dan Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Muhammad Zaini Muhammad Nor.
SAI_6318 .jpg 1.48 MB

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan bagi menaik taraf capaian WiFi di keempat-empat SMIDI serta membekalkan Smart TV dan kemudahan digital kepada guru-guru khususnya yang mengajar Tingkatan 1.

“Namun, kita berharap agar inisiatif ini tidak menjadi projek ‘gajah putih’. Kita tidak mahu iPad ada, Smart TV ada, WiFi ada, tetapi penggunaannya tidak dimaksimumkan. Guru-guru digalakkan mengikuti kursus serta latihan agar penggunaan teknologi ini benar-benar memberi manfaat kepada proses pengajaran dan pembelajaran,” ujarnya.

Tegas Satiful, kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan pembinaan sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar dan atas prinsip tersebutlah tema ‘Digital Di Jari, Takwa Di Hati’ dipilih sebagai teras perlaksanaan pembelajaran digital di institusi pendidikan Islam di Negeri Terengganu.
SAI_6223 .jpg 1.7 MB

“Kita maklum bahawa pelajar hari ini adalah Generasi Z, generasi yang lahir dalam era digital. Sejak kecil mereka sudah terdedah kepada telefon pintar dan teknologi.

“Namun dalam dunia digital ini, bukan hanya kebaikan yang tersebar, bahkan unsur negatif juga mudah menular. Musuh-musuh Islam telah lama menggunakan teknologi untuk menyesatkan manusia.

“Oleh sebab itu, tema utama pembelajaran digital ini bukan sekadar teknologi, tetapi pembinaan jati diri, iman dan takwa agar pelajar mampu menjaga diri dan memanfaatkan teknologi dengan cara yang betul,” ujarnya.









Tag :

Artikel Berkaitan