Berita :
Proses Melengkapkan Peralatan Rumah Sembelihan Halal Sedang Berjalan Lancar
Proses Melengkapkan Peralatan Rumah Sembelihan Halal Sedang Berjalan Lancar
Adli Mohamad
15 jam yang lepas
62

KUALA TERENGGANU, 5 Mac -  Di bawah Program Keterjaminan Makanan hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, proses melengkapkan peralatan bagi rumah sembelihan berstatus halal di Wakaf Tapai kini sedang berjalan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani , Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, melengkapkan rumah sembelihan terbabit dengan bilik sejuk bagi penyimpanan daging serta beberapa peralatan lain merupakan langkah seterusnya bagi memastikan operasi menjadi lebih lancar dan efisien.

Ujarnya,  setelah ia dibina dengan dana RM500,000 dari kerajaan negeri bagi kegunaan penternak di daerah marang dan mula beroperasi pada November 2022 kini memiliki asas yang kuat untuk memohon peruntukan Kerajaan Pusat untuk dilengkapi peralatan serba lengkap termasuk bilik sejuk.

"Kenapa mohon peruntukan Pusat? kerana Jabatan Perkhidmatan Veterinar ialah sebuah Jabatan Bersama Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

"Jabatan Bersama bermaksud jabatan yang diuruskan secara bersama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan,"ujarnya melalui satu kenyataan di facebooknya, kelmarin.

Mengulas lebih lanjut, pembinaan rumah sembelihan berkeluasan 50 x 60 kaki persegi dengan fasiliti yang ada itu nanti mampu mencapai kapasiti sembelihan sehingga 15 ekor lembu atau kerbau, 25 ekor kambing atau biri-biri dan 100 hingga 300 ekor arnab dalam sehari.

"Mula beroperasi pada November 2022, Rumah Sembelihan ini telah diluluskan Persijilan Halal dalam Mesyuarat Jawatankuasa Panel Halal yang bersidang pada 30 Oktober 2023,"ujar beliau.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan