lightning-solid
Berita :
Projek RM51 Juta Bukit Keluang–Bukit Bubus 'Rahmat' Buat Penduduk
Projek RM51 Juta Bukit Keluang–Bukit Bubus 'Rahmat' Buat Penduduk
Rohayati Ripin
8 jam yang lepas
57

Oleh : Ahmad Hilmi

BESUT, 7 November – Projek Jalan dan Jambatan Alternatif Bukit Keluang–Bukit Bubus bernilai RM51 juta bukan sahaja menyelesaikan isu perhubungan dan banjir di kawasan itu, malah dijangka menjadi mercu tanda pelancongan baharu di daerah Besut.

Namun di sebalik kegembiraan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman menzahirkan kebimbangan berhubung potensi penyalahgunaan laluan baharu tersebut sebagai litar lumba haram, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan pengguna.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), sudah tiga kali operasi dijalankan bagi membanteras aktiviti lumba haram di kawasan berkenaan walaupun jalan itu belum dirasmikan sepenuhnya.

“Jalan ini belum pun dirasmikan, tetapi saya dimaklumkan oleh OCPD bahawa sudah tiga operasi dilakukan kerana ada aktiviti lumba motor.

IMG-20251107-WA0053.jpg 176.55 KB
"Janganlah kemudahan cantik ini disalah guna. Saya bimbang akan berlaku kemalangan maut,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian projek berkenaan, pada semalam.

Beliau turut menyeru anak muda agar menggunakan jalan itu secara berhemah dan mengingatkan pihak berkuasa agar meningkatkan pemantauan keselamatan di kawasan terbabit.

Mohd Nurkhuzaini menyifatkan projek berkenaan sebagai 'rahmat berganda' buat penduduk tempatan kerana bukan sahaja menyelesaikan masalah banjir yang sering memutuskan laluan utama di Jalan Tembila.

Tetapi katanya, ia juga merancakkan aktiviti pelancongan terutama di Bukit Keluang yang kini menjadi tumpuan pelancong dan penggemar sukan paragliding.

“Jalan ini mercu tanda baharu DUN Kota Putera. Pemandangannya bertaraf antarabangsa dan akan memberi impak besar kepada sektor pelancongan serta ekonomi tempatan,” ujarnya.
IMG-20251107-WA0052.jpg 260.27 KB
Sementara itu, Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu, Ir. Dr. Hasli Ibrahim, memaklumkan projek sepanjang 2.5 kilometer itu telah siap mengikut jadual dengan dua jambatan merentasi Sungai Keluang Besar dan Kecil.

“Projek ini bermula Ogos 2021 dan siap pada 9 Oktober 2025. Ia memendekkan perjalanan dari Kampung Tembila sebanyak 12 kilometer atau kira-kira 15 minit, dan turut menerima anugerah cemerlang pengurusan keselamatan serta alam sekitar,” katanya.

Wakil Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Mohd Sabri Ramly, pula menjelaskan bahawa projek berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Terengganu adalah negeri ketiga tertinggi menerima projek infrastruktur luar bandar dengan kos RM1.27 bilion. Kami berpuas hati dengan prestasi JKR Terengganu yang melaksanakan 17 daripada 26 projek tanpa kelewatan,” katanya.

Projek strategik ini dijangka menjadi nadi baharu pembangunan kawasan pesisir Besut.

Namun beliau menggesa agar pemantauan diperketat dilihat penting bagi memastikan infrastruktur itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan rakyat, bukan sebaliknya menjadi medan bahaya bagi kegiatan haram.


Tag :

Artikel Berkaitan