lightning-solid
Berita :
Program YB Cakna Komuniti Dekati Rakyat
Program YB Cakna Komuniti Dekati Rakyat
Izzat Al-qushairi
8 jam yang lepas
48

KUALA NERUS, 4 November – Aktiviti Program YB Cakna Komuniti disifatkan sebagai platform terbaik untuk mendekati masyarakat, memahami denyut nadi rakyat serta mengenal pasti permasalahan sebenar yang dihadapi komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, pendekatan santai dan berteraskan kekeluargaan ini bukan sahaja memberi ruang untuk beramah mesra dengan penduduk setempat, malah membuka peluang untuk beliau mendengar secara terus aduan, cadangan serta pandangan masyarakat dalam suasana terbuka dan harmoni.

“Program biasanya bermula dengan kuliah subuh, diikuti sarapan pagi bersama penduduk, ziarah ke rumah mereka yang uzur, rawatan syifa, aktiviti sukan melibatkan belia dan beliawanis, sebelum diakhiri dengan kuliah maghrib atau aktiviti komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program YB Cakna Komuniti Sejahtera peringkat UDM Wakaf Tengah, yang berlangsung di Dewan Komuniti Wakaf Tengah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin tempatan, belia serta golongan wanita.

Menurut beliau, program seumpama ini bukan sekadar rutin turun padang, tetapi simbol komitmen berterusan untuk memastikan suara rakyat didengar dan setiap keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berwajib.

“Saya akan terus turun padang secara berkala kerana inilah medan terbaik untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat. Bila kita turun sendiri, kita faham realiti sebenar yang mereka hadapi dan dapat cari jalan penyelesaian dengan lebih cepat,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa kehadiran pemimpin di tengah masyarakat akan melahirkan keyakinan dan rasa percaya terhadap kepimpinan kerajaan negeri yang prihatin, responsif dan sentiasa mendahulukan rakyat dalam setiap tindakan.

Tambahnya lagi, pendekatan ini seiring dengan hasrat kerajaan negeri yang menekankan budaya kepimpinan berjiwa rakyat, bukan hanya bekerja dari pejabat, tetapi menyelami kehidupan rakyat di lapangan.


Artikel Berkaitan