lightning-solid
Berita :
Program Asasi Ulul Albab Perkukuh Agenda Modal Insan PITAS 2030
Program Asasi Ulul Albab Perkukuh Agenda Modal Insan PITAS 2030
Noraini Jusoh
1 hari yang lepas
100

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan Negeri terus memberi keutamaan kepada pembangunan pendidikan demi melahirkan modal insan berkualiti sekaligus sebagai pelaburan terbaik untuk masa depan negeri. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi Dan Pembangunan Insan Negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, usaha dilaksanakan Yayasan Terengganu menerusi sistem pendidikan IMTIAZ dilihat selari dengan aspirasi Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 yang menekankan pembangunan insan berkualiti, berilmu, berkemahiran serta berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam. 

"PITAS 2030 menggariskan pembangunan negeri tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek fizikal dan ekonomi, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembentukan insan yang mampu menjadi pemimpin, pencetus inovasi serta agen perubahan kepada masyarakat.

"Dalam konteks ini, pendidikan IMTIAZ merupakan antara model terbaik dalam melahirkan generasi yang menggabungkan kecemerlangan naqli dan aqli, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk membina masyarakat berdaya saing tanpa mengabaikan nilai Islam, " ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Khas Asasi Ulul Albab Sekolah- Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2026 di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini, hari ini.
Majlis berkenaan bagi meraikan kejayaan 643 pelajar Tingkatan Satu yang menamatkan Program Khas Asasi Ulul Albab selama enam bulan yang menjadi asas kepada pembentukan sahsiah, disiplin, budaya ilmu dan kecintaan terhadap al-Quran.

Mengulas lanjut Satiful berkata, pembangunan modal insan yang diterapkan melalui Program Khas Asasi Ulul Albab turut menyokong agenda negeri dalam melahirkan generasi yang memiliki kemahiran abad ke-21, celik teknologi serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi masa hadapan namun tetap berpaksikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan kehidupan.

"Inilah kekuatan sebenar pendidikan IMTIAZ, iaitu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan, bahkan mampu membina tamadun," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang memberi kepercayaan kepada Yayasan Terengganu, selain komitmen para guru serta warga IMTIAZ yang istiqamah mendidik dengan penuh kesabaran dan keikhlasan.

Satiful turut mengingatkan para pelajar supaya terus memelihara disiplin, menjaga hafazan al-Quran, menghormati guru dan ibu bapa serta menjadikan kecemerlangan akademik sebagai wasilah untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negeri.

"Jadikanlah kecemerlangan akademik sebagai wasilah untuk berbakti kepada masyarakat dan al-Quran sebagai pedoman dalam setiap langkah kehidupan.

"Semoga usaha murni ini akan terus menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai 
generasi Ulul Albab yang akan memimpin Terengganu dan Malaysia pada masa 
hadapan, sekali gus merealisasikan aspirasi Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera, " ujarnya. 


Tag :

Artikel Berkaitan