lightning-solid
Berita :
Penuntut Kolej Lemas Ketika Mandi-Manda di Sungai Loh
Penuntut Kolej Lemas Ketika Mandi-Manda di Sungai Loh
Muhammad Amiruddin Zamri
1 hari yang lepas
137

DUNGUN, 6 Ogos – Kegembiraan sekumpulan 10 penuntut sebuah kolej yang beriadah di Sungai Loh, Kampung Jongok Batu, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas petang semalam.

Mangsa, Ahmad Al Hafiz Asri Ahmad Kamarulzaman, 19, merupakan penuntut Diploma Pengurusan Pelancongan Islam di Kolej Ketengah, Bandar Al Muktafi Billah Shah. 

Beliau dilaporkan hilang selepas terjun dari kawasan berbatu ke dalam sungai sekitar jam 4.10 petang.

Rakan-rakan mangsa segera menghubungi talian kecemasan sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktafi Billah Shah bersama polis bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Jasad mangsa ditemukan terapung kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian pada jam 5.15 petang sebelum dibawa naik dengan bantuan penduduk kampung serta Pasukan Bomba Sukarela Kampung Jongok Batu.

Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun bagi proses bedah siasat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya golongan belia, supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika beriadah di kawasan sungai dan rekreasi, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengelakkan aktiviti berisiko bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.


Tag :

Artikel Berkaitan