Warga emas maut, cucu antara dua cedera dalam nahas dua motosikal di Besut
Ariss Alias
3 jam yang lepas
53
BESUT, 7 Ogos – Seorang lelaki warga emas berusia 76 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kampung Jabi, di sini, petang semalam.
Kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu melibatkan motosikal Honda AFX110CS yang ditunggang mangsa bersama cucunya berusia 16 tahun serta sebuah motosikal Kawasaki EX250-L yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun.

Akibat kemalangan itu, warga emas terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Cucu mangsa dan penunggang motosikal Kawasaki pula mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan yang dialami dalam kemalangan jalan raya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan berhati-hati ketika berada di jalan raya bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Orang ramai turut diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian itu kerana boleh menjejaskan siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.