KUALA TERENGGANU, 22 April – Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem federalisme negara, termasuk mengembalikan hak royalti petroleum kepada negeri-negeri pengeluar sekiranya diberi mandat mentadbir Kerajaan Persekutuan.
Pengerusinya, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata antara keutamaan utama gabungan itu ialah memperbetulkan semula pelaksanaan serta tafsiran berkaitan bayaran royalti petroleum supaya selaras dengan perjanjian asal.
Menurut beliau, negeri-negeri pengeluar seperti Terengganu dan Kelantan berhak menerima bayaran lima peratus secara terus daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tanpa melalui mana-mana akaun lain di Kementerian Kewangan.
Katanya, PN komited untuk kembali kepada tafsiran asal Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) yang jelas memperuntukkan bayaran royalti dibuat secara terus kepada kerajaan negeri.
“Amalan menyalurkan bayaran dalam bentuk ‘wang ehsan’ adalah tidak menepati perjanjian asal dan perlu diperbetulkan.
“Dan ia tentulah dibuat pembayaran berdasarkan perjanjian itu, lima peratus yang dimasukkan terus daripada pengeluar minyak, daripada Petronas kepada Kerajaan Negeri tanpa melalui akaun lain di Kementerian Kewangan,” katanya ketika mengulas isu royalti petroleum serta hala tuju federalisme sekiranya PN menerajui kerajaan pusat.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, tafsiran berkaitan isu sempadan tiga batu nautika turut perlu dinilai semula kerana ia dilihat menjadi antara kekangan utama dalam menentukan kelayakan pembayaran royalti kepada negeri.
Katanya, penafsiran baharu perlu dibuat berasaskan objektif asal undang-undang supaya hak negeri tidak terus dinafikan.
“Isu ini perlu dilihat semula secara adil dan menyeluruh agar tidak menjejaskan hak negeri-negeri pengeluar seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Kita juga akan balik kepada nama asal iaitu ‘royalti’ dan bukan lagi ‘wang ehsan’, sebab bila nama ‘wang ehsan’ ni dia akan beri tak kira berapa peratus atas ehsan,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, perkara itu melangkaui konteks semasa dan menyentuh asas persetujuan ketika kerajaan negeri menyerahkan hak eksplorasi serta pengeluaran petroleum di Terengganu.
Menurutnya, isu berkenaan bukan hanya melibatkan Terengganu semata-mata, sebaliknya mempunyai kaitan dengan semua negeri dalam Persekutuan.
Tag :