Berita :
Putrajaya Belum Bayar Hutang LPT2 RM1.43 Bilion Kepada Terengganu
Putrajaya Belum Bayar Hutang LPT2 RM1.43 Bilion Kepada Terengganu
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
71

KUALA TERENGGANU, 22 April – Kerajaan Persekutuan masih belum menjelaskan tuntutan bayaran balik kos projek Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berjumlah RM1.43 bilion kepada Terengganu, walaupun kerajaan negeri telah mengambil pelbagai langkah susulan termasuk mengadakan beberapa siri rundingan rasmi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri turut mengemukakan surat rayuan rasmi melalui Menteri Besar Terengganu bagi memastikan tuntutan itu diberi perhatian sewajarnya.

Namun, katanya, maklum balas terkini daripada Kementerian Kewangan mengatakan bahawa permohonan bayaran balik tersebut masih belum dapat dipertimbangkan buat masa ini.

“Bagaimanapun, maklum balas terkini daripada Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa permohonan bayaran balik itu belum dapat dipertimbangkan pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Pergulungan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan KDYMM Pemangku Raja Terengganu pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Menurut Hanafiah, antara faktor utama yang menyebabkan perkara itu masih belum dimuktamadkan ialah ketiadaan peruntukan khusus dalam belanjawan Kerajaan Persekutuan, selain belum ada keputusan dasar di peringkat Jemaah Menteri atau Perdana Menteri.

Keadaan itu menyaksikan tuntutan besar yang melibatkan kepentingan kewangan negeri terus tertangguh, meskipun perkara berkenaan telah dibawa melalui saluran rasmi dan dirundingkan di peringkat kerajaan dengan kerajaan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini juga telah memohon agar jumlah tuntutan itu direkodkan dalam penyata kewangan negeri berdasarkan surat persetujuan Kementerian Kewangan pada 2017 yang menyentuh kaedah bayaran balik bukan tunai.

Bagaimanapun, katanya, pihak Kementerian Kewangan berpandangan langkah tersebut tidak wajar dilaksanakan.

“Namun, pihak Kementerian Kewangan berpandangan tindakan itu tidak wajar dilaksanakan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hanafiah berkata, kerajaan negeri akan terus menggunakan saluran rundingan rasmi serta hubungan antara kerajaan bagi memastikan tuntutan berkenaan terus diperjuangkan sehingga penyelesaian dicapai.

Mengulas potensi kerjasama strategik berkaitan LPT2, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk meneliti sebarang cadangan usahasama dengan syarikat konsesi LPT2, PLUS atau pihak berkaitan.

Katanya, setiap cadangan akan diperhalusi secara menyeluruh meliputi aspek kewangan, perundangan, teknikal serta pulangan ekonomi jangka panjang supaya setiap keputusan yang dibuat benar-benar memelihara kepentingan rakyat dan negeri.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa cadangan pengambilalihan operasi dan penyelenggaraan LPT2 selepas tamat tempoh konsesi pada 2034 boleh dipertimbangkan sebagai perancangan strategik jangka panjang.

“Namun, keputusan tersebut memerlukan penelitian rapi termasuk dari segi implikasi kewangan, keupayaan pengurusan serta keadaan aset bagi memastikan ia memberi manfaat optimum kepada negeri,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan