Berita :
743 Pelajar Baharu Daftar Di UMT
743 Pelajar Baharu Daftar Di UMT
Noraini Jusoh
2 jam yang lepas
52

KUALA NERUS, 21 Julai – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima kemasukan 980 pelajar baharu bagi sesi akademik 2026/2027, hari ini.

Ia melibatkan 587 pelajar Program Asasi STEM dan 156 pelajar Program Diploma Perikanan.

Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, setiap pelajar yang melangkah masuk ke kampus universiti itu membawa bersama impian, harapan dan potensi besar untuk dibangunkan sepanjang tempoh pengajian mereka.

“Setiap pelajar yang melangkah masuk ke kampus UMT hari ini membawa bersama impian, harapan dan potensi yang besar. Tugas kita adalah memastikan potensi tersebut dapat berkembang menjadi kecemerlangan yang memberi manfaat kepada masyarakat, negara dan dunia.

“Di UMT, kami bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi membentuk generasi masa depan yang mampu menerajui perubahan,” katanya kepada pemberita sempena hari pendaftaran pelajar baharu di kampus UMT.

Sementara itu, Marissa Irdina Mohamad Idris, 18, dari Kuala Lumpur berkata, pendaftaran ke Program Asasi STEM merupakan langkah pertama untuk merealisasikan minatnya dalam bidang data analitik.

Menurutnya, keputusan memilih UMT dibuat selepas mengunjungi reruai universiti itu ketika program Jom Masuk Universiti yang memberi gambaran jelas mengenai peluang pendidikan dan prospek kerjaya yang ditawarkan.

“Saya mula berminat untuk menyambung pengajian di UMT selepas mengunjungi booth pameran Jom Masuk Universiti. Penerangan yang diberikan sangat membantu dan membuka mata saya tentang peluang yang ada di sini.

“Saya mempunyai minat yang mendalam dalam bidang data analitik dan berharap program ini dapat menjadi asas yang kukuh untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut pada masa hadapan,” katanya.

Manakala, Nur Qaira Damia Amir Abdullah,18, yang mendaftar Program Diploma Perikanan berpendapat, tawaran melanjutkan pengajian ke UMT disifatkan sebagai peluang berharga untuk mengubah masa depan diri dan keluarganya.

Pelajar yang berasal daripada keluarga asnaf itu mengakui tidak menyangka akan menerima tawaran ke UMT memandangkan kekangan kewangan yang dihadapi keluarga.

“Saya sangat bersyukur dan gembira kerana diberi peluang melanjutkan pengajian program Diploma Perikanan di UMT walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran.

“Apabila menerima tawaran ini, saya menganggapnya sebagai satu rezeki dan peluang kedua untuk membuktikan kemampuan diri kerana saya masih mempunyai keinginan yang kuat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.




Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan